Pages

Showing posts with label motivasi. Show all posts
Showing posts with label motivasi. Show all posts

Tuesday, September 8, 2009

Ciri-ciri Pelajar yang Gagal

"Bukan senang untuk berjaya tetapi bukan susah untuk gagal. Orang yang sering gagal adalah orang yang mempunyai banyak ciri kegagalan. Kadangkala seseorang itu tidak sedar dia sering melakukan sesuatu yang mengundang kegagalan. Oleh itu antara ciri kejayaan adalah dengan cara mengenal ciri kegagalan. Perhatikan ciri-ciri di bawah ini dan pastikan anda tidak mengamalkannya."
  1. Mempunyai sifat malas yang merupakan musuh utama kepada kejayaan.

  2. Tiada semangat atau motivasi sehingga merasakan bahawa pelajaran itu sesuatu yang payah, pahit dan menyusahkan.

  3. Mempunyai tanggapan bahawa pelajaran belum tentu memberi jaminan masa depan sehingga pelajaran tidak dihargai.

  4. Menjadikan seseorang yang telah gagal sebagai model.

  5. Tidak bersedia menghadapi pembelajaran dalam bilik darjah.

  6. Mengambil sikap sambil lewa dalam pelajaran.

  7. Terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya yang menjurus ke arah perkara-perjara yang tidak baik.

  8. Sentiasa menangguhkan masa untuk belajar hingga ke saat-saat akhir peperiksaan.

  9. Selalu ponteng Kuliah

  10. Gagal menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru.

  11. Berangan-angan semasa guru mengajar di depan.

  12. Sering bermain-main dalam bilik darjah.

  13. Tidak mempunyai kelengkapan persekolahan yang lengkap untuk proses pembelajaran.

  14. Sentiasa bermasalah, suka mencari masalah dan memberi masalah pada orang lain.

  15. Melakukan aktiviti yang tidak sihat atau tidak bermoral..

  16. Terlalu berserah pada nasib dan tidak mahu lagi berusaha untuk mengubah dirinya.

  17. Lebih banyak bergantung kepada orang lain untuk belajar. Tidak boleh berdikari.

  18. Tidak ada perancangan masa untuk belajar seperti mengadakan jadual waktu.

  19. Tidak menggunakan sepenuhnya perpustakaan sebagai gedung untuk mencari dan menambahkan ilmu.

  20. Tidak sanggup mengorbankan masa, tenaga, fikiran dan wang ringgit untuk pelajaran.

  21. Menghabiskan wang tambahan untuk membeli alat solek, majalah hiburan atau benda-benda lain yang tidak berguna kepada pelajar.

  22. Tidak menghormati ibu-bapa, guru, orang tua dan rakan-rakan sekelas.

  23. Mementingkan diri sendiri dalam apa sahaja yang dilakukan termasuklah pembelajaran.

  24. Gagal menunaikan tanggungjawab kepada Allah (bagi orang Islam).

  25. Cepat putus asa dan kecewa apabila gagal.

Monday, August 17, 2009

Kisah Ranting & Pokok

Suatu ketika Plato berbicara dengan gurunya. Plato bertanya makna cinta dan gurunya pun menjawab: “Masuklah ke dalam hutan, pilih dan ambillah satu batang ranting yang menurutmu paling baik, tetapi engkau haruslah berjalan ke depan dan jangan kembali ke belakang. Pada saat kau sudah memutuskan pilihanmu, keluarlah dari hutan dengan ranting tersebut.” Maka, masuklah Plato ke dalam hutan dan keluarlah Plato tanpa membawa sebatang ranting pun. Gurunya bertanya, maka jawab Plato: “Saya sebenarnya sudah menemukan ranting yang bagus, tetapi saya berfikir barangkali di depan saya ada ranting yang lebih baik. Tetapi setelah saya berjalan ke depan, ternyata ranting yang saya sudah tinggalkan tadilah yang terbaik. Maka saya keluar hutan tanpa membawa apa. Guru itu pun berkata: “Itulah cinta.” Lalu Plato pun bertanya apa makna perkahwinan. Guru pun menjawab: “Sama seperti ranting tadi, namun kali ini engkau haruslah membawa satu pohon yang kau fikir paling baik dan bawalah keluar dari hutan.” Maka masuklah Plato ke dalam hutan dan keluarlah Plato dengan membawa pohon yang tidak terlalu tinggi dan juga tidak terlalu indah. Gurunya pun bertanya, maka jawab Plato: “Saya dapati pohon yang indah daunnya, besar batangnya. Tetapi saya tidak dapat memotongnya dan pastilah saya tak mampu membawanya keluar dari dalam hutan. Akhirnya saya tinggalkan. Kemudian saya temukan pohon yang tidak terlalu tinggi dan saya fikir mampu membawanya kerana mungkin saya tidak akan menemukan pohon seperti ini di depan sana. “ Akhirnya saya memilih pohon ini kerana saya yakin saya boleh merawatnya dan menjadikannya indah.” Lalu sang guru berkata: “ itulah makna perkahwinan. Begitu banyak pilihan di depan kita seperti pohon-pohon beserta rantingnya di dalam hutan, tapi kita mesti menentukan satu pilihan dan bila terlalu memilih tidak satu pun akan kita dapati.” Kerana, kesempatan itu hanya datang sekali dan kita harus terus maju seperti waktu yang bergerak ke depan yang tidak pernah tersimpan pada hari kelmarin dan bersemayan pada masa lalu kita

Wednesday, August 12, 2009

Kisah Cinta Sejati langit Dengan Laut.

Dahulu kala, langit dan laut saling jatuh cinta. Mereka saling menyukai di antara satu sama lain. Oleh sebab sangat sukanya laut terhadap langit, warna laut sama dengan warna langit. Oleh sebab sangat sukanya langit terhadap laut, warna langit sama denga warna laut. Setiap senja datang, si laut dengan lembut sekali membisikkan kata-kata ‘Aku Cinta Padamu’ ke telinga langit. Setiap kali langit mendengar bisikan penuh cinta laut terhadapnya, langit tidak menjawab apa-apa , hanya tersipu-sipu malu dengan wajah kemerah-merahan. Suatu hari, datanglah awan. Melihat kecantikan si langit, awan terus jatuh hati terhadap langit, bak cinta pandang pertama. Tetapi tentu sahaja langit hanya setia mencintai laut. Setiap hari, langit hanya mahu melihat laut sahaja. Awan berasa sedih tetapi ia tidak berputus asa mencari cara dan akhirnya mendapat satu akal. Awan mengembangkan dirinya seluas dan sebesar mungkin serta menyusup ke tengah-tengah di antara langit dan laut. Ia berusaha menghalangi pandangan langit dan laut terhadap satu sama lain. Laut berasa marah kerana tidak dapat melihat langit. Laut mengeluarkan gelombangnya bagi mengusir awan yang mengganggu pandangannya. Tetapi tentu sekali usahanya tidak berhasil. Lalu datanglah angin yang sejak dulu mengetahui hubungan cinta langit dan laut. Angin berasakan perlu membantu langit dan laut menyingkirkan awan yang mengganggu perhubungan mereka yang sekian lama terjalin. Dengan tiupan keras dan kuat, angin meniup awan. Lantas terpecah-pecahlah awan menjadi berselerak ke banyak bahagian, sehingga ia tidak berupaya lagi melihat langit dengan jelas dan tidak mampu lagi untuk mengungkapkan perasaannya terhadap langit. Kerana rasa terseksa menanggung perasaan cinta yang menggunung tinggi terhadap langit, awan menangis sedih. Hingga sekarang, kasih antara langit dan laut tidak dapat dipisahkan. Kita juga dapat melihat di mana mereka menjalin kasih. Setiap kali memandang ke hujung laut, di mana ada garisan horizon yang menemukan langit dan laut, di situlah mereka sedang berpacaran. P/S: Hayati dan fahami maksud yang terselindung disebalik kisah ini. fikir-fikirkanlah.

Wednesday, July 29, 2009

Santapan Motivasi

TIDAKLAH ALLAH JADIKAN AKU UNTUK KEGAGALAN,PASTI ALLAH CIPTAKAN AKU DENGAN KEUNIKAN DAN KEISTIMEWAAN. Carilah seribu sahabat, kerana seribu sahaja itu belumlah banyak, jauhilah seorang musuh, kerana seorang musuh itu sudah terlalu banyak. Tujuan memperbaiki akhlak ialah untuk membersihkan kalbu dari kotoran hawa nafsu dan amarah hingga jernih bagaikan cermin yang dapat menerima cahaya Ilahi. Hati adalah raja diri dan minda adalah permaisurinya Dalam diri manusia ada seketul daging. Kalau baik daging itu, baiklah seluruh tubuhnya, kalau jahat daging itu, jahatlah seluruh tubuhnya.Ketahuilah kamu bahawa ia adalah hati. Kelebihan burung pada kepaknya, kelebihan gajah pada kekuatannya dan kelebihan manusia pada akalnya. Jadikanlah tekanan sebagai perangsang diri, tanpa tekanan manusia akan lemah,lembik dan layu. Sesuatu pekerjaan yang dicapai dengan bersusah payah itu lebih lazat hasilnya daripada suatu hasil yang diperoleh dengan mudah. Bukan semua orang bodoh itu bodoh,sebenarnya dia bodoh kerana membenarkan dirinya untuk menjadi bodoh. Perubahan yang baik adalah perubahan yang berlaku dari dalam, kerana ianya kekal.Perubahan yang buruk adalah perubahan luaran kerana ianya lakonan. Jadilah bagaikan burung, yang merasakan rezekeinya di hujung sayap.Jangan jadi seperti bayi yang merasakan rezekinya di hujung suap. Bagaimana gelap pun suatu malam,sebatang lilin boleh meneranginya. Yang bernama kawan itu ialah yang berlari selaju-lajunya ke arah kita,sedangkan yang sedia ada berlari selaju-lajunya meninggalkan kita. Bintang itu bercahaya indah, kerana gelap menyelubunginya. Fikirkan permusuhan,kita akan dimusuhi.Fikirkan kebencian,kita akan dibenci.Tapi kiranya kita fikirkan kasih sayang, kita akan dikasihi. "Semua orang hidup adalah tidur,bila mati baru terjaga."Kata-kata Syaidina Ali.Fikir-fikirkanlah….

Sunday, July 19, 2009

Tips Mengurangkan Stress (Motivasi Diri)

Kita adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah, namun kita masih tidak terlepas daripada menghadapi tekanan ketika bekerja. Pelbagai tekanan yang dihadapi menyebabkan hati menjadi runsing dan semua kerja tidak akan terlaksana. Tidak mustahil bagi individu yang berhadapan dengan masalah ini akan terbawa-bawa ke rumah hingga anak-anak pula menjadi mangsa. Namun, hati akan menjadi tenang sekiranya kita kembali kepada Allah. Apa jua yang dilakukan mestilah berdasarkan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah disertai dengan niat yang ikhlas semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah. Terdapat beberapa tips yang kita boleh amalkan bertujuan mengurangkan tekanan hidup. Antaranya ialah : 1) Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk Jiwa kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri mengambil wuduk sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang dan mudah diselesaikan. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan diri mengambil wuduk sebelum mengulang kaji pelajaran agar apa yang dibaca akan mudah diingati. 2) Perbanyakkan membaca Al-Qur’an Ganjaran yang besar akan diberikan Allah bagi sesiapa yang membaca Al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca Al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran sebagai teman paling akrab pada sepanjang waktu. 3) Banyakkan Solat Sunat Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita disuruh membanyakkan amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat. Solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih adalah antara pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan kekuatan daripada Allah. 4) Selalu berdoa kepada Allah Allah telah berpesan iaitu jangan menyembah selain daripada-Nya. Ini bererti kita disuruh berdoa hanya kepada Allah yang Maha Esa dan dilakukan secara berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam Jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu azan dan iqamah. Insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya yang benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu di samping berdoa hanya kepada Allah yang Esa. 5) Bersangka baik dengan Allah Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah yang Berkuasa bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba Allah. Oleh itu, kita mestilah bersangka baik dengan Allah dan janganlah menyalahkan- Nya jika terjadi sesuatu ke atas diri kita. Kita juga mesti percaya bahawa tentu ada hikmah di sebalik kejadian itu. 6) Lakukan kegiatan luar seperti bersukan Orang ramai selalu berkata bahawa badan yang cerdas akan membentuk otak yang cergas. Segala tekanan sewaktu bekerja akan dilupakan apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti bersukan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan juga akan bertambah erat dan kukuh. 7) Amal diet dengan disiplin yang kuat Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet dengan disiplin yang kuat. Diet yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis. 8.) Menangis dengan sepuas hati Tekanan yang dihadapi sekiranya melibatkan individu yang lain dapat diredakan melalui luahan hati kita dengan menuliskan rasa ketidakpuasan hati kita itu dalam sehelai kertas. Sikap cuba menyimpan perasaan tersebut dalam hati boleh menyebabkan diri merana. “Luaran lain hati lain” ada sesetengah individu apabila mereka mengalami sesuatu tekanan, mereka seolah-olah tidak menunjukkan permasalahan mereka itu. Sebagai contoh, bila dilihat bersama rakan-rakan tetapi dalam hatinya hanya Allah yang Maha mengurangkan tekanan yang dihadapi di tempat kerja. 9) Hargai kebolehan diri sendiri Kita perlu mempunyai satu sikap yang dipanggil yakin diri. Apabila kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh oleh pihak lain sewaktu bekerja. Kita yakin bahawa kita boleh melakukan kerja yang disuruh dengan mudah dan tiada sebarang masalah yang dihadapi. Apa yang penting ialah, kita mesti menghargai kebolehan diri sendiri dan memulakan hidup dengan lebih ceria. 10) Cintai diri sendiri “Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain”. Jelas daripada maksud sepotong hadis ini, kita dapat memahami bahawa kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding orang lain. Diri kita yang selama ini masih pada tahap lama dalam pekerjaan perlu dipertingkatkan dengan cara yang dinyatakan di atas. Kita perlu memulakan kehidupan kita dengan ceria dan penuh dengan senyuman. Kesimpulan Sebagai kesimpulannya, tekanan kerja bukanlah satu bebanan yang sukar untuk diatasi. Dengan usaha yang gigih dan kesabaran yang tinggi serta jalan penyelesaian yang jitu, bebanan yang kita alami pastinya akan dapat diselesaikan dengan jayanya