Pages

Showing posts with label rencana. Show all posts
Showing posts with label rencana. Show all posts

Thursday, April 29, 2010

Mahu jadi Petani atau chef?

Hmm..sukar nak buat pilihan. Tambah lagi jika kita memang tak berminat pun nak jadi kedua-duanya. Lebih memeningkan, apa perkaitannya dengan kehidupan kita? Kenapa perlu pilih antara Petani atau chef yang ternyata bukan bidang pilihan kita?Sebenarnya opsyen ini ditujukan untuk pembangun perisian termasuklah perisian e-learning. Bagi petani, untuk mereka mendapat hasil tanaman, mereka perlu bajak tanah, buat pembetung, tanam benih, semai, baja, siram air dan sebagainya. Selepas berbulan-bulah, barulah mereka mendapat hasilnya perahan dari keringat dan kudrat sendiri. Chef pula jika ingin menghasilkan makanan yang sedap (cth fetucini atau spaghetti) hanya perlu mengambil bahan-bahan yang dah sedia dalam dapur. Mereka tak perlu tanam sayur atau ternak ayam dan lembu seperti petani untuk memasak sepinggan spagetti. Hasilnya cukup menyelerakan dan mampu disiapkan dalam 20 minit sahaja.Dalam dunia pembangunan perisian, pembangun perlu bijak menggunakan platform sedia ada untuk membangunkan sistem yang baru. Dalam erti kata lain, mereka tidak lagi perlu bermula dari 0 kerana ia tentunya akan melibatkan kos, tenaga dan masa yang lebih tinggi. Lebih baik gunakan apa yang sudah ditawarkan dalam dunia IT yang penuh dengan perisian, sumber rujukan, keratan kod, manual dan dokumentasi samaada open source atau propietary.Oleh itu, sekali lagi, adakah anda mahu menjadi petani atau chef?

Friday, April 2, 2010

Sakura Bunga Impian

Sakura, Bunga Sakura atau Cherry Blossom dalam bahasa Inggeris (huruf-huruf kanji dan bahasa Cina: 桜 atau 櫻; katakana: サクラ) ialah nama yang merujuk kepada pokok-pokok hiasan ceri dalam bahasa Jepun, Prunus serrulata, serta kelopak-kelopak mereka. Buah ceri (dikenali sebagai sakuranbo) muncul daripada sebuah spesies pokok yang berbeza. Selain itu, Sakura juga merupakan nama yang seringkali digunakan masyarakat Jepun. Dalam masyarakat Jepun,Sakura bunga yang sangat dicintai dan dibanggakan oleh masyarakat Jepun. Ia menjadi simbol nasional bangsa ini. Para pejabat Pemerintah dan diplomat Jepun, misalnya, sering menggunakan lambang sakura sebagai "lapel pin" pada baju mereka. Bunga sakura juga menjadi moto yang muncul dalam berbagai kerajinan khas Jepun, misalnya pada kimono, yukata, kipas, cangkir, dan lain-lain. Seperti bunga tulip, mekarnya sakura juga menandakan awal musim baru di Jepun. Di Tokyo terdapat beberapa tempat untuk melihat sakura pada awal musim baru. Antara yang paling popular adalah di sekeliling Istana Raja, Imperial Park, yang dikelilingi dengan danau buatan yang indah iaitu "Hanzo-bori". Cabang-cabang pohon sakura yang sarat dengan bunga menjuntai dan menjulur ke atas air di tepi danau, menimbulkan bayang-bayang yang indah. Dari jendela kamar di Palace Hotel, pemandangan Imperial Park yang sangat indah pada musim sakura dapat dilihat. Di bawah-bawah pohon sakura biasanya muncul bunga-bunga kecil berwarna kuning yang menambah kecantikan suasana.

Lirik lagu sakura :

sakura/sakura/noyamamo satomo/miwatasu kagiri/kasumi-ka kumo-ka/asahi-ni ni ou/sakura/sakura/hanazakari.

Ertinya:

sakura/sakura/di gunung di desa/sejauh mata memandang/tampak bagaikan gumpalan awan/semerbak harum di pagi hari/sakura/sakura/mekar penuh pesona.

Sumber:http://saiyukisayuki.tripod.com/sakura.html

Friday, February 19, 2010

Menghadapi fenomena El-Nino

Jabatan Meterologi melaporkan fenomena El-Nino bakal melanda negara dalam masa beberapa bulan lagi. Ia adalah fenomena pemanasan suhu permukaan laut yang berlaku setiap tahun di timur Lautan Pasifik berhampiran luar pantai Peru. Ia menyebabkan rantaian perubahan iklim berlaku di seluruh dunia. Antara kesannya ialah hujan lebat di sesetengah kawasan sementara di kawasan lain, berlaku kemarau panjang.

Oleh itu, kita seharusnya meningkatkan kepekaan untuk mengetahui perkembangan terkini mengenai fenomena El-Nino dan melakukan persediaan yang perlu.

Persoalanya sudahkah kita mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku 10 tahun lalu (1997/1998) semasa fenomena ini melanda negara?

Jabatan Meterologi pada April lalu melaporkan, terdapat bacaan suhu melebihi suhu maksimum purata bagi bulan tersebut. Suhu tertinggi yang direkodkan bagi tempoh 1 hingga 28 April 2009 adalah 36.1 darjah Celsius di Stesen Meteorologi Petaling Jaya pada 17 dan 18 April. Ia dalam lingkungan suhu tertinggi yang pernah direkodkan.

Fenomena ini dicatatkan berlaku sebanyak 12 kali sejak 1951-1952 dan terakhir pada 1997-1998. Pada 1998, suhu tertinggi iaitu 40.1 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping pada 9 April 1998.

Tahun 1998 merupakan tahun yang merekodkan suhu tertinggi terbanyak dengan 50 peratus daripada rekod suhu tertinggi dicatatkan. Krisis bekalan air di Lembah Kelang dan masalah jerebu menjadi isu besar.

Pada tahun itu juga, negara-negara Asia Tenggara iaitu Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand turut merasai impak yang sama. Cuaca panas juga meningkatkan kes penyakit sensitif iklim seperti taun, demam denggi dan malaria. Fenomena El-Nino dikatakan merupakan fenomena sejagat yang perlu ditangani bersama.

Ada saintis mengaitkan fenomena El-Nino dengan pemanasan global. Walau apa pun andaiannya, masyarakat harus disedarkan mengenai kesan fenomena ini kepada manusia dan alam sekitar.

Fenomena ini dikatakan mempunyai rantaian kesan yang agak membimbangkan kepada alam sekitar dan aktiviti manusia. Sekurang- kurangnya terdapat tiga kesan utama yang bakal dirasai daripada peningkatan suhu semasa fenomena ini.

Pertama, kesan terhadap kesihatan manusia apabila cuaca panas berterusan dijangka turut mengakibatkan penyakit seperti batuk, selsema, demam dan penyakit berkaitan cuaca panas.

Kedua, keadaan panas mendorong kepada proses sejatan daripada kawasan tadahan air. Ia akan menyebabkan krisis bekalan air.

Kawasan tadahan air seperti empangan, tasik dan kolam dibimbangi akan mengalami penyusutan disebabkan kadar sejatan yang tinggi. Sekiranya ini berlaku, langkah seperti catuan air di sesetengah kawasan mungkin terpaksa dibuat.

Selanjutnya ia akan memberi impak terhadap aktiviti manusia. Sesetengah operasi industri pula memerlukan air sebagai bahan dalam proses pengeluaran produk. Maka industri juga bakal menerima tempiasnya.

Ketiga, persekitaran yang kering boleh mendorong berlakunya kebakaran. Biasanya kebakaran berlaku disebabkan oleh tindakan manusia. Kawasan padang yang kering boleh terbakar dengan mudah andainya putung rokok yang masih berapi dibuang ke kawasan tersebut. Tapak pelupusan sampah yang membebaskan gas metana pula berpotensi menyebabkan kebakaran secara spontan.

Apa yang amat membimbangkan, peningkatan kes kebakaran yang berlaku akan menyebabkan masalah jerebu. Semasa El-Nino 1997/1998, kualiti udara terjejas teruk akibat jerebu. Ia berlaku disebabkan kebakaran hutan di Sumatera dan sekaligus menyebabkan pencemaran udara rentas negara. Ia akan menjejaskan sektor pelancongan negara.

Justeru itu, masyarakat mempunyai peranan dalam usaha membantu kerajaan menangani kesan yang bakal berlaku. Sikap "tidak ambil peduli" hanya akan mengundang padah.

Sebagai tanda prihatin, kita harus bersatu melakukan persediaan yang mencukupi. Pertama, kita harus bersedia untuk peka mendengar perkembangan semasa tentang keadaan cuaca yang berlaku. Berita melalui radio, televisyen, akhbar dan laman web seharusnya dijadikan rujukan penting.

Misalnya untuk mengetahui keadaan ramalan cuaca dan Indeks Pencemaran Udara, laman web Jabatan Matereologi Malaysia, http://www.met.gov.my dan laman web Jabatan Alam Sekitar, http://www.doe.gov.my boleh dijadikan rujukan. Kedua-dua laman web ini banyak memberikan maklumat tentang isu alam sekitar dan perkembangan semasa.

Laman web Jabatan Alam Sekitar membantu kita mengetahui tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU). Maklumat yang ada dapat membantu rakyat merancang aktiviti seharian.

Kedua, semasa berlakunya cuaca panas, kita harus mengelak daripada melakukan sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan kebakaran. Bahan- bahan yang mudah terbakar perlu disimpan dengan baik manakala aktiviti pembakaran terbuka seperti membakar sampah, sisa pertanian dan sisa pembinaan perlu dielakkan. Ini bagi menghindarkan berlakunya pencemaran udara yang boleh menyebabkan jerebu. Sekiranya berlaku kebakaran terbuka, ia perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Ketiga, sekiranya berlaku masalah jerebu, masyarakat perlu mengambil langkah sewajarnya seperti memakai topeng sewaktu keluar rumah dan merawat segera masalah kesihatan seperti batuk, kesukaran bernafas dan demam. Di samping itu, orang ramai juga perlu mengelak daripada melakukan aktiviti luar rumah yang boleh mendedahkan mereka terhadap kualiti udara yang tidak sihat.

Keempat, bagi mengurangkan kesan krisis air semasa fenomena El-Nino, amalan penjimatan air harus dimulakan dari sekarang. Penggunaan air untuk mandi, mencuci kenderaan dan membasuh pakaian perlu dihadkan agar tidak membazir. Dalam masa yang sama, orang ramai perlu mengadakan simpanan air mentah yang mencukupi untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Langkah persediaan menghadapi fenomena El- Nino ini kadangkala dianggap remeh. Semasa fenomena 1997/1998, ramai yang merungut kerana kekurangan bekalan air dan masalah jerebu. Ramai yang menyalahkan kerajaan, kononya tidak serius melakukan persediaan bagi menghadapi fenomena itu.

Rakyat seharusnya mengubah sikap. Ini kerana isu berkaitan alam sekitar adalah tanggunggjawab bersama. Kita harus bersedia menghadapinya dan membantu kerajaan dalam mengharunginya. Jangan sampai sudah terhantuk baru terngadah, kita harus bersiap sedia dari sekarang.

Dipetik: Utusan Malaysia, 19 Februari 2010 / 5 Rabiul Awal 1431

Wednesday, September 9, 2009

Ciri-ciri Guru @Pensyarah Dalam Pandangan Islam

Ketidakupayaan Seorang guru menunjuk model dan teladan yang baik akan menjadi batu penghalang ke arah pembentukan pelajar yang baik. Bahkan ia merupakan titik cemar dalam keperibadian guru berkenaan. Pepatah Arab ada menyebutkan:
"Jangan lakukan perbuatan yang anda tegah, Perbuatan demikian aibnya amatlah parah."
Apakah yang dimaksudkan dengan sahsiah, ciri-ciri utamanya, apakah traits nilai di rangkumi olehnya, apakah ciri seorang guru muslim dan bagaimana membangun ciri-ciri tersebut, inilah antara persoalan yang akan kita huraikan dalam kesempatan ini Maksud Sahsiah Sahsiah bermakna peribadi atau personaliti. Ia merujuk kepada traits yang mencirikan peribadi orang berkenaan. Peribadi menggambarkan sifat personaliti individu yang membezakannya daripada orang lain. Sifat sahsiah merangkum gaya hidup, kepercayaan, harapan, nilai, motif, pemikiran, perasaan, budi pekerti, persepsi, tabiat, sikap dan watak seseorang. Mengikut G.W Allport dalam dalam bukunya “Pattern and Growth in Personality”, sahsiah ditakrifkan sebagai organisasi dinamik sesuatu sistem psikofizikal di dalam seseorang individu yang menentukan tingkah laku dan fikirannya yang khusus. Sistem psikofizikal merangkumi segala segala unsur-unsur psikologi seperti tabiat, sikap, nilai, kepercayaan dan emosi, bersama dengan unsur-unsur fizikal seperti bentuk tubuh badan, urat saraf, kelenjar, wajah dan gerak geri seseorang (Mok Soon Sang, 1994:1). Sahsiah mempunyai tiga ciri utama. Pertama, ialah keunikan dengan maksud tersendiri. Kedua, kebolehsuaian atau keupayaannya untuk berubah dan diubah; hasil pembelajaran atau pengalaman. Ketiga, ialah organisasi. Dengan perkataan lain ia bukan sekadar himpunan tingkahlaku sebaliknya ia melibatkan corak tindakan dan operasi yang bersifat konsisten. Tegasnya sahsiah mencerminkan sifat, fizikal, kognitif, emosi, sosial dan rohani seseorang. Tidak diragukan lagi bahawa guru yang mempunyai keperibadian yang baik akan meninggalkan kesan yang positif dalam diri anak didik mereka. Alat teknologi moden walau bagaimana canggih sekalipun tidak dapat mengambil peranan guru. Faktor manusia tetap diperlukan dalam proses pembentukan dan pematangan sahsiah murid. Sebab itu banyak kajian dibuat tentang sifat-sifat yang perlu ada pada seorang guru yang baik dan berkesan dalam pengajaran mereka. Menurut Prof Omar al-Toumi al-Syibani sifat dan ciri seorang guru muslim hendaklah merangkumi: (a) Sifat Rohaniah 1. Keimanan yang kental kepada Allah yang maha sempurna 2. Keimanan kepada hari akhirat, hari pembalasan dan seluruh para Rasul 3. Sifat-sifat keimanan asas yang lain (b) Sifat-Sifat Akhlak 1. Benar dan jujur 2. Menepati janji 3. Amanah 4. Ikhlas dalam perkataan dan perbuatan 5. Merendah diri 6. Sabar, tabah dan cekal 7. Hilm, pemaaf dan toleransi 8. Menyayangi murid, mementingkan orang lain, pemurah, zuhud dan qanaah (c) Sifat Mental, Kejiwaan dan Jasmani i. Sifat Mental 1. Cerdas (Kepintaran teori, amali dan sosial) 2. Menguasai mata pelajaran takhassus 3. Luas pengetahuan am 4. Cenderung kepada pelbagai bidang akliah, dan ilmiah yang sihat 5. Mengenal ciri, watak, kecenderungan dan keperluan murid 6. Fasih, bijak dan petah dalam penyampaian ii. Sifat Kejiwaan 1. Sifat tenang dan emosi yang mantap 2. Optimistik dalam hidup, penuh harap kepada Allah dan tenang jiwa bila mengingatiNya. 3. Kepercayaan kepada diri dan mempunyai kemahuan yang kuat 4. Bersifat lemah lembut dan baik dalam pergaulan 5. Berfikiran selesa dan boleh menyesuaikan diri dengan masyarakat iii. Sifat Fizikal 1. Sihat tubuh badan dan terhindar dari penyakit berjangkit atau tidak berjangkit 2. Berperawakan tampan, kemas dan bersih Antara sifat pensyarah/ guru yang dikehendaki ialah : 1. Berkelakuan baik (penyayang dan penyabar) 2. Tidak berat sebelah 3. Berkeupayaan menghuraikan pelajaran dengan jelas 4. Berdisiplin 5. Menguasai mata pelajaran dengan baik 6. Adil dalam pemarkahan 7. Sifat kelakar 8. Suka menolong pelajar di luar kelas 9. Memahami masalah pelajar 10. Mampu menarik perhatian pelajar 11. Amanah dan menunaikan janji 12. Berupaya membuat penghukuman yang betul 13. Mempunyai sahsiah yang dihormati 14. Mempunyai semangat persekolahan yang tinggi 15. Mempunyai arahan yang jelas dan spesifik 16. Boleh membezakan ‘intan dari kaca’ 17. Mempunyai kemahuan yang kuat 18. Mempunyai bakat kepimpinan yang tinggi 19. Tidak suka menghina murid atas kesalahan mereka 20. Tidak menyalahgunakan peraturan membenarkan murid dirotan 21. Luas pengetahuan am 22. Tidak lari atau terkeluar dari tajuk bila mengajar 23. Suara yang baik-serak-serak basah 24. Mengenal titik kekuatan murid 25. Pandai memberi nasihat 26. Simpati terhadap kelemahan murid 27. Pandai memilih kata-kata 28. Memberi ruang para pelajar menelaah dan mengulangkaji 29. Mengambil kira suasana murid di rumah 30. Boleh membuat ujian secara berkala 31. Mengamalkan kaedah pengajaran yang berkesan 32. Mengambil kira pengudaraan bilik darjah 33. Suka memberikan kerjasama 34. Bersemangat riadah atau kesukanan Pensyarah/guru Muslim yang mempunyai sahsiah yang baik juga ialah guru yang mengamalkan etika keguruan Islam yang standard. Kod etika berkenaan memperincikan secara khusus sifat dan ciri tertentu yang menjadi garis panduan guru-guru yang baik personaliti mereka. Etika Pensyarah/ Guru Muslim Etika perguruan Islam belum dibuat secara khusus oleh kumpulan yang dianggotai oleh berbagai kalangan yang profesional. Namun sebagai percubaan awal hal ini boleh diusahakan secara perseorangan dan kemudiannya dapat ditokok tambah oleh khalayak pendidik serta dihayati oleh mereka sebagai suatu etika profesion keguruan . Antara yang boleh dirumuskan ialah: Tanggungjawab Terhadap Allah Etika Pensyarah/guru muslim terhadap Allah ialah seperti berikut: 1. Seorang guru Muslim hendaklah sentiasa memantapkan keyakinan/keimanan kepada Allah di samping mengukuhkan hubungannya yang berterusan denganNya. 2. Sifat istiqamah, iltizam semangat berbakti dan beramal soleh hendaklah menjadi amalan harian. 3. Guru Muslim mustahak menghayati rasa khusyuk, takut dan harap kepada Allah. 4. Guru Muslim hendaklah prihatin untuk sentiasa mengagungkan syiar agama Islam dan berusaha ke arah mendaulatkan syariat Islam. 5. Guru Muslim mesti melaksanakan kewajiban agama, menghindari laranganNya dan menyempurnakan segala hak dan tanggungjawab yang berkaitan dengannya. 6. Guru Muslim hendaklah bersyukur kepada Allah di samping selalu berdoa kepadaNya dengan membaca ayat-ayat Allah dan merendahkan diri ke hadratNya. Tanggungjawab Terhadap Diri (Hak Kepada Diri Sendiri) 1. Pensyarah/Guru muslim hendaklah memastikan keselamatan diri sendiri, sama ada dari aspek fizikal, emosional, mental mahupun moral. 2. Prihatin terhadap kebersihan diri, pakaian 9 Mestilah mengikut etika Universiti/Pejabat,sekolah), perawakan dan tempat tinggal. 3. Memahami kekuatan dan kelemahan diri untuk boleh dimanfaatkan serta ditingkatkan dari segenap aspek. 4. Meningkatkan kesejahteraan diri agar dapat berkhidmat selama dan sebanyak mungkin kepada Allah, masyarakat dan negara. 5. Melibatkan diri dengan program dan agenda yang boleh meningkatkan kualiti profesion sebagai seorang guru. Tanggungjawab Terhadap Ilmunya Pensyarah /Guru muslim hendaklah : 1. Memastikan penguasaan ilmu takhassus secara mantap dan mendalam. 2. Beriltizam dengan amanah ilmiah. 3. Prihatin untuk mengamalkan dan mengembangkan ilmu yang dipelajari. 4. Sentiasa mengikuti perkembangan teknologi terbaru dalam pengajaran ilmu yang berkaitan. 5. Dari semasa ke semasa guru Muslim hendaklah menelusuri sudut atau dimensi spirituality Islam dalam pelbagai lapangan ilmu pengetahuan. 6. Sentiasa memanfaatkan ilmu untuk tujuan kemanusiaan, kesejahteraan dan keamanan umat manusia sejagat. Tanggungjawab terhadap Profesion 1. Seorang Pensyarah/ guru tidaklah harus bertingkah laku begitu rupa sehingga boleh mencemarkan sifat profesionnya dan yang mana menyebabkan kurang kepercayaan orang ramai terhadap profesion pendidikan. 2. Dia tidaklah harus bertingkah laku begitu rupa yang boleh membawa kepada jatuhnya maruah diri dan kehilangan amanah berhubung dengan kewangan. 3. Dalam semua hubungan dan tugas seseorang guru hendaklah menjalankannya dengan jujur. 4. Tanggungjawab utama seseorang guru ialah terhadap pelajarnya. Kepentingan para pelajarnya haruslah mengatasi semua kepentingan lain seperti kepentingan masyarakat, persatuan atau persendirian. 5. Dia haruslah menumpukan perhatian dan pengajaran untuk semua pelajar tidak kira bangsa, agama atau kepercayaan. 6. Dia haruslah bertugas sebagai pengganti ibu bapa dalam usaha membentuk tingkah laku para pelajar ke arah matlamat-matlamat yang diterima oleh masyarakat. 7. Dia haruslah menumpukan perhatian terhadap keperluan setiap pelajarnya. 8. Dia haruslah mendidik dan mengambil tindakan secara adil terhadap semua pelajar tidak kira bangsa, warna, jantina, bahasa, agama, kepercayaan politik, tempat asal keluarga, intelek, akademik dan status-status lain. 9. Dia harus mengesan dan menerima perbezaan individu di kalangan pelajar dan memandu mereka memperkembangkan potensi mereka dari segi jasmani, intelek, daya cipta dan rohani. 10. Dia harus menghormati hak setiap pelajar supaya maklumat-maklumat sulit mengenai diri para pelajar tidak diberitahu kepada orang atau agensi lain yang tidak berkenaan. 11. Dia tidaklah harus bertingkah laku terhadap para pelajarnya begitu rupa yang boleh membawa jatuhnya darjat profesion perguruan. 12. Dia tidaklah harus mengajar sesuatu yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat awam atau negara. 13. Dia haruslah menanamkan sikap yang baik terhadap para pelajarnya supaya mereka dapat berkembang menjadi warga negara yang taat setia dan beragama. 14. Dia tidaklah harus menyatakan atau membuat sesuatu yang boleh mengurangkan keyakinan diri para pelajarnya dan ibubapanya. 15. Dia haruslah bertingkah laku begitu rupa supaya menjadi contoh yang baik terhadap pelajar. 20. Dia tidaklah harus menjatuhkan nama baik guru-guru lain. 21. Untuk mendapatkan pekerjaan atau kenaikan pangkat dia haruslah menggunakan cara-cara yang sah sahaja (iaitu berdasarkan kecekapan). 22. Dia tidaklah harus mengiklankan dirinya dengan cara membesar-membesarkan namanya untuk mendapatkan sesuatu pangkat dalam profesion perguruan. Tanggungjawab Terhadap Pelajar 1. Guru muslim hendaklah lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar dari hal-hal lain. 2. Bersikap adil (TIDAK BIAS) dan tidak EMOSIONAL terhadap setiap seseorang Mahasiswa/pelajar tanpa mengira faktor-faktor jasmani, mental, emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan dan agama. 3. Menampilkan suatu cara pakaian, pertuturan dan tingkah laku yang dapat memberikan contoh yang baik kepada pelajar. (Amat dianjurkan dalam Islam) 4. Membimbing atau mengajar seseorang pelajar dalam kelas sendiri atau dalam mata-mata pelajaran yang diajar dalam kelas tanpa sebarang bayaran. 5. Memelihara dan memperbaiki kecekapan ikhtisas melalui pengkajian, lawatan dan menghadiri kursus ikhtisas, persidangan, mesyuarat atau seminar supaya pengajaran mencapai mutu yang setinggi-tingginya. Tanggungjawab Terhadap Rakan Sejawat 1. Guru muslim hendaklah mengelakkan diri daripada membuat sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan pelajar atau ibu bapa, atau berbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang guru. 2. Tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan sebagai guru. 3. Berusaha dengan sepenuhnya menunaikan tanggungjawab dengan rajin dan bersungguh-sungguh dan mengekalkan kemajuan ikhtisas dan sosial. 4. Sentiasa bersedia membantu rakan sejawat terutamanya mereka yang baru dalam profesion perguruan. 5. Sentiasa mengawasi diri supaya tidak mencemarkan nama baik profesion perguruan. Guru yang Berkesan Guru yang Tidak Berkesan Adil Pilih kasih Demokratik Autokratik Bertimbang rasa Terbatas Responsif Menjauhkan diri Baik hati Kasar Tidak membosankan Membosankan Original Stereotype Tangkas Tidak peduli Menarik Tidak memberi kesan Bertanggungjawab Bersikap dalih Stabil Tidak seimbang Tenang Mudah naik perasan Yakin Tidak tentu Penutup Cabaran yang dihadapi oleh para guru dalam mengajar murid-murid zaman ini bukanlah suatu yang mudah. Guru berhadapan dengan kenakalan remaja yang semakin serius. Ibu bapa harus ikut serta dalam memudahkan kerja guru-guru di sekolah. Kerajaan wajar peka dengan keperluan persekolahan dan pembelajaran generasi baru yang semakin canggih dan pelbagai. Masyarakat juga mustahak memainkan peranan sebagai pemangkin kejayaan guru dan murid dalam pembelajaran mereka. Tanpa kerjasama semua pihak proses pendidikan tidak akan berjaya menghasilkan generasi yang baik.
Said Bin Jubair meriwayatkan daripada Ibnu Abbas bahawa beliau berkata: “Orang yang mengajar orang lain akan kebaikan, seluruh makhluk Allah termasuk ikan di laut memohon keampunan Allah untuknya.”
Sumber:Fakulti Pendidikan Islam UM

Sunday, August 30, 2009

Satu Malaysia Untuk Semua

"Saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat. Kita akan sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan”-YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak (Tanggal 3 April 2009). Perpaduan kaum yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi dengan menganggap kita adalah rakyat Malaysia dan bangsa Malaysia. Keadaan ini akan dapat menwujudkan suasana negara yang aman, harmoni, selesa, keselamatan yang terjamin dan memberi kemakmuran kepada negara. Rakyat perlu memahami bahawa negara yang mempunyai kestabilan politik dan keselamatan yang terjamin akan memberi perkembangan ekonomi yang pesat. Oleh itu rakyat akan dapat menikmati limpahan daripada kerancakan ekonomi negara. Kini warganegara persekutuan Malaysia perlu keluar daripada kepongpong yang telah lama membelenggu fikiran dan tindakan yang berunsul perkauman. Kerajaan di bawah kepimpinan YAB Dato’ Sri Mohd Najib mengajak warganegara berkerja secara bersama untuk membina, memaju serta memantapkan negara tanpa mengira kaum. Negara perlu diutamakan mengatasi segala kepentingan peribadi dan kumpulan masing-masing. Kerajaan akan bersikap adil dan saksama kepada rakyat di negara ini tanpa memingirkan mana-mana kaum berdasarkan kepentingan dan mereka yang layak akan diberi bantuan. Kepentingan bumiputera juga akan dijaga sebagaimana yang terjamin dalam perlembagaan berasaskan kepentingan dan kelayakan. Nilai-nilai murni seperti hormat menghormati dan saling mempercayai perlu wujud di kalangan rakyat negara ini. Setiap kaum perlu menghindari perasan curiga dan syak wasangka kerana setiap kaum akan mendapat hak dan peluang yang sama. Setiap kaum bebas mengamal dan menganuti agama, budaya dan adat resam masing-masing di samping kaum yang lain perlu menghormati. Fikiran dan tindakan perlu mengatakan bahawa kita adalah warganegara persekutuan Malaysia, bangsa Malaysia dan bertekad untuk bersama membangun dan memajukan negara di samping sedia mempertahankan negara daripada sebarang ancaman. P/S Benda yang baik patut diberi sokongan dan benda yang tidak baik wajib kita menolaknya.

Friday, August 28, 2009

Tarbiyah Luqmanul Hakim Dalam mendidik Anak

Di antara surah-surah di dalam Al-Quran, terdapat satu surah yang dinamakan Surah Luqman dan terkandung di dalamnya nasihat dan panduan bagaimana Luqman mendidik anak-anaknya menjadi seorang insan yang kamil. Pendidikan yang diterapkan oleh Luqman Al-Hakim paling menekankan pegangan aqidah yang kukuh kepada Allah SWT di samping menekankan soal keinsafan, kesedaran dan sikap tanggungjawab yang mendalam. Itulah keistimewaan didikan Luqman Al-Hakim dan kita pun tidak sepatutnya ketinggalan dalam mengikutinya di dalam kehidupan sehari-harian. Intisari didikan luqman Al-Hakim ini boleh dibahagikan kepada 3 aspek yang penting iaitu sudut aqidah, sudut solat dan sudut akhlak. 1. Sudut aqidah Syirik adalah sesuatu yang paling mudah terjadi jika bekalan aqidah yang kukuh tidak ditanamkan di dalam setiap diri sejak kecil lagi. Hendaklah kita membiasakan diri kita dengan mengingati Allah SWT di dalam semua keadaan untuk mengelakkan terjadinya syirik tersebut. "Dan ingatlah sewaktu Luqman berkata kepada anaknya:"Wahai anakku kesayanganku, Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain). Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar."(Luqman :31) 2. Sudut solat Solat adalah tiang agama dan amalan yang pertama sekali yang akan dihisab di akhirat kelak. Solat yang dikehendaki oleh Islam ialah yang disertai dengan sepenuh perhatian dan penempuan fikiran, penuh rasa takut dalam hati serta menzahirkan keagungan dan kebesaran Allah. Sesuai dengan firman Allah dalam Surah Luqman, ayat 17 yang bermaksud ; "Wahai anak kesayanganku! Dirikanlah solat." 3. Sudut Akhlak Wajib berbakti kepada ibu bapa kerana ibu bapa adalah manusia yang paling banyak berjasa kepada kita. "Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibubapanya , ibunya mengandungkan dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu, kepadaKu jua tempatmu kembali." (Luqman:41) Sabar di dalam menegakkan keimanan, melaksanakan amal soleh, memperjuangkan kebenaran dan keadilan dan juga menghadapi hawa nafsu, musuh-musuh luar dan segala kepayahan dan kesulitan. "... dan berhati teguhlah dalam menghadapi apa yang menimpa engkau, sesungguhnya (sikap) yang demikian itu termasuk perintah yang sungguh-sungguh.(Luqman:17) Mengelakkan diri dari sifat sombong dan takabur. Takabur adalah punca pergaduhan dan pertelingkahan manakala tawaddhu' yang dianjurkan Islam adalah penguat persaudaraan, perpaduan dan melahirkan keselamatan dan ketenangan. Huraian berkenaan sikap takabur dan sombong ini boleh di dapati di dalam buku Bimbingan Mu'minin, karya Imam Ghazali. "Janganlah engkau memalingkan muka dari manusia kerana kesombongan, dan janganlah berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tiada mencintai sekalian orang yang sombong dan membanggakan diri."(Luqman:18) Bersederhana dalam berjalan kerana ia menggambarkan ketenangan dan kesopanan tinglahlaku. Suara juga hendaklah dilembutkan ketika bercakap (brothers-brothers/sisters-sisters sahaja) kerana ia adalah ukuran keutuhan budi pekerti. "Dan sederahanalah dalam berjalan dan lembutkanlah suara engkau. Sesungguhnya suara yang amat buruk ialah suara himar (keldai)."(Luqman:19) 4. Sudut Da'wah. Hendaklah bersama-sama melaksanakan tugas menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran seperti firman Allah s.w.t ; "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah daripada yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung."(Al-Imran:104)

Perjuangan Ayah Dan Ibu Dalam Membentuk Akhlak dan Akidah Islamiyah Anak Mereka

Anak merupakan aset yang paling bernilai kepada kedua-dua ibu dan bapa. Oleh itu, setiap pasangan yang telah berkahwin mempunyai keinginan untuk mendapatkan cahaya mata sebagai penyeri dan pelengkap kebahagiaan dalam sesebuah rumah tangga yang dibina. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Harta benda dan anak pinak itu ialah perhiasan hidup di dunia…” (al-Kahfi :46) Betapa beruntungnya kedua-dua ibu bapa yang mempunyai anak-anak soleh yang dapat membahagiakan hidup mereka . Bukan sahaja hidup di dunia bahkan di akhirat juga. Doa daripada anak-anak yang soleh tetap tidak terputus kepada ibu dan bapa mereka sekalipun kedua-duanya telah meninggal dunia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila meninggal dunia seseorang anak Adam, maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kedua-dua ibu bapanya”.(HR al-Bukhari) Anak-anak hendaklah diberi pendidikan yang sempurna seawal mungkin bermula dari dalam kandungan lagi. Tanggungjawab ibu dan bapa telah wujud sebelum terbentuknya janin. Oleh itu suami isteri hendaklah memberi perhatian dan tumpuan pendidikan sempurna sepenuhnya untuk memastikan anak tersebut menjadi anak yang soleh. Suami isteri mesti bertanggungjawab untuk menjaga kandungan dari segi kesihatan fizikal dan mental, mengamalkan pemakanan seimbang, makan minum dan rezeki dari sumber yang halal dan berkat, mengerjakan amalan-amalan kerohanian seperti membanyakkan membaca al-Quran, zikir, melakukan ibadah-ibadah sunat disamping tidak meninggalkan ibadah fardhu yang diwajibkan. Ketika isteri mengandungkan bayi, si bapa pula mempunyai peranannya yang tersendiri. Bekerjalah dengan penuh amanah, bertanggungjawab dan ikhlas demi mendapatkan rezeki yang halal untuk keluarga mereka. Sesungguhnya keberkatan lahir dari makan minum yang berpunca dari rezeki yang halal. Oleh itu para ibu bapa hendaklah sentiasa berhati-hati dan berwaspada setiap masa dalam pekerjaan. Tunaikan kerja dengan penuh dedikasi dan amanah demi memperoleh rezeki yang berkat dari sumber yang halal. Rezeki yang diberi makan kepada anak itulah yang akan menjadi darah daging yang akan membesarkan anak-anak . Jika sumbernya halal dan berkat, mudah-mudahan anak-anak yang bakal dilahirkan akan menjadi anak-anak soleh yang dapat membahagiakan hidup kedua-dua ibu bapa. Di samping itu apabila anak-anak telah diberi pendidikan sempurna mengikut syariat Islam, apabila besar mudah-mudahan mereka akan menjadi anak yang soleh. Demi mendapatkan anak-anak yang soleh, Islam telah menganjurkan kepada ibu bapa untuk melakukan beberapa amalan dari awal lagi. Islam telah menetapkan peraturan tertentu semasa menyambut kelahiran bayi iaitu dengan melakukan amalan-amalan sunat seperti berikut: i- Azan dan iqamat HENDAKLAH segera diazankan ditelinga kanan dan diiqamat ditelinga kiri sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang baru melahirkan anaknya lalu diazankan di telinga kanan dan diiqamat di telinga kirinya nescaya anak tersebut akan terhindar daripada penyakit sawan dan angkara syaitan”. (Hadis Riwayat Abu Ya’la) ii- Membelah mulut (tahnik) TAHNIK mulut bayi dengan kurma atau makanan yang manis merupakan sunnah Nabi SAW. iii- Penyusuan SUSU ibu merupakan makanan semula jadi bayi. Ia membina kesihatan dan tenaga. Ia juga makanan rohani dan akhlak yang memberi kesan kepada seluruh keperibadian anak, mengalirkan aliran pemikiran dan sikap yang baik ke dalam diri bayi melalui setiap titisan air susu ibu. iv- Memberi nama TANGGUNGJAWAB ibu bapa juga ialah memberi nama anak-anak dengan nama yang baik sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud: ” Tugas dan tanggungjawab bapa terhadap anaknya ialah memperelokkan nama anaknya dan juga adabnya” (Hadis Riwayat al-Baihaqi) v- Bercukur MENGGUNTING rambut bayi merupakan sunnah Rasulullah SAW yang dilakukan ketika bayi berusia 7 hari. Rambut tersebut hendaklah ditimbangkan dengan wang perak yang kemudiannya disedekahkan kepada fakir miskin mengikut berat timbangan rambut yang digunting tersebut. vi- Aqiqah HUKUM Aqiqah ialah sunat yang sangat dituntut (muakkad). Sabda Nabi SAW mengenainya yang bermaksud : “Setiap anak tergadai dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ke 7, dicukur ranbutnya dan diberi nama.” (Hadis Riwayat Ahmad) vii- Berkhatan BERKHATAN termasuk sunnah Rasulullah SAW. Sabda Nabi SAW mengenainya yang bermaksud: “Berkhatan itu sunat bagi kaum lelaki dan suatu penghormatan kepada kaum wanita.” (Hadis Riwayat At- Tabrani) Ketika anak-anak masih kecil berilah didikan menurut syariat Islam. Pada tahap ini ajarilah dengan sebutan kalimah-kalimah suci Allah (al-Quran). Peringkat usia kanak-kanak mereka akan mudah mengingat apa yang diajar. Oleh itu ibu bapa hendaklah :- i- Menanamkan asas-asas keimanan ii- Berlaku adil terhadap anak-anak dalam memberi kasih sayang, pendidikan, makanan, tempat tinggal dan sebagainya. iii- Mengasuh anak-anak dengan lemah lembut dan bersopan santun. iv- Mempamerkan akhlak yang mulia dan terpuji. v- Mengampuni dan mengasihi anak-anak dan lain-lain ahli keluarga dengan penuh kasih dan sayang. vi- Mendidik anak-anak ke jalan yang diredhai Allah SWT. vii- Menunjukkan teladan yang baik pada anak-anak. viii- Bertanggungjawab mencipta sebuah rumahtangga yang aman bahagia untuk didiami oleh anak-anak. ix- Bertanggungjawab memastikan anak-anak dijaga dengan baik. x- Bertanggungjawab memberi pendidikan dan pelajaran yang berguna dan menghantar mereka ke sekolah-sekolah. xi- Mengajar anak-anak mengerjakan sembahyang, mengaji al-Quran dan melatih anak-anak berpuasa. xii- Mengajar anak-anak dengan ilmu yang dapat menjadi perangsang bagi memperkayakan ilmu Islamnya. Ibu bapa hendaklah sentiasa menyuruh anak-anak mereka bersifat dengan sifat yang mulia dan murni iaitu sifat-sifat mahmudah. Mereka juga mesti melarang anak-anak dari melakukan perkara-perkara keji dan tidak elok iaitu sifat-sifat mazmumah. Oleh yang yang demikian, ibu bapa mestilah terlebih dahulu memiliki sifat-sifat mahmudah dan kemudian hendaklah diterapkan kepada anak-anak mereka. Setelah remaja, ajaran-ajaran agama Islam yang berkaitan dalam bidang syariah, aqidah dan akhlak perlu diajar secara terperinci kepada anak-anak di peringkat umur begini supaya mereka mengetahui, memahami dan dapat menghayatinya. Seterusnya perkara-perkara baik dan betul tersebut dapat diimplementasikan dalam kehidupan mereka sehari-hari. Dengan demikian mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang menyelewen, amal ibadat dan akhlak mereka akan terpandu dengan betul. Oleh itu ibu bapa amat perlu memberi didikan syariat yang sempurna kepada anak-anak mereka seawal mungkin bermula dari dalam kandungan ibu lagi seperti kata pepatah “Melentur Buluh Biar Dari Rebungnya’ agar anak-anak dapat hidup bahagia, berjaya dan membesar dalam keadaan sempurna tanpa terpengaruh dengan gejala-gejala negatif yang boleh merosakkan hidup mereka. P/S: Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan juga kepada muslimin dan muslimat bahawa tanpa "Ayah dan Ibu", mana mungkin kita dapat bernafas di atas bumi Allah ini dengan penuh kemanisan nikmat. Oleh itu, walau seburuk manapun akhlak ayah atau ibu kita, maka wajiblah kita menghormati merekq dan yang paling penting ANAK YANG SOLEH ialah seorang anak yang sentiasa mendoakannya kesejahteraan Ayah dan Ibunya.Sama-samalah kita renungkannya.

Pendidikan Keluarga Islam

Berdasarkan firman Allah s.w.t.: Maksudnya: “Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang soleh.”(Surah Ash-Shaaffat 23:100) Pendidikan keluarga Islam merupakan satu saranan dalam pendidikan Islam. Pengertian pendidikan keluarga Islam tidak terbatas pada ruang lingkup mendidik anak sejak dalam kandungan sampai masa sekolah, malah pendidikan keluarga Islam mencakupi mulai masa bayi dalam kandungan hingga anak itu dewasa dan berkeluarga. Suasana pendidikan keluarga Islam ini untuk melahirkan seorang anak yang soleh (Abdul Qadir Djaelani 2001) sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.: Maksudnya: Daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila mati anak Adam (manusia), maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh. Berdasarkan sabda Junjungan Nabi Muhammad s.a.w. tersebut mencerminkan betapa pentingnya didikan yang wajib ditekan ke atas anak-anak di peringkat bayi sehingga baligh dan seterusnya ke peringkat remaja supaya mereka dapat menjadi anak yang soleh kepada kedua ibu bapa dan berpegang teguh kepada ajaran Islam. Menurut jumhur ulamak, yang dimaksudkan hadis di atas ialah anak-anak yang soleh ialah anak-anak yang dibimbing dan dididik oleh orang tuanya supaya selalu mendoakan kesejahteraan mereka berdua di dunia dan akhirat (Umar Hasyim 1983). Oleh sebab itulah, pentingnya ibu bapa mengasuh serta mendidik anak-anak mereka selaras dengan tuntutan syaricat Islam. Menurut Ahmad Muhammad Jamãl (1989: 12) ”tarbiyah” dalam Islam membawa maksud yang amat mendalam kepada individu dan kelompok. Beliau mengatakan ’tarbiyah’ ialah satu bentuk untuk melahirkan kesedaran yang tinggi kepada ummat Islam. Ia bertujuan menyemai dalam diri seseorang itu supaya menjadi seorang Muslim yang teguh pada agama, cibadah, berkepimpinan dan mempunyai kekuatan rohani dari sudut teori, praktikal, ideologi dan tingkah laku. Dalam terminologi Bahasa cArab, istilah pendidikan (education) bererti ”tarbiyah”, dengan membawa maksud mengembangkan, memelihara, mengasuh, atau membesarkan. Kata tarbiyah di sini dengan maksud ”mengembangkan atau meningkatkan secara setahap demi setahap”. Ia adalah berlaku ke atas makhluk Allah s.w.t. yang hidup dan memiliki kemampuan untuk tumbuh dan berkembang. Khusus dikaitkan dengan pendidikan awal kanak-kanak, hal ini melibatkan bermacam usaha dalam pengertian ini bahawa semua sikap dan tingkah laku ibu bapa harus diarahkan untuk memberikan pendidikan awal kepada anak-anak secara tepat dan benar. Jadi, apa yang dapat disimpulkan di sini, bahawa anak merupakan wujud daripada sikap dan tingkah laku kedua ibu bapanya (Mahjubah Magazine 1992). Menurut Ibn Sina dalam Fatimah Ali (1989), peringkat umur dari masa dilahirkan hingga ke enam tahun itu amat kritikal. Dalam jangka usia ini, kanak-kanak mestilah ditekankan kepada pembentukan disiplin. Maka itulah sebabnya Ibn Sina mahukan ibu khususnya, sebagai guru pertama kepada kanak-kanak mempunyai sifat moral yang sempurna serta intelektual yang tinggi dari dari kacamata Islam. Ini kerana, sifat dan kekuatan mental (intelektual) serta spiritual ibu bapa mempunyai pengaruh yang kuat ke atas perkembangan sahsiah kanak-kanak. Pembentukan disiplin kanak-kanak bermula sejak tahap penyusuan. Di sinilah langkah pertama untuk kanak-kanak mempelajari sopan-santun yang baik. Selain itu, menurut Rousseau (ahli falsafah Perancis) dalam Fatimah (1989) ‘masa kanak-kanak’ di kalangan manusia adalah lebih panjang daripada haiwan. Ini adalah sebab ’masa kanak-kanak’ itu berfaedah bagi ummat manusia kerana tidak ada makhluk lain hidup di muka bumi ini yang lebih lemah dan lebih bergantung kepada alam sekitarnya. Beliau selanjutnya menjelaskan bagaimana kanak-kanak memerlukan perlindungan dan ini boleh dilakukan dengan menyediakan persekitaran yang dapat mengembangkan potensi-potensinya dan mengajarnya untuk menjalani kehidupan yang baik, supaya ia tidak ditinggalkan sendiri dan dipengaruhi oleh gejala-gejala negatif yang mungkin membawa kepada kejahatan dan keburukan. Antara penyataan beliau: ’Pentingnya masa kanak-kanak di mana peribadinya terbentuk yang pengaruhnya besar sekali pada kehidupan selanjutnya. Iaitu masa dewasa dan masa tua, hal-hal pertamalah yang patut dipelihara, sebab kanak-kanak pada asalnya diciptakan untuk menerima baik atau buruk. Hanya orang tualah yang mencenderungkan kepada salah satu daripadanya’. Dalam tamadun Barat apa yang dimaksudkan dengan ’pendidikan awal’ ialah pendidikan pendidikan prasekolah. Ia hanya untuk kanak-kanak yang berumur tiga tahun hingga enam tahun iaitu apa yang dikatakan sebagai pendidikan ’kindergarden’, tetapi selepas beberapa kajian mereka mengubah had umur itu kepada peringkat selepas lahir hingga ke enam tahun dan diwujudkan pula peringkat ’nursery’. Dari sudut Islam pula peringkat ’pendidikan awal’ ini bermula dari anak itu masih berada di dalam kandungan ibu lagi sehingga kanak-kanak itu berumur enam tahun. Secara amnya pendidikan prasekolah Islam boleh dibahagikan kepada dua peringkat sebelum lahir dan selepas lahir (Khadijah Zon et al. 1989). Dari sudut Islam juga, kanak-kanak perlu disedarkan dan diyakinkan seawal mungkin tentang status mereka sebagai insan ciptaan Allah s.w.t. Usaha ini bermula di rumah, tetapi dalam sesuatu latihan proses ini perlu berlaku secara lebih sistematik, berterusan dan terkawal dan proses mendidik ini dalam masa yang sama memerlukan kerjasama daripada ibu bapa secara serius (Mohamed Talhah Idrus 1989). Tanggapan Islam kepada pendidikan dan pembentukan kanak-kanak adalah satu tugas, tanggungjawab, amanah atau cubaan bagi kedua ibu bapa atau sesiapa sahaja yang terlibat dengan pendidikan dan pembentukan anak-anak. Pendidikan juga adalah proses penerapan secara progresif tahap demi tahap ke dalam jiwa manusia dengan ilmu, kemahiran dan akhlak agar anak-anak boleh: i. Mendisiplinkan badan, jiwa dan mental sesuai dengan keadaan potensi dan kemampuan fizik, intelek, emosi dan rohaninya. ii. Mencam dan menerima kenyataan sehingga ia boleh mempunyai persepsi, perasaan, harapan dan keinginan untuk mendapat ilmu pengetahuan. iii. Bersikap adil terhadap dirinya, orang lain, kepada haiwan, tumbuhan dan alam persekitaran. iv. Mempunyai sikap dan ciri-ciri mental, jiwa, tutur kata dan gerak geri yang berkualiti tinggi. v. Bergerak secara tepat dan betul (Khalijah Mohd. Salleh 1994). Dalam memperkatakan pendidikan awal dari perspektif Islam, Al-Ghazali berpendapat bahawa kanak-kanak merupakan amanah dan tanggungjawab orang tuanya, jiwanya suci murni merupakan permata mahal yang bersahaja dan bebas dari ukiran dan gambaran dan ia boleh menerima setiap ukiran dan cenderung kepada apa yang dicenderungkan kepadanya. Asuhan dan pendidikan awal adalah khusus kepada kanak-kanak di bawah umur enam tahun. Pada umur ini ada dua perkara penting yang dilalui oleh setiap kanak-kanak iaitu pertumbuhan dan perkembangan. Pertumbuhan adalah perubahan yang boleh diukur daripada satu peringkat ke satu peringkat dan dari suatu masa ke suatu masa seperti perubahan tinggi, berat dan bilangan gigi. Perkembangan pula adalah perubahan yang melihatkan sifat berlainan daripada sifat terdahulu seperti kebolehan seorang bayi untuk merangkak, berjalan, dan seterusnya berlari. (Rosnah Ahmad 2003). Oleh sebab itu, pada peringkat bulan-bulan terawal, anak-anak memberi pengalaman yang penting kepada ibu bapa untuk memahami sikap dan tingkah laku mereka. Pengalaman keibuan dan kebapaan adalah kompleks iaitu ia bukan sahaja pengalaman hanya sekadar melihat dan memahami anak-anak mereka tetapi juga menonjolkan identiti ibu bapa itu sendiri (Diane Richardson 1993). Dalam proses perkembangan inilah disalurkan corak pendidikan awal kanak-kanak dan melihat sejauh mana ia mempengaruhi perkembangan itu dari segala aspek sama ada keperibadian, pergaulan, kekuatan fizikal, mental, emosi dan kognitif. Dengan kata lain, pendidikan awal terhadap kanak-kanak adalah meliputi semua aspek kehidupan kanak-kanak itu sendiri supaya mereka tidak terlalu kaku untuk berdepan dengan pelbagai situasi di luar rumah apabila mula berhubungan dengan orang asing. Menurut Prof. Madya Dr. Mastura Badzis, Pengarah Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) Universiti Pendidikan Sultan Idris, hakikat yang perlu kita tahu dari fakta yang dikemukakan oleh pakar perkembangan dan psikologi kanak-kanak, diperingkat umur 6 tahun pertama inilah peringkat paling utama dan paling laju perkembangan mereka berbanding dengan peringkat-peringat atau tahap umur yang lebih dewasa dalam kehidupan seorang insan. Pakar perkembangan dan psikologi kanak-kanak berpendapat bahawa lebih separuh dari perkembangan intelektual kanak-kanak berlaku dari usia 0 hingga empat tahun manakala satu pertiga yang lain sempurna perkembangannya ketika kanak-kanak berusia 8 tahun. Menurut beliau lagi, dapatan terbaru dari kajian yang dilakukan oleh pakar neurologi mendapati bahawa 80-85% perkembangan otak manusia berlaku dalam tempoh enam tahun pertama usia seorang kanak-kanak dan peringkat perkembangan yang paling pesat ialah diperingkat umur yang terawal dalam tempoh enam tahun tersebut. Justru itu boleh dikatakan di sini bawa ketinggian kualiti pendedahan dan pendidikan awal seseorang kanak-kanak merupakan asas kepada keseluruhan perkembangannya yang akan datang.

Tuesday, August 11, 2009

Hello Sasterawan Negara ke-10.

Ungkapan "Hello" sering kali kita terlihat dan terbaca dalam hamparan dada-dada blognya untuk ditujukan kepada mereka yang hendak dibicarakan olehnya. Jadi, siapa tidak kenal kalau bukan Sasterawan Negara yang baru iaitu Datuk Dr.Mohd. Anuar Rethwan atau dikenali sebagai Anwar Ridhwan yang dinobatkan sebagai penerima anugerah sasterawan Negara yang ke-10.Majlis penyampaian anugerah itu dijadualkan pada 20 Oktober 2009. Tahniah dan syabas diucapkan. Anwar Ridhwan adalah seorang sasterawan yang terkemuka dari Malaysia. Nama sebenarnya Dato' Dr. Anuar bin Haji Rethwan dilahirkan di Sabak Bernam, Selangor pada 5 Ogos 1949. Lulusan Sarjana Muda Sastera (1973)dari Universiti Malaya, beliau kemudiannya memperolehi ijazah Sarjana Sastera (1983) dan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D)(1998) kesemuanya dari Universiti Malaya. Beliau menumpukan kerjayanya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehinggalah bersara pada tahun 2005 dengan jawatan terakhirnya Pengarah Penerbitan DBP.Selepas tamat menjadi pengarah penerbit DBP, beliau ditawarkan menjadi pensyarah dan seterusnya menjadi Dekan Fakulti Penulisan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Dalam dunia penulisan beliau terkenal sebagai seorang novelis dan penulis cerpen. Novelnya yang pertama ialah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman yang memenangi Hadiah Novel Gapena-Yayasan Sabah, (1979) yang telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa selain diadaptasikan ke pentas teater sebanyak 14 kali.Sebuah lagi novelnya Arus (1985) memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985.Antara cerpen karyanya ialah Perjalanan Terakhir (1971)pernah muncul dengan novel terkenalnya,. Dunia adalah Sebuah Apartmen (1973), Sesudah Perang (1976)dan Dari Kiev ke Moskova (1992). Karya beliau yang diilham dan disiapkan di Jepun pada tahun 2001 berjudul Naratif Ogonshoto memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001. Novel itu dengan judul "Bili i Nebili Ostrovov Ogonsoto" diterbitkan dalam bahasa Rusia (penterjemah Victor Pogadaev) pada tahun 2006 di Sanct-Petersburg (penerbit Paideia). Pencapaian 1. Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen "Perjalanan Terakhir (1971) 2. Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Dunia Adalah Sebuah Apartmen (1973) 3. Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Sesudah Perang (1976) 4. Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Sasaran, 5. Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Sahabat (1982) 6. Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Menjadi Tua (1983) 7. Hadiah Pertama peraduan mengarang novel anjuran Yayasan Sabah dan GAPENA 1 Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (1979) 8. Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985 dengan novel Arus 9. Anugerah Sasterawan Negara ke-10 (2009)-Terbaru p/s: Berharap Dr.Anwar Ridhwan terus berjuang dan berbakti kepada dunia kesusasteraan Tanah air kita. Siapa lagi untuk terus mempertahankan sastera Malaysia kalau bukan penulis sastera itu sendiri dan juga pencinta bahasa dan sastera. Tahniah sekali lagi diucapkan. "Sastera Pembina Negara Bangsa"

Friday, July 31, 2009

Mansuhkan ISA!!!

Mantan perdana menteri berkata kerajaan wajar “berani memansuhkannya.” Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata ISA memberi kuasa yang besar serta skop yang mungkin terlalu luas untuk pihak berkuasa menentukan apa yang boleh dianggap sebagai ancaman keselamatan, lapor Bernama. “Sebagai (bekas) menteri dalam negeri, saya telah menandatangani banyak penahanan tanpa perbicaraan di bawah ISA dan dengan kerajaan hari ini ingin pula mengkaji semula keberkesanan serta impak ISA, saya berasa terpanggil untuk memberi pandangan ikhlas mengenai akta ini. “Perlu ditegaskan bahawa Malaysia masih memerlukan suatu mekanisme penahanan pencegahan demi keselamatan negara kerana cabaran yang kita hadapi seperti ancaman keganasan yang merentasi sempadan menuntut perundangan yang membolehkan kerajaan mengambil tindakan pencegahan,” Abdullah menambah, sama ada suka mahupun tidak, ISA sebagai suatu akta sudah dicemari dengan stigma sebagai unsur negatif kepada agenda pemerkasaan demokrasi negara dan untuk benar-benar melakukan pembaharuan, kerajaan perlu berani untuk melangkaui kerangka lama dan membuka lembaran baru. Abdullah dilaporkan berkata beliau percaya “kerajaan berani melakukan perubahan seumpamanya seperti memansuhkan ISA” sebagai satu petanda komitmen kepada agenda pembaharuan demokrasi negara. “Inilah transformasi yang saya percaya rakyat harapkan kerana tindakan pencegahan itu seharusnya tidak mengorbankan kebebasan hak asasi manusia atau disalahgunakan untuk tujuan politik. “Mungkin satu contoh adalah untuk menghadkan skop penahanan pencegahan kepada ancaman tertentu atau akta baru boleh dihadkan khusus untuk mencegah kegiatan keganasan sahaja sekaligus mengurangkan kemungkinan penyalahgunaan kuasa demi matlamat politik,” Jadi!,mungkin kita semua berasa hairan mengapa sekarang Pak Lah baru hendak bersuara tentang perkara ini?( Sama-samalah kita fikirkannya ).Warganegara mempunyai hak ke atas negaranya. Para pemimpin sewajarnya mendengar segala rintihan dan keluhan warganya. Segala kebajikan masyarakat perlu dijaga. Apabila pemimpin tidak memperdulikan dan tidak mengendahkannya, jalan yang terbaik adalah mengadakan demostrasi jalanan yang bermaruah. Hapuskan ISA dan bebaskan tahanan ISA. Kepada mereka yang akan menyertai perhimpunan gerakan memansuhkan ISA esok bermula jam 2.00 petang, saya berpesan kepada semua agar melakukannya secara aman dan tenang. Manakala, pihak polis ( FRU ), bertindaklah menggunakan akal yang rasional dalam melakukan tugas dan jangan terlalu emosional sehingga sanggup melepaskan water canon kepada mereka yang menyertainya. Kepada pemimpin, sedarlah akan kesalahan kalian semua, jangan terlalu mementingkan kuasa dan pengaruh politik masing-masing sehinggakan kepentingan warganegara diabaikan. Ayuh bangkit wahai warganegara,bebaskan tahanan & leburkan ISA di bumi Malaysia Tercinta.. Tarikh 1 Ogos (ESOK) dipilih sempena 49 tahun ISA yang digubal sejak 1 Ogos tahun 1960.

Wednesday, July 29, 2009

TsuBabi H1N1 (Selesema Babi)

Apa sudah terjadi pada zaman sekarang?!... TsuBabi H1N1 sedang menggila diserata dunia, virus ini mencari-cari dan mengejar-mengejar mangsanya untuk meratah sekujur tubuh manusia yang tidak berdosa dengan rakusnya. Kecelakaan atau apakah semua ini??? (Sama-samalah kita fikirkan)... Kes terbaru, di UPSI yang merupakan tempat saya belajar telah dikejutkan dengan kejadian penularan simptom virus Influenza A (H1N1),atau lebih tepat lagi ialah penularan selesema Babi. Ramai yang telah menjadi mangsanya terutamanya mereka yang tinggal di unit kediaman kolej KHAR, KUO,KZ, dan KAB serta tidak ketinggalan juga mereka yang tinggal di Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) seperti Bahtera Arkib, Taman Bahtera, dan lain-lain telah menyebabkan suasana panik dan risau menghantui pelajar-pelajar upsi. Keputusan yang dibuat oleh pihak universiti adalah sangat bijak iaitu membenarkan semua pelajar bercuti selama seminggu sebagai langkah berjaga-jaga dari sebarang kemungkinan penularan selesema Babi ini. Selesema babi (juga dikenali sebagai A (H1N1)) merujuk kepada influenza (demam selesema) yang disebabkan oleh mana-mana virus dalam keluarga Orthomyxoviridae, berasal dari wabak yang menjangkiti populasi babi. Pada babi, wabak ini sejenis penyakit berjangkit yang mengganggu sistem pernafasan babi dan berpunca daripada salah satu jenis virus selesema. Jenis virus ini dikenali sebagai virus influenza babi (swine influenza virus atau SIV). Kesemua jenis SIV yang diketahui dikelaskan sebagai virus influenza A (biasa) atau virus influenza C (jarang).Sementara virus influenza B tidak pernah dilaporkan wujud pada babi. Kesemua tiga kled, virus influenza A, B, dan C, boleh menjadi wabak pada manusia. Seperti yang kita semua ketahui bahawa, wabak selesema babi ini menjangkiti manusia daripada babi yang telah dijangkiti virus. Dalam sesetangah kes, wabak ini boleh menjangkiti manusia di dalam persekitaran yang kurang mempunyai kaitan dengan babi. Wabak ini boleh merebak dan berjangkit sesama manusia yang mempunyai hubungan rapat langsung.Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (Centers for Disease Control and Prevention - CDC) di Amerika Syarikat, simptom selesema babi pada manusia menyerupai dengan influenza. Simptom ini termasuk demam, batuk, sakit kerongkong, sengal tubuh, sakit kepala, seram sejuk dan kelesuan. Beberapa pesakit lain turut melapurkan cirit-birit dan muntah.Jika mengalamai gejala ini, eloklah pergi ke hospital atau klinik yang berdekatan. Mencegah lebih baik daripada terkena penyakit TsuBabi H1N1 ni.. Umum mengetahui bahawa daging babi haram dimakan sebagaimana Firman Allah swt : "Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih) dan darah (yang keluar mengalir) dan daging babi (termasuk semuanya)" -[Surah al-Maaidah : 3] Firman Allah swt :"Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai atau darah yang mengalir atau daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor" -[Surah al-Baqarah : 145] P/S: Kepada rakan sekelas saya yang bernama Nurus Noor Hafizan Binti Taib yang disyaki mengalami simptom virus Influenza A (H1N1) saya dan rakan-rakan lain berdoa agar kamu cepat sembuh,sihat dan tidak menjadi mangsa H1N1 durjana.Sesungguhnya tiada ubat yang paling mujarab selain berdoa dan bertawakkal kepada Allah SWT.

Sunday, July 26, 2009

Bual Bicara Bersama Penulis Terkemuka Negara

Pada 25-26 Julai 2009 (sabtu dan Ahad) telah berlansungnya program jualan buku @PNM bersama penulis di Perpustakaan Negara Malaysia yang bermula jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang. Saya ditemani kawan yang bernama Akram berkesempatan berkunjung ke perpustakaan Negara pada 25 Julai 2009 (pada hari Sabtu). Tujuan kami ke sana adalah hendak mencari bahan untuk tesis dan bahan tugasan lain.Pada mulanya kami tidak mengetahui bahawa pada hari itu PNM telah mengadakan pesta jualan Buku. Jadi, Peluang yang ada didepan mata kami gunakan sebaik-baiknya dengan mencari buku-buku keluaran terbaru. Kehadiran kami juga sedikit sebanyak telah menyokong usaha perpustakaan Negara Malaysia, disamping dapat bersama-sama memeriahkan aktiviti yang telah dirancang untuk para pengunjung. Pelbagai lapisan masyarakat datang berkunjung ke sana, baik kanak-kanak hinggalah orang Dewasa. Masing-masing mengambil kesempatan membeli buku, berjumpa dengan para penulis,dan sebagainya. Pelbagai jenis buku dapat diperolehi pada hari itu iaitu daripada buku ilmiah sehinggalah kepada buku kanak-kanak.Berdasarkan tinjauan dan pemerhatian saya,kebanyakan para peniaga membuat potongan harga buku sekitar 10- 15%. Diskaun niaga yang ditawarkan oleh peniaga sedikit sebanyak telah menggalakkan pengunjung membeli buku dengan lebih banyak. Pada tahun ini terdapat sedikit kelainan berbanding pada tahun-tahun yang sebelumya. Hal ini kerana banyak aktiviti-aktiviti yang telah diatur oleh pihak penganjur seperti Program Car Boot - Book Sale,program bersama penulis, program pertukaran buku, demonstrasi seni Khat,kelab membaca sinar pintar,khidmat pemuliharaan buku Kempen Keahlian, Books On The Go, Program jualan buku,Jualan Buku Terbitan PNM dan macam-macam lagi aktiviti yang telah dibuat. Jika tahun lepas, aktiviti yang dibuat boleh saya katakan disini adalah hanya menjual buku sahaja. Sedang saya khusyuk menyelak-nyelak buku yang hendak dibeli, datang pula wartawan penyiaran dari stesen TV9 membuat liputan dan meminta saya memberi sedikit ulasan tentang program yang diadakan di PNM. Mahu tak mahu terpaksalah juga memberi ulasan serba sedikit tentang program yang dibuat pada hari itu.(sebenarnya diorang tak tau dalam dada gua mase diinterview macam nak tercabut jer jantung gua nie hahaha). Malu r kuar tv9.Tapi fikir-fikir, sekali sekala kuar dalam tv ape salahnye kan (action la plak dah)hehe. Saleha Hussin program bersama penulis. Program yang kami ikuti dan antara program yang saya sukainya.Hal ini kerana saya dapat berkomunikasi secara terus dengan penulis terkenal.Antara penulis yang saya bual bicara ialah Saleha Hussin iaitu seorang penulis wanita yang berkarisma,prolifik dan banyak membabitkan diri dalam beberapa genre penulisan termasuklah novel,cerpen dan puisi.Pada pendapat saya, Saleha Hussin merupakan seorang penulis yang slumber dan mudah mesra. Sempat juga kami bertanya tentang novel hasil tulisannya yang berjudul Pemburu Mimpi. Menurut keterangan Saleha Hussin, novel ini merupakan sebuah novel yang sarat dengan unsur (psikologi) dan lebih berkisar kepada dunia seseorang wanita(Emansipasi) . Jadi saya syorkan elokla wanita-wanita di luar sana membeli buku ini, heheheh...Harganya amat berpatutan cuma RM47 Jer dan boleh didapati di DBP atau kedai-kedai buku. Novel ini mengandungi 1250 mukasurat sinopsis belakang buku: "kita boleh hormat dia, Lina, tapi jangan minta lebih daripada itu. Akak tak mahu buat dosa pada dia. Biarlah dia pergi dik. Lagipun ... kita cuma anak perempuan. Kita bukan boleh menyambung zuriatnya. Kita tak boleh mengusung mayatnya ke kubur. Biarlah kita dengan hidup kita di sini. Selama ini pun , beginilah mak membesarkan kita semua. Biarlah dia dgn hidupnya di sana. Kita tak perlukan sesiapa..." Kata-kata Dr Hamimah yang terakhir itu sungguh muktamad buat bapanya, Johan. Hatinya hancur luluh. Semua harapannya sudah musnah. Dia menangis dalam kesepian, tetapi apa kan daya, segala-galanya telah berlaku. Dia tidak berdaya memusingkan masa itu. dialah yang merncang semua ini. Tidak boleh disalahkan kepada takdir Tuhan. Tuhan hanya melorongkan permintaannya. Dia berusaha, bersusah payah untuk mendapat anak lelaki. Tuhan sudah pun memenuhi hajatnya. Si anakkah yang bersalah kerana mengetepikan bapanya, atau si bapakah yang bersalah kerana pernah mengetepikan anak-anaknya? Sebagai pembaca, anda diminta menjadi pengadilnya. Pastikan anda membaca novel yang mengisahkan perjuangan wanita ini untuk mendapatkan keputusan yang benar-benar adil. Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin Penulis kedua yang kami sempat bual bicara ialah Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin, seorang penulis dan penerima S.E.A Write Award 2000. Seorang sasterawan bukan Melayu yang tidak asing lagi dalam dunia sastera negara. Seorang yang ramah,mudah mesra. berketerampilan dan berkarisma. Peluang ini digunakan sebaik-baiknya, kami sempat bertanya tentang biodata dirinya serba sedikit, apa yang baru diketahui oleh saya ialah Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin merupakan bekas pelajar sekolah Menengah Kebangsaan Machang, kelantan (SMKMK) yang merupakan sekolah saya belajar dari tingkatan satu hingga ke tingkatan enam. Kejayaan Beliau menjadi seorang sasterawan sedikit sebanyak telah menaikkan imej sekolah kami. pengalaman Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin semasa menjadi guru di Kerilla, daerah Tanah Merah kelantan, turut dikongsi bersama kami. Kami amat kagum kepadanya kerana semasa hayat beliau menjadi guru, beliau menjadi seorang guru Matematik Moden tingkatan 4&5 dan bukannya guru mata pelajaran Sastera Cina mahupun Sastera Melayu. Katanya, menjadi guru bukannya mudah lebih-lebih lagi mengajar subjek Matematik yang sememangnya kurang digemari oleh kebanyakan pelajar sekolah.Pelbagai cabaran dan rintangan yang dialaminya semasa mengajar di alam persekolahan, dan ini sudah pasti memerlukan pengorbanan dan kesabaran yang jitu. Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin pada pandangan saya seorang yang bijaksana dan berfikiran kreatif. Hal ini kerana, semasa mengajar dalam kelasnya beliau menggunakan Pendekatan yang bersahaja dan memahami pelajarnya (Psikologi)sehinggakan subjek yang diajarnya digemari oleh pelajar dan ramai anak muridnya lulus dalam mata pelajaran Matematik Moden. erm..Terdetik dalam jiwa kami ingin menjadi seperti Lim Swee Tin. (Berangan la konon haha). " Saya sama seperti kamua(Pelajar ) iaitu kurang cekap dalam mengira dan kurang meminati dalam subjek matematik ini, jadi sama-samalah kita belajar subjek yang kita tidak minati ini sehingga kita boleh menguasainya"- ( Ungkapan beliau semasa menjadi guru Matematik Moden ) Ditanya tentang perkembangan terbarunya, Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin berkata bahawa beliau sekarang sedang menyiapkan bukunya yang berkaitan dengan cara-cara menulis sebuah novel yang bermutu dan bernilai. Tambah beliau lagi, buku tersebut akan dipasarkan pada tahun ini jka tidak apa-apa masalah. Isterinya juga ada bersamanya semasa kami berbual bicara di boot mereka. Isterinya bernama Selina. F. LEE, yang merupakan salah seorang penulis baru yang sedang berjinak-jinak dalam dunia penulisan. Beliau pernah memenangi hadiah sastera Utusan Public Bank. Katanya, Beliau berjaya memenagi hadiah tersebut kerana hanya belajar berpandukan buku yang bertajuk mendekati seni penulisan kreatif iaitu sebuah buku hasil tulisan suaminya Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin. "Sangat berimpak. Saya memperoleh banyak ilmu penulisan kreatif setelah membaca tulisan-tulisan yang terkumpul dalam buku ini ( Mendekati seni penulisan kreatif)." - S. F. LEE ( pemenang Hadiah Sastera Utusan Public Bank ) Sebelum kami beredar dari boot mereka, sempat juga membeli satu buah buku Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin yang bertajuk Mendekati Seni Penulisan Kreatif sebagai tanda kenag-kenangan, dan kami sempat juga meminta autograf daripada beliau dan isterinya. Malah lebih manis lagi, kami mendapat potongan harga buku yang amat murah daripada harga asal. selain itu, mendapt dua buah buku percuma antaranya ialah antologi puisi potret harum kuntum-kuntum zaitun serta buku catatan memetik Mawar. Kami berharap agar program yang telah dilaksanakan oleh pihak Perpustakaan Negara Malaysia diteruskan pada tahun-tahun berikutnya. Banyak manfaat dan maklumat yang diperolehi oleh pengunjung. "Membaca Membina Minda"-Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin

Thursday, July 23, 2009

Kemuliaan Syaaban

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Sayidatina Aisyah Radhiallahuanha, dia telah berkata yang maksudnya : "Adalah Rasulullah SAW sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa Baginda berpuasa berterusan dan Baginda sering berbuka sehingga kami menyangka bahawa Rasulullah akan berbuka seterusnya. Aku tidak pernah melihat Baginda berpuasas ebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak dari puasanya di bulan Syaaban." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Dari hadis di atas dapatlah difahami bahawa ini menunjukkan kelebihan bulan Syaaban dari bulan-bulan yang lain dari segi pemilihan bulan untuk beramal ibadat selain dari bulan Ramadhan. Selain dari itu, Rasulullah SAW pernah mengumpamakan keutamaan bulan ini dengan keutamaan diri Baginda sendiri ke atas nabi-nabi yang lain. Sabda Baginda yang maksudnya : "Keutamaan bulan Syaaban ke atas bulan-bulan yang lain adalah seperti keutamaan saya di atas semua nabi-nabi yang lain, sedangkan keutamaan bulan Ramadhan ke atas semua bulan yang lain adalah seperti keutamaan Allah Taala ke atas makhluk-Nya."

Monday, July 20, 2009

Peristiwa Isra' Mikraj

Israk bererti perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Bait al-Maqdis Palestin. Peristiwa ini ada terakam di dalam Al-Quran. Firman Allah Taala bermaksud: Maha Suci Allah yang telah menperjalankan hambaNya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin) yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (Surah al-Israa: ayat 1) Sementara itu Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. dari Masjid al-Aqsa ke Sidrat al-Muntaha di langit ketujuh dekat singgahsana Allah Taala sepertimana yang digambarkan oleh Al-Quran. Firman Allah Taala bermaksud: Dan sesungguhnya (Muhammad) telah melihat (Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) pada waktu yang lain. (iaitu) Sidrat al-Muntaha. Di dekatnya terletak syurga tempat tinggal (Jannat al-Makwa). (Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) ketika Sidrat al-Muntaha itu diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling daripada yang disaksikannya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) TuhanNya yang paling besar. (Surah an-Najm: ayat 13-18) Dapatlah disimpulkan di sini bahawa peristiwa Israk Mikraj adalah sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad S.A.W. pada malam hari di atas kehendak dan keizinan Allah Taala dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan kemudian naik ke langit sampai ke Sidrat al-Muntaha bahkan menembusi tujuh lapis langit lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama. SEBAB KEPADA ISRAK MIKRAJ Bulan Rejab iaitu tahun ke-11 dari kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. disifatkan oleh ahli sejarah sebagai tahun dukacita bagi baginda berikutan dengan dua musibah yang menimpa baginda secara berturut-turut. Iaitu kehilangan dua insan yang baginda sayangi berikutan kewafatan Khadijah (isteri baginda) dan kemudian disusuli pula dengan pemergian Abu Talib (bapa saudara baginda). Musibah yang menimpa itu mempunyai pengaruh besar terhadap diri Nabi Muhammad S.A.W. Baginda merasakan ruang untuk pergerakan dakwah di Makkah semakin sempit dan keselamatan diri turut terancam. Keadaan ini mendorong baginda untuk berpindah ke Thaif dengan harapan agar penduduknya menerima seruan dan bersedia membantu perjuangannya. Namun segala harapan baginda hancur kerana penduduk Thaif bukan saja tidak mahu memberi perlindungan kepada baginda malah baginda dicaci dan dihina dan pelbagai lagi. Nabi Muhammad S.A.W. kembali semula ke Makkah dengan perasaan hampa dan dukacita. Lalu Allah Taala menganugerahkan Israk Mikraj yang antara lain bertujuan untuk menghibur dan memantapkan iman Nabi Muhammad S.A.W. Sebab kepada Israk Mikraj ini adalah antara sebab musabab berlakunya peristiwa ini namun semuanya di atas kehendak dan ketetapan dari Allah Taala. PERJALANAN ISRAK DAN MIKRAJ Telah disebut pada suatu ketika Nabi Muhammad S.A.W. sedang duduk di tepi Kaabah lalu datanglah malaikat Jibril A.S. dengan seekor Buraq untuk membawa Nabi Muhammad S.A.W. dalam peristiwa Israk Mikraj ini. Dari segi bahasa Buraq bererti kilat cahaya. Ia sejenis makhluk menyerupai haiwan. Saiznya besar sedikit dari khimar dan kecil sedikit dari baghal. Buraq dijadikan oleh Allah Taala dari cahaya. Ia boleh melangkah sejauh mata memandang. Setelah itu berangkatlah Nabi Muhammad S.A.W. dengan ditemani oleh malaikat Jibril A.S. menuju ke Bait al-Maqdis dan baginda solat dua rakaat di situ dan menjadi imam kepada para nabi lain. Setelah selesai solat maka Nabi Muhammad S.A.W. telah dihidangkan dua bejana yang mengandungi dua jenis minuman iaitu satu bejana mengandungi susu dan satu bejana lagi mengandungi arak. Setelah itu Nabi Muhammad S.A.W. mengambil bejana yang mengandungi susu dan tindakan baginda memilih bejana mengandungi susu mendapat sanjungan dari Jibril A.S. kerana menepati fitrah manusia. Kemudian baginda dan Jibril A.S. meneruskan Mikraj ke langit pertama hingga ke tujuh. KEJADIAN SEPANJANG ISRAK MIKRAJ Di sini Allah Taala memperlihatkan pelbagai gambaran kejadian aneh dan pelik sebagai balasan dari Allah Taala kepada hamba-hambaNya mengikut apa sahaja perbuatan yang telah dilakukan. Di antara yang kejadian yang diperlihatkan kepada baginda sepanjang Israk dan Mikraj adalah: Baginda melihat orang yang bercucuk tanam mengeluarkan hasil yang banyak dan cepat. Inilah gambaran orang yang membelanjakan harta di jalan Allah Taala. Baginda mencium bau yang amat wangi dari kubur Masyitah. Ceritanya: Sedang Masyitah menyikat rambut anak Firaun maka sikat yang digunakan itu terjatuh lalu Masyitah menyebut: Dengan nama Allah. Bertanyalah anak Firaun kepada Masitah tentang tuhan selain bapanya. Masyitah menjawab: Tuhanku dan tuhan bapa kamu adalah Allah. Anak Firaun memberitahu bapanya akan hal ini lalu Masyitah diugut oleh Firaun supaya kembali ke agama asalnya. Masyitah enggan dan tetap dengan pendiriannya. Lalu Firaun mencampakkan seorang demi seorang anaknya ke dalam air yang mendidih sehingga tiba giliran anak terakhirnya yang sedang disusui olehnya. Masyitah merasa sangat bimbang dan kesian akan anak kecilnya itu lalu Masyitah cuba melengah-lengahkan masa. Dengan kuasa Allah Taala maka bayi tersebut dapat berkata-kata lalu menyebut: Wahai ibuku! Sesungguhnya azab akhirat itu jauh lebih pedih dari azab dunia maka usahlah ibu menjauh-jauhkan diri kerana ibu di pihak yang benar. Lalu Masyitah melepaskan bayinya dan Firaun dengan segera mencampakkan bayi itu ke dalam didihan air. Masyitah berkata: Aku mempunyai permintaan iaitu supaya engkau (Firaun) mengumpulkan semua tulang dan menanamnya. Firaun berkata: Aku akan melakukannya. Lantas Firaun pun mencampakkan Masyitah ke dalam air didihan itu. Baginda melihat sekumpulan manusia berpakaian compang-camping sambil memakan sampah-sarap serta rumput. Itulah gambaran golongan manusia yang enggan mengeluarkan zakat dan tidak bersedekah kerana sayangkan harta yang dimiliki. Baginda melihat sekumpulan manusia yang mempunyai perut yang besar sehingga tidak terdaya lagi untuk bangun dan berdiri. Inilah gambaran manusia yang memakan hasil daripada perbuatan riba. Baginda melihat sekumpulan manusia yang asyik memakan daging mentah dan busuk sedangkan di sisi mereka juga terdapat daging yang telah dimasak dan berkeadaan baik. Inilah gambaran manusia yang telah melakukan zina dalam hidup mereka sedangkan mereka sudah pun mempunyai isteri yang telah dikahwini secara sah. Baginda turut melihat sekumpulan manusia yang sedang memecahkan kepalanya sendiri. Inilah gambaran manusia yang terlalu sibuk dengan hal-hal keduniaan sehingga lalai menunaikan kewajipan bersolat. Baginda melihat sekumpulan manusia yang memotong lidahnya sendiri secara berterusan. Inilah gambaran manusia yang dalam hidup mereka suka menabur fitnah dan berbohong apabila berkata-kata. Baginda melihat wanita menangis sambil meminta pertolongan tetapi tiada yang sanggup membantu. Inilah gambaran balasan wanita yang berhias bukan kerana suaminya. Baginda melihat wanita tergantung pada rambutnya serta otaknya menggelegak dalam periuk. Inilah gambaran balasan wanita yang tidak menutup auratnya. Baginda melihat wanita berkepala seperti babi dan badannya seperti kaldai dan menerima berbagai-bagai balasan. Inilah gambaran wanita yang suka membuat fitnah dan bermusuh dengan jiran dan membuat dusta. DIFARDHUKAN SOLAT LIMA WAKTU Daripada pelbagai kejadian yang disaksikan sendiri oleh Rasulullah S.A.W. ini ada suatu hal yang amat besar dan penting yang melibatkan proses peribadatan umatnya iaitu perintah Allah Taala agar melakukan ibadat solat fardu. Sewaktu tiba di Sidrat al-Muntaha maka Rasulullah S.A.W. telah menerima perintah Allah Taala iaitu perintah melakukan ibadat solat untuk seluruh umatnya sebanyak 50 waktu sehari semalam. Sebaik sahaja menerima perintah tersebut tanpa banyak bicara baginda dan Jibril A.S. bersiap sedia untuk turun ke bumi. Pada masa inilah baginda bertemu dengan Nabi Musa A.S. yang bertanyakan hal itu kepada baginda. Setelah mendengar penjelasan Nabi Muhammad S.A.W. maka Nabi Musa A.S. berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah sedikit keringanan kerana bilangan tersebut tidak akan terdaya dilakukan oleh umatmu. Nabi Muhammad S.A.W. dan Jibril kembali mengadap Allah Taala. Jumlah bilangan waktu solat telah dikurangkan kepada 40 waktu. Apabila berjumpa Nabi Musa A.S. kemudiannya maka Nabi Musa A.S. meminta baginda kembali menemui Tuhan untuk meminta dikurangkan lagi jumlah tersebut. Setelah beberapa kali Nabi Muhammad S.A.W. berulang alik menemui Allah Taala dan pada akhirnya Allah Taala telah mengurangkan bilangan solat fardu tersebut menjadi 5 waktu sahaja. Apabila kembali semula maka Nabi Musa A.S. masih merasakan umat Nabi Muhammad S.A.W. masih tidak terdaya untuk melakukannya dengan bilangan 5 itu. Nabi Muhammad S.A.W. menyatakan bahawa beliau tidak akan mengadap Allah Taala lagi untuk memintaNya mengurangkan bilangan solat itu kerana baginda merasa malu untuk berdepan dengan Allah Taala. PERTIKAIAN KAFIR QURAISY Tiada alasan untuk menolak hakikat peristiwa Israk Mikraj yang dilalui oleh Nabi Muhammad S.A.W. dengan roh dan jasadnya sekali kerana baginda telah diIsrak dan diMikrajkan oleh Allah Taala. Sekalipun peristiwa Israk Mikraj itu adalah perkara luar biasa di sisi akal manusia tetapi bagi Allah Taala Yang Maha Berkuasa maka Dia boleh melakukan apa jua perkara yang dianggap pelik menjadi perkara biasa dan tiada yang mustahil bagiNya. Kalaulah peristiwa Israk Mikraj itu sekadar mimpi Nabi Muhammad S.A.W pergi ke Bait al-Maqdis dan juga mimpi naik ke langit tujuh maka kaum musyrikin Makkah tidak akan marah dan mempersenda baginda kerana mimpi adalah perkara biasa bagi semua orang. Bilamana kafir Quraisy menentang habis-habisan dan berusaha mati-matian menyangkal peristiwa Israk Mikraj yang berlaku dengan roh dan juga jasad Nabi Muhammad S.A.W. ini bererti dengan sendirinya mereka mengakui bahawa baginda telah diIsrak dan diMikrajkan dengan roh dan jasadnya sekali. Ini kerana mimpi bukanlah suatu yang luar biasa dan tidak menyebabkan orang bersengketa mempertikaikan jika ada orang yang mendakwa sedemikian rupa. Sekiranya Nabi Muhammad S.A.W itu sekadar mimpi naik ke langit sahaja maka tidak ada mustahaknya orang-orang kafir Quraisy mencabar baginda untuk membuktikan kebenaran ceritanya dengan menanyakan baginda berkenaan rupabentuk Masjid al-Aqsa serta jumlah pintu dan tiangnya dan juga perkara-perkara yang berkaitan dengan masjid tersebut. Pertanyaan kafir Quraisy mengenai keadaan rupabentuk Masjid al-Aqsa dengan tujuan untuk memerangkap Nabi Muhammad S.A.W. kerana mereka yakin seratus peratus bahawa baginda tidak pernah menjejakkan kaki ke Bait al-Maqdis. Sebaliknya apabila semua pertanyaan telah dijawab dengan betul maka mereka menjadi panik dan bingung. Mereka tahu bahawa Nabi Muhammad S.A.W. sebelum peristiwa ini sememangnya tidak pernah pergi ke Bait al-Maqdis tetapi mereka hairan bagaimana baginda boleh menjawab semua pertanyaan berhubung Masjid al-Aqsa itu dengan tepat. Mereka telah hilang punca dan mereka terpaksa membuat tuduhan bahawa Nabi Muhammad S.A.W. adalah seorang ahli sihir. Sememangnya tiada dalam ingatan Nabi Muhamamd S.A.W. tentang rupabentuk Masjid al-Aqsa kerana baginda sekadar dibawa singgah sebentar oleh Jibril A.S. untuk menunaikan solat dua rakaat. Bagaimanapun Allah Taala tidak akan membiarkan RasulNya terperangkap dalam percaturan jahat puak musyrikin Makkah yang cuba hendak memalukan baginda. Allah Taala datangkan Masjid al-Aqsa ke hadapan Nabi Muhammad S.A.W. Justeru itu Nabi Muhammad S.A.W. dapat melihat Masjid al-Aqsa dengan jelas sehingga mudah untuk baginda menjawab semua pertanyaan puak musyrikin. Orang yang beriman akan terus beriman dan makin bertambah kukuhlah iman mereka. Manakala orang yang tidak beriman akan terus kufur bersama kekufuran mereka. Semuanya telah dibentangkan di depan mata.