Monday, October 12, 2009
Kesihatan Diri
Geologi dan keunikannya
Landskap indah yang terbina hasil gabungan tenaga manusia dan kuasa alam semula jadi MENAKJUBKAN! Rasanya itu perkataan paling sesuai untuk menggambarkan daya tarikan pelancongan di Cappadocia, rantau di tengah Turki yang menempatkan struktur muka bumi luar biasa dan pelik dengan pelbagai coretan abstrak. Bagi umat Islam, ia bukti keagungan Ilahi yang merencanakan takdir ke atas bumi Anatolia ini melalui muntahan lahar gunung berapi jutaan tahun lalu yang membentuk pelbagai formasi geologi unik dan memegunkan.
Di sini juga terletak pekan Hacibektas, pusat aliran sufi Alevi-Bektasi diasaskan oleh Haci Bektas Veli yang dikatakan dari keturunan Saidina Ali. Cappadocia bersempadan dengan rantaian Gunung Taurus di selatan, Euphrates di sebelah timur, manakala di sebelah utara dan barat pula bersempadan dengan Pontus serta tasik garam. Unsur paling menakjubkan di sini ialah landskap alam semula jadinya yang terbina hasil gabungan tenaga manusia dan kuasa alam semula jadi.
Ada formasi tanah bak menara bertopi, batu terbentuk seperti tapak kaki unta, tidak kurang juga batu berdiri yang pada kepercayaan orang tempatan, hasil kerja si pari-pari. Terbentuk juga gua yang dipercayai mula diduduki sejak 333 Sebelum Masihi, iaitu ketika zaman kegemilangan Iskandar Zulkarnain. Cappadocia dipercayai menempatkan lebih 200 kota bawah tanah di kawasan antara Kayseri dan Nevsehir. Pada mulanya, kota itu dikata digunakan oleh penganut Kristian sebagai tempat persembunyian mereka ketika agama berkenaan masih asing. Tidak hairanlah, ada 30 gereja dibina dalam bukit batu yang menjalar itu, sesetengahnya bertarikh seawal pertengahan abad kesembilan sehingga abad ke-11.
Mengikut sejarah, landskap unik di sini terhasil akibat kesan hakisan serta ledakan gunung berapi Erciyes dan Hasan sekitar tiga juta tahun lalu. Ia menyebabkan kawasan sekitar diliputi bukit abu dan debu, sekali gus menjadikan bumi Cappadocia sebagai kawasan pertanian subur dan berkelebihan dengan reka bentuk alamnya yang amat menarik. Letusan gunung berapi Erciyes menyebabkan terbentuknya batu-batu lembut dan senang diukir. Faktor cuaca sejuk dan panas, selain hujan serta angin memberi kesan kepada batu-batan di sini, memunculkan landskap disebut cerobong dewa atau `fairy chimneys' kerana orang tempatan menganggap struktur itu hanya mampu dibentuk oleh dewa. Kota bawah tanah yang terkenal ialah di Derinkuyu dan Kaymakli. Kota di Derinkuyu mempunyai tahap kedalaman sehingga 85 meter yang membolehkan lapan aras tingkat dibina dan dipercayai menjadi tempat berteduh ribuan penduduk zaman dulu. Kota di Kaymakli pula atau nama purbanya Enegup, dibuka kepada pelancong pada 1964, terletak kira-kira 19 kilometer dari pekan Nevsehir. Ia berbeza dengan kota yang ada di Derinkuyu dari segi struktur dan susun atur kerana terowongnya dibina lebih rendah, sempit dan bercerun. Di bandar kecil Goreme yang menempatkan gua masih berpenghuni serta lengkap dengan kemudahan elektrik dan televisyen, terhidang Lembah Zelve yang pernah didiami orang Islam Turki sehingga 1960-an. Pekan ini juga terkenal dengan produk tembikar dan permaidani yang termasyhur, paling cantik dan mahal selain Muzium Udara Terbuka yang menjadi lokasi paling banyak dilawati dan antara yang terkenal di tengah Turki. Bandar lain ialah Nevsehir, pusat pentadbiran wilayah itu yang diasaskan oleh Damat Ibrahim Pasa dari Kampung Muskara yang dilantik sebagai wazir Sultan Ahmet III.
(Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Kembara/20090816094254/Article/)