Pages

Monday, August 31, 2009

Malaysiaku

Tanggal 31 Ogos 2009 Merupakan tarikh keramat bagi seluruh Warganegara persekutuan Malaysia laungan Merdeka..Merdeka…Merdeka… menandakan genap 52 tahun merdeka Malaysia tanah kebanggaanku Ibu pertiwi warisan negara bangsa Aman sentosa dan terus jaya Dibawah peminpin berkarisma tinggi Dibawah payung satu Malaysia Warganegara hidup aman bahagia Melayu,Cina, India,Iban dan Dusun Semuanya hidup penuh muafakat Tiada sengketa, dengki dan kianat Malaysiaku kini 52 tahun merdeka Berdiri gagah di bumi bertuah Namamu mahsyur seantero dunia Menjadi kebanggaan setiap warganegara Malaysia tanah tercinta Jasamu begitu tinggi kepada nusa dan bangsa Membuatkan kami bersyukur ke hardrat illahi Kerana nikmat yang dilimpahkan-Nya. Jika orang lain cuba menggugat keamanan Malaysia Kami semua akan berganding bahu mempertahankan ibu pertiwi tercinta Agar tidak diceroboh oleh bangsa durjana Negaraku Malaysia Aku bangga menjadi wargamu Aku bangga menjadi wargamu Malaysia dihatiku kini dan selamaya. “52 TAHUN MALAYSIAKU MERDEKA”-Amin 1.07AM (31 Ogos 2009) Nukilan: Eizal_Upsi

Salam Kemerdekaan Ke 52 Tahun...

Merdeka....Merdeka...Merdeka...Alhamdulillah Malaysiaku aman dan Jaya..

Sunday, August 30, 2009

Kekayaan yang hilang dapat dikejar kembali dengan kerajinan dan jimat cermat. Kesihatan yang hilang boleh direbut kembali dengan ubat-ubatan. Akan tetapi waktu yang hilang pasti tidak akan kembali Bersedekah dengan senyuman lebih baik daripada bersedekah dengan harta kerana bersedekah dengan senyum, manusia tidak terasa terhutang apa-apa dan tidak pula terasa dihina

Satu Malaysia Untuk Semua

video "Saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat. Kita akan sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan”-YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak (Tanggal 3 April 2009). Perpaduan kaum yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi dengan menganggap kita adalah rakyat Malaysia dan bangsa Malaysia. Keadaan ini akan dapat menwujudkan suasana negara yang aman, harmoni, selesa, keselamatan yang terjamin dan memberi kemakmuran kepada negara. Rakyat perlu memahami bahawa negara yang mempunyai kestabilan politik dan keselamatan yang terjamin akan memberi perkembangan ekonomi yang pesat. Oleh itu rakyat akan dapat menikmati limpahan daripada kerancakan ekonomi negara. Kini warganegara persekutuan Malaysia perlu keluar daripada kepongpong yang telah lama membelenggu fikiran dan tindakan yang berunsul perkauman. Kerajaan di bawah kepimpinan YAB Dato’ Sri Mohd Najib mengajak warganegara berkerja secara bersama untuk membina, memaju serta memantapkan negara tanpa mengira kaum. Negara perlu diutamakan mengatasi segala kepentingan peribadi dan kumpulan masing-masing. Kerajaan akan bersikap adil dan saksama kepada rakyat di negara ini tanpa memingirkan mana-mana kaum berdasarkan kepentingan dan mereka yang layak akan diberi bantuan. Kepentingan bumiputera juga akan dijaga sebagaimana yang terjamin dalam perlembagaan berasaskan kepentingan dan kelayakan. Nilai-nilai murni seperti hormat menghormati dan saling mempercayai perlu wujud di kalangan rakyat negara ini. Setiap kaum perlu menghindari perasan curiga dan syak wasangka kerana setiap kaum akan mendapat hak dan peluang yang sama. Setiap kaum bebas mengamal dan menganuti agama, budaya dan adat resam masing-masing di samping kaum yang lain perlu menghormati. Fikiran dan tindakan perlu mengatakan bahawa kita adalah warganegara persekutuan Malaysia, bangsa Malaysia dan bertekad untuk bersama membangun dan memajukan negara di samping sedia mempertahankan negara daripada sebarang ancaman. P/S Benda yang baik patut diberi sokongan dan benda yang tidak baik wajib kita menolaknya.

Friday, August 28, 2009

Tarbiyah Luqmanul Hakim Dalam mendidik Anak

Di antara surah-surah di dalam Al-Quran, terdapat satu surah yang dinamakan Surah Luqman dan terkandung di dalamnya nasihat dan panduan bagaimana Luqman mendidik anak-anaknya menjadi seorang insan yang kamil. Pendidikan yang diterapkan oleh Luqman Al-Hakim paling menekankan pegangan aqidah yang kukuh kepada Allah SWT di samping menekankan soal keinsafan, kesedaran dan sikap tanggungjawab yang mendalam. Itulah keistimewaan didikan Luqman Al-Hakim dan kita pun tidak sepatutnya ketinggalan dalam mengikutinya di dalam kehidupan sehari-harian. Intisari didikan luqman Al-Hakim ini boleh dibahagikan kepada 3 aspek yang penting iaitu sudut aqidah, sudut solat dan sudut akhlak. 1. Sudut aqidah Syirik adalah sesuatu yang paling mudah terjadi jika bekalan aqidah yang kukuh tidak ditanamkan di dalam setiap diri sejak kecil lagi. Hendaklah kita membiasakan diri kita dengan mengingati Allah SWT di dalam semua keadaan untuk mengelakkan terjadinya syirik tersebut. "Dan ingatlah sewaktu Luqman berkata kepada anaknya:"Wahai anakku kesayanganku, Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain). Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar."(Luqman :31) 2. Sudut solat Solat adalah tiang agama dan amalan yang pertama sekali yang akan dihisab di akhirat kelak. Solat yang dikehendaki oleh Islam ialah yang disertai dengan sepenuh perhatian dan penempuan fikiran, penuh rasa takut dalam hati serta menzahirkan keagungan dan kebesaran Allah. Sesuai dengan firman Allah dalam Surah Luqman, ayat 17 yang bermaksud ; "Wahai anak kesayanganku! Dirikanlah solat." 3. Sudut Akhlak Wajib berbakti kepada ibu bapa kerana ibu bapa adalah manusia yang paling banyak berjasa kepada kita. "Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibubapanya , ibunya mengandungkan dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu, kepadaKu jua tempatmu kembali." (Luqman:41) Sabar di dalam menegakkan keimanan, melaksanakan amal soleh, memperjuangkan kebenaran dan keadilan dan juga menghadapi hawa nafsu, musuh-musuh luar dan segala kepayahan dan kesulitan. "... dan berhati teguhlah dalam menghadapi apa yang menimpa engkau, sesungguhnya (sikap) yang demikian itu termasuk perintah yang sungguh-sungguh.(Luqman:17) Mengelakkan diri dari sifat sombong dan takabur. Takabur adalah punca pergaduhan dan pertelingkahan manakala tawaddhu' yang dianjurkan Islam adalah penguat persaudaraan, perpaduan dan melahirkan keselamatan dan ketenangan. Huraian berkenaan sikap takabur dan sombong ini boleh di dapati di dalam buku Bimbingan Mu'minin, karya Imam Ghazali. "Janganlah engkau memalingkan muka dari manusia kerana kesombongan, dan janganlah berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tiada mencintai sekalian orang yang sombong dan membanggakan diri."(Luqman:18) Bersederhana dalam berjalan kerana ia menggambarkan ketenangan dan kesopanan tinglahlaku. Suara juga hendaklah dilembutkan ketika bercakap (brothers-brothers/sisters-sisters sahaja) kerana ia adalah ukuran keutuhan budi pekerti. "Dan sederahanalah dalam berjalan dan lembutkanlah suara engkau. Sesungguhnya suara yang amat buruk ialah suara himar (keldai)."(Luqman:19) 4. Sudut Da'wah. Hendaklah bersama-sama melaksanakan tugas menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran seperti firman Allah s.w.t ; "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah daripada yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung."(Al-Imran:104)

Perjuangan Ayah Dan Ibu Dalam Membentuk Akhlak dan Akidah Islamiyah Anak Mereka

Anak merupakan aset yang paling bernilai kepada kedua-dua ibu dan bapa. Oleh itu, setiap pasangan yang telah berkahwin mempunyai keinginan untuk mendapatkan cahaya mata sebagai penyeri dan pelengkap kebahagiaan dalam sesebuah rumah tangga yang dibina. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Harta benda dan anak pinak itu ialah perhiasan hidup di dunia…” (al-Kahfi :46) Betapa beruntungnya kedua-dua ibu bapa yang mempunyai anak-anak soleh yang dapat membahagiakan hidup mereka . Bukan sahaja hidup di dunia bahkan di akhirat juga. Doa daripada anak-anak yang soleh tetap tidak terputus kepada ibu dan bapa mereka sekalipun kedua-duanya telah meninggal dunia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila meninggal dunia seseorang anak Adam, maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kedua-dua ibu bapanya”.(HR al-Bukhari) Anak-anak hendaklah diberi pendidikan yang sempurna seawal mungkin bermula dari dalam kandungan lagi. Tanggungjawab ibu dan bapa telah wujud sebelum terbentuknya janin. Oleh itu suami isteri hendaklah memberi perhatian dan tumpuan pendidikan sempurna sepenuhnya untuk memastikan anak tersebut menjadi anak yang soleh. Suami isteri mesti bertanggungjawab untuk menjaga kandungan dari segi kesihatan fizikal dan mental, mengamalkan pemakanan seimbang, makan minum dan rezeki dari sumber yang halal dan berkat, mengerjakan amalan-amalan kerohanian seperti membanyakkan membaca al-Quran, zikir, melakukan ibadah-ibadah sunat disamping tidak meninggalkan ibadah fardhu yang diwajibkan. Ketika isteri mengandungkan bayi, si bapa pula mempunyai peranannya yang tersendiri. Bekerjalah dengan penuh amanah, bertanggungjawab dan ikhlas demi mendapatkan rezeki yang halal untuk keluarga mereka. Sesungguhnya keberkatan lahir dari makan minum yang berpunca dari rezeki yang halal. Oleh itu para ibu bapa hendaklah sentiasa berhati-hati dan berwaspada setiap masa dalam pekerjaan. Tunaikan kerja dengan penuh dedikasi dan amanah demi memperoleh rezeki yang berkat dari sumber yang halal. Rezeki yang diberi makan kepada anak itulah yang akan menjadi darah daging yang akan membesarkan anak-anak . Jika sumbernya halal dan berkat, mudah-mudahan anak-anak yang bakal dilahirkan akan menjadi anak-anak soleh yang dapat membahagiakan hidup kedua-dua ibu bapa. Di samping itu apabila anak-anak telah diberi pendidikan sempurna mengikut syariat Islam, apabila besar mudah-mudahan mereka akan menjadi anak yang soleh. Demi mendapatkan anak-anak yang soleh, Islam telah menganjurkan kepada ibu bapa untuk melakukan beberapa amalan dari awal lagi. Islam telah menetapkan peraturan tertentu semasa menyambut kelahiran bayi iaitu dengan melakukan amalan-amalan sunat seperti berikut: i- Azan dan iqamat HENDAKLAH segera diazankan ditelinga kanan dan diiqamat ditelinga kiri sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang baru melahirkan anaknya lalu diazankan di telinga kanan dan diiqamat di telinga kirinya nescaya anak tersebut akan terhindar daripada penyakit sawan dan angkara syaitan”. (Hadis Riwayat Abu Ya’la) ii- Membelah mulut (tahnik) TAHNIK mulut bayi dengan kurma atau makanan yang manis merupakan sunnah Nabi SAW. iii- Penyusuan SUSU ibu merupakan makanan semula jadi bayi. Ia membina kesihatan dan tenaga. Ia juga makanan rohani dan akhlak yang memberi kesan kepada seluruh keperibadian anak, mengalirkan aliran pemikiran dan sikap yang baik ke dalam diri bayi melalui setiap titisan air susu ibu. iv- Memberi nama TANGGUNGJAWAB ibu bapa juga ialah memberi nama anak-anak dengan nama yang baik sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud: ” Tugas dan tanggungjawab bapa terhadap anaknya ialah memperelokkan nama anaknya dan juga adabnya” (Hadis Riwayat al-Baihaqi) v- Bercukur MENGGUNTING rambut bayi merupakan sunnah Rasulullah SAW yang dilakukan ketika bayi berusia 7 hari. Rambut tersebut hendaklah ditimbangkan dengan wang perak yang kemudiannya disedekahkan kepada fakir miskin mengikut berat timbangan rambut yang digunting tersebut. vi- Aqiqah HUKUM Aqiqah ialah sunat yang sangat dituntut (muakkad). Sabda Nabi SAW mengenainya yang bermaksud : “Setiap anak tergadai dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ke 7, dicukur ranbutnya dan diberi nama.” (Hadis Riwayat Ahmad) vii- Berkhatan BERKHATAN termasuk sunnah Rasulullah SAW. Sabda Nabi SAW mengenainya yang bermaksud: “Berkhatan itu sunat bagi kaum lelaki dan suatu penghormatan kepada kaum wanita.” (Hadis Riwayat At- Tabrani) Ketika anak-anak masih kecil berilah didikan menurut syariat Islam. Pada tahap ini ajarilah dengan sebutan kalimah-kalimah suci Allah (al-Quran). Peringkat usia kanak-kanak mereka akan mudah mengingat apa yang diajar. Oleh itu ibu bapa hendaklah :- i- Menanamkan asas-asas keimanan ii- Berlaku adil terhadap anak-anak dalam memberi kasih sayang, pendidikan, makanan, tempat tinggal dan sebagainya. iii- Mengasuh anak-anak dengan lemah lembut dan bersopan santun. iv- Mempamerkan akhlak yang mulia dan terpuji. v- Mengampuni dan mengasihi anak-anak dan lain-lain ahli keluarga dengan penuh kasih dan sayang. vi- Mendidik anak-anak ke jalan yang diredhai Allah SWT. vii- Menunjukkan teladan yang baik pada anak-anak. viii- Bertanggungjawab mencipta sebuah rumahtangga yang aman bahagia untuk didiami oleh anak-anak. ix- Bertanggungjawab memastikan anak-anak dijaga dengan baik. x- Bertanggungjawab memberi pendidikan dan pelajaran yang berguna dan menghantar mereka ke sekolah-sekolah. xi- Mengajar anak-anak mengerjakan sembahyang, mengaji al-Quran dan melatih anak-anak berpuasa. xii- Mengajar anak-anak dengan ilmu yang dapat menjadi perangsang bagi memperkayakan ilmu Islamnya. Ibu bapa hendaklah sentiasa menyuruh anak-anak mereka bersifat dengan sifat yang mulia dan murni iaitu sifat-sifat mahmudah. Mereka juga mesti melarang anak-anak dari melakukan perkara-perkara keji dan tidak elok iaitu sifat-sifat mazmumah. Oleh yang yang demikian, ibu bapa mestilah terlebih dahulu memiliki sifat-sifat mahmudah dan kemudian hendaklah diterapkan kepada anak-anak mereka. Setelah remaja, ajaran-ajaran agama Islam yang berkaitan dalam bidang syariah, aqidah dan akhlak perlu diajar secara terperinci kepada anak-anak di peringkat umur begini supaya mereka mengetahui, memahami dan dapat menghayatinya. Seterusnya perkara-perkara baik dan betul tersebut dapat diimplementasikan dalam kehidupan mereka sehari-hari. Dengan demikian mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang menyelewen, amal ibadat dan akhlak mereka akan terpandu dengan betul. Oleh itu ibu bapa amat perlu memberi didikan syariat yang sempurna kepada anak-anak mereka seawal mungkin bermula dari dalam kandungan ibu lagi seperti kata pepatah “Melentur Buluh Biar Dari Rebungnya’ agar anak-anak dapat hidup bahagia, berjaya dan membesar dalam keadaan sempurna tanpa terpengaruh dengan gejala-gejala negatif yang boleh merosakkan hidup mereka. P/S: Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan juga kepada muslimin dan muslimat bahawa tanpa "Ayah dan Ibu", mana mungkin kita dapat bernafas di atas bumi Allah ini dengan penuh kemanisan nikmat. Oleh itu, walau seburuk manapun akhlak ayah atau ibu kita, maka wajiblah kita menghormati merekq dan yang paling penting ANAK YANG SOLEH ialah seorang anak yang sentiasa mendoakannya kesejahteraan Ayah dan Ibunya.Sama-samalah kita renungkannya.

Pendidikan Keluarga Islam

Berdasarkan firman Allah s.w.t.: Maksudnya: “Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang soleh.”(Surah Ash-Shaaffat 23:100) Pendidikan keluarga Islam merupakan satu saranan dalam pendidikan Islam. Pengertian pendidikan keluarga Islam tidak terbatas pada ruang lingkup mendidik anak sejak dalam kandungan sampai masa sekolah, malah pendidikan keluarga Islam mencakupi mulai masa bayi dalam kandungan hingga anak itu dewasa dan berkeluarga. Suasana pendidikan keluarga Islam ini untuk melahirkan seorang anak yang soleh (Abdul Qadir Djaelani 2001) sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.: Maksudnya: Daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila mati anak Adam (manusia), maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh. Berdasarkan sabda Junjungan Nabi Muhammad s.a.w. tersebut mencerminkan betapa pentingnya didikan yang wajib ditekan ke atas anak-anak di peringkat bayi sehingga baligh dan seterusnya ke peringkat remaja supaya mereka dapat menjadi anak yang soleh kepada kedua ibu bapa dan berpegang teguh kepada ajaran Islam. Menurut jumhur ulamak, yang dimaksudkan hadis di atas ialah anak-anak yang soleh ialah anak-anak yang dibimbing dan dididik oleh orang tuanya supaya selalu mendoakan kesejahteraan mereka berdua di dunia dan akhirat (Umar Hasyim 1983). Oleh sebab itulah, pentingnya ibu bapa mengasuh serta mendidik anak-anak mereka selaras dengan tuntutan syaricat Islam. Menurut Ahmad Muhammad Jamãl (1989: 12) ”tarbiyah” dalam Islam membawa maksud yang amat mendalam kepada individu dan kelompok. Beliau mengatakan ’tarbiyah’ ialah satu bentuk untuk melahirkan kesedaran yang tinggi kepada ummat Islam. Ia bertujuan menyemai dalam diri seseorang itu supaya menjadi seorang Muslim yang teguh pada agama, cibadah, berkepimpinan dan mempunyai kekuatan rohani dari sudut teori, praktikal, ideologi dan tingkah laku. Dalam terminologi Bahasa cArab, istilah pendidikan (education) bererti ”tarbiyah”, dengan membawa maksud mengembangkan, memelihara, mengasuh, atau membesarkan. Kata tarbiyah di sini dengan maksud ”mengembangkan atau meningkatkan secara setahap demi setahap”. Ia adalah berlaku ke atas makhluk Allah s.w.t. yang hidup dan memiliki kemampuan untuk tumbuh dan berkembang. Khusus dikaitkan dengan pendidikan awal kanak-kanak, hal ini melibatkan bermacam usaha dalam pengertian ini bahawa semua sikap dan tingkah laku ibu bapa harus diarahkan untuk memberikan pendidikan awal kepada anak-anak secara tepat dan benar. Jadi, apa yang dapat disimpulkan di sini, bahawa anak merupakan wujud daripada sikap dan tingkah laku kedua ibu bapanya (Mahjubah Magazine 1992). Menurut Ibn Sina dalam Fatimah Ali (1989), peringkat umur dari masa dilahirkan hingga ke enam tahun itu amat kritikal. Dalam jangka usia ini, kanak-kanak mestilah ditekankan kepada pembentukan disiplin. Maka itulah sebabnya Ibn Sina mahukan ibu khususnya, sebagai guru pertama kepada kanak-kanak mempunyai sifat moral yang sempurna serta intelektual yang tinggi dari dari kacamata Islam. Ini kerana, sifat dan kekuatan mental (intelektual) serta spiritual ibu bapa mempunyai pengaruh yang kuat ke atas perkembangan sahsiah kanak-kanak. Pembentukan disiplin kanak-kanak bermula sejak tahap penyusuan. Di sinilah langkah pertama untuk kanak-kanak mempelajari sopan-santun yang baik. Selain itu, menurut Rousseau (ahli falsafah Perancis) dalam Fatimah (1989) ‘masa kanak-kanak’ di kalangan manusia adalah lebih panjang daripada haiwan. Ini adalah sebab ’masa kanak-kanak’ itu berfaedah bagi ummat manusia kerana tidak ada makhluk lain hidup di muka bumi ini yang lebih lemah dan lebih bergantung kepada alam sekitarnya. Beliau selanjutnya menjelaskan bagaimana kanak-kanak memerlukan perlindungan dan ini boleh dilakukan dengan menyediakan persekitaran yang dapat mengembangkan potensi-potensinya dan mengajarnya untuk menjalani kehidupan yang baik, supaya ia tidak ditinggalkan sendiri dan dipengaruhi oleh gejala-gejala negatif yang mungkin membawa kepada kejahatan dan keburukan. Antara penyataan beliau: ’Pentingnya masa kanak-kanak di mana peribadinya terbentuk yang pengaruhnya besar sekali pada kehidupan selanjutnya. Iaitu masa dewasa dan masa tua, hal-hal pertamalah yang patut dipelihara, sebab kanak-kanak pada asalnya diciptakan untuk menerima baik atau buruk. Hanya orang tualah yang mencenderungkan kepada salah satu daripadanya’. Dalam tamadun Barat apa yang dimaksudkan dengan ’pendidikan awal’ ialah pendidikan pendidikan prasekolah. Ia hanya untuk kanak-kanak yang berumur tiga tahun hingga enam tahun iaitu apa yang dikatakan sebagai pendidikan ’kindergarden’, tetapi selepas beberapa kajian mereka mengubah had umur itu kepada peringkat selepas lahir hingga ke enam tahun dan diwujudkan pula peringkat ’nursery’. Dari sudut Islam pula peringkat ’pendidikan awal’ ini bermula dari anak itu masih berada di dalam kandungan ibu lagi sehingga kanak-kanak itu berumur enam tahun. Secara amnya pendidikan prasekolah Islam boleh dibahagikan kepada dua peringkat sebelum lahir dan selepas lahir (Khadijah Zon et al. 1989). Dari sudut Islam juga, kanak-kanak perlu disedarkan dan diyakinkan seawal mungkin tentang status mereka sebagai insan ciptaan Allah s.w.t. Usaha ini bermula di rumah, tetapi dalam sesuatu latihan proses ini perlu berlaku secara lebih sistematik, berterusan dan terkawal dan proses mendidik ini dalam masa yang sama memerlukan kerjasama daripada ibu bapa secara serius (Mohamed Talhah Idrus 1989). Tanggapan Islam kepada pendidikan dan pembentukan kanak-kanak adalah satu tugas, tanggungjawab, amanah atau cubaan bagi kedua ibu bapa atau sesiapa sahaja yang terlibat dengan pendidikan dan pembentukan anak-anak. Pendidikan juga adalah proses penerapan secara progresif tahap demi tahap ke dalam jiwa manusia dengan ilmu, kemahiran dan akhlak agar anak-anak boleh: i. Mendisiplinkan badan, jiwa dan mental sesuai dengan keadaan potensi dan kemampuan fizik, intelek, emosi dan rohaninya. ii. Mencam dan menerima kenyataan sehingga ia boleh mempunyai persepsi, perasaan, harapan dan keinginan untuk mendapat ilmu pengetahuan. iii. Bersikap adil terhadap dirinya, orang lain, kepada haiwan, tumbuhan dan alam persekitaran. iv. Mempunyai sikap dan ciri-ciri mental, jiwa, tutur kata dan gerak geri yang berkualiti tinggi. v. Bergerak secara tepat dan betul (Khalijah Mohd. Salleh 1994). Dalam memperkatakan pendidikan awal dari perspektif Islam, Al-Ghazali berpendapat bahawa kanak-kanak merupakan amanah dan tanggungjawab orang tuanya, jiwanya suci murni merupakan permata mahal yang bersahaja dan bebas dari ukiran dan gambaran dan ia boleh menerima setiap ukiran dan cenderung kepada apa yang dicenderungkan kepadanya. Asuhan dan pendidikan awal adalah khusus kepada kanak-kanak di bawah umur enam tahun. Pada umur ini ada dua perkara penting yang dilalui oleh setiap kanak-kanak iaitu pertumbuhan dan perkembangan. Pertumbuhan adalah perubahan yang boleh diukur daripada satu peringkat ke satu peringkat dan dari suatu masa ke suatu masa seperti perubahan tinggi, berat dan bilangan gigi. Perkembangan pula adalah perubahan yang melihatkan sifat berlainan daripada sifat terdahulu seperti kebolehan seorang bayi untuk merangkak, berjalan, dan seterusnya berlari. (Rosnah Ahmad 2003). Oleh sebab itu, pada peringkat bulan-bulan terawal, anak-anak memberi pengalaman yang penting kepada ibu bapa untuk memahami sikap dan tingkah laku mereka. Pengalaman keibuan dan kebapaan adalah kompleks iaitu ia bukan sahaja pengalaman hanya sekadar melihat dan memahami anak-anak mereka tetapi juga menonjolkan identiti ibu bapa itu sendiri (Diane Richardson 1993). Dalam proses perkembangan inilah disalurkan corak pendidikan awal kanak-kanak dan melihat sejauh mana ia mempengaruhi perkembangan itu dari segala aspek sama ada keperibadian, pergaulan, kekuatan fizikal, mental, emosi dan kognitif. Dengan kata lain, pendidikan awal terhadap kanak-kanak adalah meliputi semua aspek kehidupan kanak-kanak itu sendiri supaya mereka tidak terlalu kaku untuk berdepan dengan pelbagai situasi di luar rumah apabila mula berhubungan dengan orang asing. Menurut Prof. Madya Dr. Mastura Badzis, Pengarah Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) Universiti Pendidikan Sultan Idris, hakikat yang perlu kita tahu dari fakta yang dikemukakan oleh pakar perkembangan dan psikologi kanak-kanak, diperingkat umur 6 tahun pertama inilah peringkat paling utama dan paling laju perkembangan mereka berbanding dengan peringkat-peringat atau tahap umur yang lebih dewasa dalam kehidupan seorang insan. Pakar perkembangan dan psikologi kanak-kanak berpendapat bahawa lebih separuh dari perkembangan intelektual kanak-kanak berlaku dari usia 0 hingga empat tahun manakala satu pertiga yang lain sempurna perkembangannya ketika kanak-kanak berusia 8 tahun. Menurut beliau lagi, dapatan terbaru dari kajian yang dilakukan oleh pakar neurologi mendapati bahawa 80-85% perkembangan otak manusia berlaku dalam tempoh enam tahun pertama usia seorang kanak-kanak dan peringkat perkembangan yang paling pesat ialah diperingkat umur yang terawal dalam tempoh enam tahun tersebut. Justru itu boleh dikatakan di sini bawa ketinggian kualiti pendedahan dan pendidikan awal seseorang kanak-kanak merupakan asas kepada keseluruhan perkembangannya yang akan datang.

Friday, August 21, 2009

Keberkatan Bersahur

Rasulullah s.a.w. amat menganjurkan umatnya agar bersahur kerana terdapat keberkatan pada waktu itu. Sabda baginda s.a.w., Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan. (Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, hadis no. 1923). Maksud keberkatan itu ialah wujudnya ganjaran serta pahala yang besar dalam ibadah sahur tersebut. Menurut Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani, keberkatan sahur itu diperoleh melalui amalan mengikuti sunnah, menyelisihi ahli kitab, menambah kekuatan dan semangat untuk beribadat serta menghindari tabiat buruk yang timbul akibat lapar. Selain itu, ia menjadi sebab untuk orang yang berpuasa bersedekah kepada orang lain, menjadi sebab untuk berzikir dan berdoa pada waktu yang mustajab dan memberi kesempatan untuk berniat bagi mereka yang belum sempat berniat puasa sebelum tidur. (Rujuk al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari, Jil. 11, hal. 120). Antara hikmah disyariatkan bersahur adalah untuk membezakan antara ibadat puasa orang Islam dengan ibadat puasa orang Yahudi dan Kristian (ahli kitab). Sabda Rasulullah s.a.w.: Pemisah (yang membezakan) antara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah makan sahur. (Riwayat al-Tirmizi dalam Sunan al-Tirmizi, Kitab al-Shaum, hadis no. 643). Ibadat sahur adalah ibadat yang begitu agung sehinggakan Allah melimpahkan rahmat dan malaikat-Nya memohon keampunan bagi orang-orang yang makan sahur. Oleh itu, Nabi s.a.w. amat menitikberatkan umatnya untuk bersahur walaupun dengan hanya meminum seteguk air. Sabda Baginda s.a.w.: Makan sahur ada keberkatan. Oleh itu, janganlah kamu meninggalkannya meskipun salah seorang antara kamu hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur. (Riwayat Ahmad di dalam Musnad Ahmad, hadis no. 10664). Sesuatu yang amat merugikan bagi sesiapa yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan tetapi tidak sampai terampun dosa-dosanya. Sebenarnya, kita dibenarkan bersahur sehingga fajar terbit, iaitu sehingga azan solat Subuh dilaungkan. Sabda Rasulullah s.a.w.: Kamu semua boleh makan dan minum sehingga Ibn Ummi Maktum melaungkan azan kerana sesungguhnya dia tidak akan melaungkan azan (melainkan) hingga fajar sodiq benar-benar telah terbit. (Riwayat Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, hadis no. 1919). Hadis ini secara tidak langsung membantah pendapat sesetengah pihak yang tidak membenarkan makan dan minum apabila telah masuk waktu imsak. Apatah lagi Allah menegaskan bahawa dibenarkan makan dan minum sehingga terbit fajar, iaitu sehingga azan Subuh sedang dilaungkan. Firman Allah s.w.t.: Makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) daripada benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (Maghrib). (al-Baqarah: 187). Adalah disunahkan juga untuk dilewatkan sahur sehingga hampir terbit fajar. Sahal bin Sa’ad r.a. berkata, “Aku makan sahur bersama keluargaku, kemudian aku pun tergesa-gesa untuk mendapatkan sujud bersama Rasulullah s.a.w.” (Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, hadis no. 1920). Kadi Iyadh r.h. berkata: “Tujuan Sahal terburu-buru makan sahur adalah kerana waktunya sangat dekat dengan terbitnya fajar.” (Dinukil daripada Fath al-Bari, Jil. 11, hal. 114). Waktu yang terbaik untuk makan sahur adalah lebih kurang sama dengan kadar waktu seseorang membaca 50 ayat al-Quran iaitu kira-kira 10 hingga 20 minit sebelum azan solat Subuh dikumandangkan. Menurut Anas r.a., Zaid bin Thabit r.a. berkata, Kami makan sahur bersama Nabi s.a.w., kemudian Baginda berdiri untuk solat. Aku berkata: “Berapa lama antara azan dan sahur?” Baginda menjawab: Kira-kira (membaca) lima puluh ayat. (Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, hadis no. 1921). Hadis ini digunakan oleh mereka yang berpendapat bahawa waktu imsak itu adalah 10 minit sebelum terbit fajar. Apabila masuk waktu imsak maka seseorang tidak boleh lagi makan dan minum. Namun tafsiran yang benar terhadap hadis tersebut ialah Rasulullah s.a.w. langsung mendirikan solat Subuh setelah baginda makan sahur. Kadar membaca 50 ayat al-Quran antara azan subuh dan sahur bukan waktu imsak seperti yang disangka oleh mereka, tetapi ia adalah kadar waktu Nabi s.a.w. memulakan dan mengakhirkan sahur Baginda. Antara hikmah mengakhirkan atau melewatkan sahur adalah: 1. Sekiranya seseorang bangun awal untuk bersahur, tentu sekali setelah selesai bersahur dia akan kembali ke tempat tidur. Hal ini memungkinkan seseorang itu meninggalkan solat Subuh. 2. Mengakhirkan bersahur juga boleh menambahkan kekuatan bagi orang yang berpuasa. Sekiranya seseorang bersahur terlalu awal maka ia akan menyebabkan seseorang itu cepat berasa lapar, dahaga dan keletihan pada siang harinya.

Kelebihan Bulan Ramadhan Al-Mubarak

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya. 1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi- 2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi- 3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi- 4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi- 5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi- HADIS 1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah. 2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya. 3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai. 4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat. 5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat. 6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924. 7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak. 8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja. 9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi. 10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak. 11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap. Biografi 1. Kitab Fadhailul Awqat oleh imam Al-Baihaqi,ditahqiq oleh Adnan Abdul Rahman MajidAl-Qaisi,Maktabah Al-Mnarah,Makkah. 2. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-'Asqalani 3. Syarah sohih Muslim oleh imam An-Nawawi.

Thursday, August 20, 2009

Buah dan Sayur

Sayur-sayuran dan buah-buahan merupakan salah satu makanan yang terdapat dalam piramid makanan. Ia merupakan sumber makanan yang murah dan mudah didapati. Buah-buahan dan sayur-sayuran kaya dengan zat dan vitamin yang penting untuk tubuh dan kesihatan. Apa yang ada dalam buah dan sayur? Vitamin A Baik untuk kesihatan kulit dan mata serta melindungi diri daripada serangan penyakit. Sawi, bayam, kalian, lobak, lada merah, tomato, mangga, betik, tembikai. Vitamin B Baik untuk mengelakkan kepenatan dan kelesuan. Sayuran hijau (sawi, bayam, kalian, kangkung), sayur kekacang Vitamin C Baik untuk kesihatan gigi. Brokoli, nenas, oren, mangga, kiwi,jambu batu, betik, belimbing. Kebanyakan buah-buahan dan sayur-sayuran mempunyai vitamin A,B dan C serta mineral-mineral yang lain. Jadi, singkatan ABC merupakan satu pendekatan dalam menggalakkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam kalangan kita semua. Bagaimana menggalakkan kanak-kanak makan sayur dan buah? 1Sentiasa AMALKAN.. ◦Menjadikan buah sebagai snek menggantikan makanan ringan. ◦Menggantikan minuman berkarbonat dengan jus buah-buahan. ◦Makan sayur dan salad atau ulam semasa makan tengahari dan makan malam. 2.Sentiasa BUAT… ◦Menambahkan sayur dalam masakan dan hidangan seperti mi goreng dan sandwich. ◦Masak sayur dengan air sedikit. ◦Masak dengan cara yang rendah lemak seperti kukus, rebus, celur, tumis dengan sedikit minyak. ◦Elakkan memasak yang terlalu lama. 3.Sentiasa CAKAP…. ◦Yummm.yummm…sedapnya makan buah dan sayur ini.. ◦Slurpppppp…lazatnya jus buah ini.. ◦Kurp..Kurp..krup…enaknya sayur;(kankung,kailan,sawi,tomato dll) ini.. ◦Wowww…ada pelbagai warna dan rasa buah dan sayur. ◦Saya suka makan semua sayuran ini... Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan vitamin dan mineral dapat meningkatkan daya ketahanan badan daripada penyakit, menghindari sembelit dan mengurangkan risiko kejadian penyakit jantung dan kanser. Jika kita selalu memakan sayur pada pada masa muda atau peringkat awal, risiko mendapat penyakit dapat dikurangkan. Pendekatan ABC dapat membantu menggalakkan pengambilan buah dan sayur dan Ini penting untuk kesihatan kita. Jadi, dengan ABC, kita Boleh mencubanya dan yang paling penting Menjaga kesihatan diri merupakan Hak kepada Diri Sendiri selepas hak kepada Allah, sesama Manusia, Alam, dan Haiwan.

Monday, August 17, 2009

Kisah Ranting & Pokok

Suatu ketika Plato berbicara dengan gurunya. Plato bertanya makna cinta dan gurunya pun menjawab: “Masuklah ke dalam hutan, pilih dan ambillah satu batang ranting yang menurutmu paling baik, tetapi engkau haruslah berjalan ke depan dan jangan kembali ke belakang. Pada saat kau sudah memutuskan pilihanmu, keluarlah dari hutan dengan ranting tersebut.” Maka, masuklah Plato ke dalam hutan dan keluarlah Plato tanpa membawa sebatang ranting pun. Gurunya bertanya, maka jawab Plato: “Saya sebenarnya sudah menemukan ranting yang bagus, tetapi saya berfikir barangkali di depan saya ada ranting yang lebih baik. Tetapi setelah saya berjalan ke depan, ternyata ranting yang saya sudah tinggalkan tadilah yang terbaik. Maka saya keluar hutan tanpa membawa apa. Guru itu pun berkata: “Itulah cinta.” Lalu Plato pun bertanya apa makna perkahwinan. Guru pun menjawab: “Sama seperti ranting tadi, namun kali ini engkau haruslah membawa satu pohon yang kau fikir paling baik dan bawalah keluar dari hutan.” Maka masuklah Plato ke dalam hutan dan keluarlah Plato dengan membawa pohon yang tidak terlalu tinggi dan juga tidak terlalu indah. Gurunya pun bertanya, maka jawab Plato: “Saya dapati pohon yang indah daunnya, besar batangnya. Tetapi saya tidak dapat memotongnya dan pastilah saya tak mampu membawanya keluar dari dalam hutan. Akhirnya saya tinggalkan. Kemudian saya temukan pohon yang tidak terlalu tinggi dan saya fikir mampu membawanya kerana mungkin saya tidak akan menemukan pohon seperti ini di depan sana. “ Akhirnya saya memilih pohon ini kerana saya yakin saya boleh merawatnya dan menjadikannya indah.” Lalu sang guru berkata: “ itulah makna perkahwinan. Begitu banyak pilihan di depan kita seperti pohon-pohon beserta rantingnya di dalam hutan, tapi kita mesti menentukan satu pilihan dan bila terlalu memilih tidak satu pun akan kita dapati.” Kerana, kesempatan itu hanya datang sekali dan kita harus terus maju seperti waktu yang bergerak ke depan yang tidak pernah tersimpan pada hari kelmarin dan bersemayan pada masa lalu kita

Thursday, August 13, 2009

Bahaso jiwo bangso Nayu Klate

Laarea tok sruppo dengen suroh Hok comey bakppo duk ppakat kato udoh Saye soh doh laeng dengen beci Jerok mamen tok serupo dengen jerok celagi Takot ado keno mengeno dengen ketha gega Serupo dagho ado ssabit dengen apa Ngigha sbenarnya ada sabit dengen kemama Selok tak dok bezzo dengan tok kaba Sapo kato buluh tu galoh Sapo kato ttekeng tu tok bkkekoh Nakka laeng sikit dengen jahhat Dawa pun oghe duk pangge khawak Kalu tunggo tok srupo tughuh paga Sengotilah tolo tok srupo dengen panda Lagu mana ggadoh, belah tu jugoklah lorghat Toksohlah wak loloq tok kena hok mano ddakak Hok mano kkhabak. Demey tok keboh bezzo dengen leloh Senyung semeweh tok serupo dengen sengeh Bbaling tu laen dengen kipah anging Breng abe sikit jah pado kerah keng Kito tok leh wak tok tetu kalu Oghe serabuk ngeleh kito tok tahu Kito duk ghalit berembah bbadi cah keting Oghe laeng gi seghuh-seghah, Kito dok ppakat gheboh teguling Ulat kekek jangen wi ttuka dengen ulat belucah Jale bejeket jangen kato srupo dengen hungga derah Kalu kkarak buleh agi kito tteri Hok gelonggong lagu mano pakat kato tokleh nok isi? Payoh sengoti nok bekecek nok bbkiro Culah lagu lain tok srupo dengen celiko Payoh jugk nok bezzo mano lakonen mano sendiwaro Hok sengotinyo, manih lleting tu belung tetu ibu gulo!

Salam Takziah Buat Sasterawan Dharmala NS

Salam takziah kepada keluarga Allahyarham Sasterawan dan budayawan tanah air, Abdul Muluk Daud atau lebih dikenali sebagai Dharmala NS, 62, (gambar) meninggal dunia di Hospital Selayang akibat serangan sakit jantung.Beliau meninggal dunia pada pukul 8.41 pagi selepas dimasukkan ke Hospital Selayang pada Selasa lalu setelah mengadu sakit dada. Allahyarham semasa hayatnya merupakan penulis novel, cerpen, sajak, drama televisyen dan penulis skrip filem Raja Melewar. Novel hasil buah tangannya termasuklah Hanya Tinggal Kenangan, Lembah Tercinta dan Tinggal Kasih Tinggallah Sayang, sementara cerpennya pula Rumah Baru (antologi bersama), Sayembara II (antologi bersama), Sayembara III.Drama TV karyanya antaranya Terbang Kenyalang dan Satu Anugerah. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah SWT.

Wednesday, August 12, 2009

Kisah Cinta Sejati langit Dengan Laut.

Dahulu kala, langit dan laut saling jatuh cinta. Mereka saling menyukai di antara satu sama lain. Oleh sebab sangat sukanya laut terhadap langit, warna laut sama dengan warna langit. Oleh sebab sangat sukanya langit terhadap laut, warna langit sama denga warna laut. Setiap senja datang, si laut dengan lembut sekali membisikkan kata-kata ‘Aku Cinta Padamu’ ke telinga langit. Setiap kali langit mendengar bisikan penuh cinta laut terhadapnya, langit tidak menjawab apa-apa , hanya tersipu-sipu malu dengan wajah kemerah-merahan. Suatu hari, datanglah awan. Melihat kecantikan si langit, awan terus jatuh hati terhadap langit, bak cinta pandang pertama. Tetapi tentu sahaja langit hanya setia mencintai laut. Setiap hari, langit hanya mahu melihat laut sahaja. Awan berasa sedih tetapi ia tidak berputus asa mencari cara dan akhirnya mendapat satu akal. Awan mengembangkan dirinya seluas dan sebesar mungkin serta menyusup ke tengah-tengah di antara langit dan laut. Ia berusaha menghalangi pandangan langit dan laut terhadap satu sama lain. Laut berasa marah kerana tidak dapat melihat langit. Laut mengeluarkan gelombangnya bagi mengusir awan yang mengganggu pandangannya. Tetapi tentu sekali usahanya tidak berhasil. Lalu datanglah angin yang sejak dulu mengetahui hubungan cinta langit dan laut. Angin berasakan perlu membantu langit dan laut menyingkirkan awan yang mengganggu perhubungan mereka yang sekian lama terjalin. Dengan tiupan keras dan kuat, angin meniup awan. Lantas terpecah-pecahlah awan menjadi berselerak ke banyak bahagian, sehingga ia tidak berupaya lagi melihat langit dengan jelas dan tidak mampu lagi untuk mengungkapkan perasaannya terhadap langit. Kerana rasa terseksa menanggung perasaan cinta yang menggunung tinggi terhadap langit, awan menangis sedih. Hingga sekarang, kasih antara langit dan laut tidak dapat dipisahkan. Kita juga dapat melihat di mana mereka menjalin kasih. Setiap kali memandang ke hujung laut, di mana ada garisan horizon yang menemukan langit dan laut, di situlah mereka sedang berpacaran. P/S: Hayati dan fahami maksud yang terselindung disebalik kisah ini. fikir-fikirkanlah.

Tuesday, August 11, 2009

Hello Sasterawan Negara ke-10.

Ungkapan "Hello" sering kali kita terlihat dan terbaca dalam hamparan dada-dada blognya untuk ditujukan kepada mereka yang hendak dibicarakan olehnya. Jadi, siapa tidak kenal kalau bukan Sasterawan Negara yang baru iaitu Datuk Dr.Mohd. Anuar Rethwan atau dikenali sebagai Anwar Ridhwan yang dinobatkan sebagai penerima anugerah sasterawan Negara yang ke-10.Majlis penyampaian anugerah itu dijadualkan pada 20 Oktober 2009. Tahniah dan syabas diucapkan. Anwar Ridhwan adalah seorang sasterawan yang terkemuka dari Malaysia. Nama sebenarnya Dato' Dr. Anuar bin Haji Rethwan dilahirkan di Sabak Bernam, Selangor pada 5 Ogos 1949. Lulusan Sarjana Muda Sastera (1973)dari Universiti Malaya, beliau kemudiannya memperolehi ijazah Sarjana Sastera (1983) dan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D)(1998) kesemuanya dari Universiti Malaya. Beliau menumpukan kerjayanya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehinggalah bersara pada tahun 2005 dengan jawatan terakhirnya Pengarah Penerbitan DBP.Selepas tamat menjadi pengarah penerbit DBP, beliau ditawarkan menjadi pensyarah dan seterusnya menjadi Dekan Fakulti Penulisan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Dalam dunia penulisan beliau terkenal sebagai seorang novelis dan penulis cerpen. Novelnya yang pertama ialah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman yang memenangi Hadiah Novel Gapena-Yayasan Sabah, (1979) yang telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa selain diadaptasikan ke pentas teater sebanyak 14 kali.Sebuah lagi novelnya Arus (1985) memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985.Antara cerpen karyanya ialah Perjalanan Terakhir (1971)pernah muncul dengan novel terkenalnya,. Dunia adalah Sebuah Apartmen (1973), Sesudah Perang (1976)dan Dari Kiev ke Moskova (1992). Karya beliau yang diilham dan disiapkan di Jepun pada tahun 2001 berjudul Naratif Ogonshoto memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001. Novel itu dengan judul "Bili i Nebili Ostrovov Ogonsoto" diterbitkan dalam bahasa Rusia (penterjemah Victor Pogadaev) pada tahun 2006 di Sanct-Petersburg (penerbit Paideia). Pencapaian 1. Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen "Perjalanan Terakhir (1971) 2. Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Dunia Adalah Sebuah Apartmen (1973) 3. Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Sesudah Perang (1976) 4. Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Sasaran, 5. Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Sahabat (1982) 6. Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Menjadi Tua (1983) 7. Hadiah Pertama peraduan mengarang novel anjuran Yayasan Sabah dan GAPENA 1 Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (1979) 8. Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985 dengan novel Arus 9. Anugerah Sasterawan Negara ke-10 (2009)-Terbaru p/s: Berharap Dr.Anwar Ridhwan terus berjuang dan berbakti kepada dunia kesusasteraan Tanah air kita. Siapa lagi untuk terus mempertahankan sastera Malaysia kalau bukan penulis sastera itu sendiri dan juga pencinta bahasa dan sastera. Tahniah sekali lagi diucapkan. "Sastera Pembina Negara Bangsa"

Refleksi Diri

"Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan, menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selalu dan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa." "Apabila kepercayaan telah hilang lenyap, kehormatan telah musnah, maka matilah orang itu." ~ Whittier