Pages

Saturday, October 3, 2009

Islam dan tata tertib menjamu selera

“ Makanlah dari makanan yang baik, dan kerjakanlah amalan-amalan yang soleh.”

( al-Mu’minun: 51)

Oleh kerana tujuan utama bagi orang yang mempunyai pemikiran yang waras ialah menemui Allah kelak pada hari penerimaan balasan, padahal tiada jalan untuk sampai bertemu dengan Allah melainkan dengan ilmu pengetahuan serta amalan. Hal itu pula tidak mungkin berkekalan, melainkan dengan keselamatan tubuh badan, dan tubuh badan tidak mungkin terpelihara dan selamat, melainkan dengan makanan yang dimakan sekadar yang diperlukan dari masa ke semasa. Maka dari wajah ini, sebahagian para ilmuan islam telah berkata :
Sesungguhnya memakan makanan itu termasuk urusan keagamaan.
Terdapat tiga keterangan yang harus diperhatikan oleh seseorang yang sedang menghadapi makanan, iaitu;
  1. Adab orang yang mahu memulakan makan.
  2. Adab diwaktu makan.
  3. Hal-hal yang dituntut sesudah makan.
  1. Adab orang yang mahu memulakan makan.
  • Makanan itu mestilah dari yang halal dan cara memperolehinya juga harus secara halal, menurut petunjuk syariat dan wara’, tidak boleh diusahakan dengan cara yang dilarang di dalam syariat, ataupun dengan cara menurutkan hawa nafsu ataupun dengan cara penipuan. Dan Allah Ta’ala telah pun memerintahkan kita suapa memakan makanan yang baik, yakni secara halal, sebagaimana Dia telah mengutamakan larangan makanan secara batil (haram) daripada larangan membunuh jiwa tanpa hak, iaitu untuk mengeraskan lagi larangan memakan yang haram dan membesarkan keberkatan memakan yang halal. Allah Ta’ala telah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memakan harta-harta sesama kamu dengan jalan kebatilan, melainkan dengan perniagaan secara sukarela satu sama lain dan janganlah kemu membunuh dirimu.”(an-Nisa’: 29)

  • Membasuh tangan sebab tangan ini tidak sunyi dari kotoran kerana seringkali ia digunakan untuk membuat pekerjaan yang berbagai-bagai. Oleh itu membasuh tangan adalah lebih dekat kepada kebersihan dan kesucian.
  • Apabila memakan sesuatu makanan, diniatkan memakan kerana bertaqwa kepada Allah dan kerana menguatkan badan untuk menjalani ketaatan kepada Allah Ta’ala supaya dengan yang demikian, dia boleh menjadi seorang yang taat pada mengerjakan ibadat. Untuk menjamin niatnya atas dasar ini, hendaklah jangan sampai tangannya mencapai makanan, melainkan setelah benar-benar lapar. Jadi kelaparan yang merupakan satu-satu sebab yang menjadikannya memakan makanan itu. Kemudian hendaklah ia mengangkat tangannya (Berhenti makan) dari makanan itu sebelum benar-benar kenyang.
  • Hendaklah ia sentiasa redha dengan makanan yang terhidang di hadapannya, yakni rezeki yang telah dikurniakan oleh Allah kepadanya.
2. Adab diwaktu makan
  • Hendaklah memulakan dengan membaca Bismillah pada mula menyuap makanan, dan bila selesai makan, dia mengucapkan dengan Alhamdulillah pula. Ucapan ini lebih baik jika dibaca dengan suara tinggi untuk mengingatkan orang-orang yang makan bersama-samanya.
  • Hendaklah ia menggunakan tangan kanan.
  • Hendaklah sedaya upaya, ia memperkecilkan suapannya.
  • Jangan sekali-kali mencela makanan yang terhidang. Rasulullah s.a.w. tidak pernah mencela sebarang makanan yang dihidangkan kepadanya, tetapi jika suka dimakannya; kalau tidak ditinggalkannya saja.
  • Hendaklah ia memakan makanan yang ada berhampiran dengannya saja, kecuali jika makanan itu merupakan buah-buahan maka bolehlah ia menghulurkan tangannya.
  • Jangan mengesat tangannya dengan roti atau dengan makanan yang lain. Jangan meniup makanan yang masih panas, tetapi hendaklah ia bersabar, sehingga makanan itu sejuk dan mudah untuk dimakan.
  • Kalau memakan kurma, jangan diletakkan bijinya dengan kurma itu dalam satu bekas, ataupun dikumpulkan bijinya dalam genggaman tangan, tetapi biji yang dikeluarkan dari mulutnya itu diletakkan di belakang tapak tangannya lalu dibuang. Demikian pula caranya dibuat pada buah-buahan yang lain yang berbiji atau berkulit.
  • Jangan terlalu banyak minum ketika makan, kecuali kalau tercekik oleh makanan itu, ataupun jika ia memang betul-betul dahaga.
3. Hal-hal yang dituntut sesudah makan.
  • Hendaklah berhenti makan, sebelum merasa terlalu kenyang.
  • Hendaklah ia bersyukur kepada Allah dengan sepenuh hati terhadap makanan yang telah direzekikan, dan menganggap makanan itu sebagai nikmat dari Allah. Allah telah berfirman dalam surah Al-Baqarah:172)

“Makanlah yang baik-baik dari rezeki yang telah Kami kurniakan dan bersyukurlah kepada Allah atas kurniaanNya.”
  • Membasuh tangan, kemudian membersihkan celah-celah gigi dari makanan yang terselit.
  • Sekiranya memakan makanan yang dijamu oleh orang lain, maka hendaklah ia mendoakannya:

“Ya Allah! Ya Tuhanku Perbanyakkanlah kebaikannya dan berkatilah ia dalam rezeki yang Engkau kurniakan kepadanya dan jadikanlah kami sekalian tergolong orang-orang yang mensyukuriMu.”

Sekiranya berbuka puasa di tempat orang, hendaklah ia mendoakan pula:

Telah berbuka di tempat kamu orang-orang yang berpuasa dan telah makan makanan yang kamu hidangkan tadi orang-orang yang baik, dan moga-moga para Malaikat akan mendoakan bagi kamu dengan cucuran rahmat Allah”.

Sesudah makan, disunnnatkan pula membaca:

“Segala kepujian bagi Allah yang telah memberi kamu makan dan minum dan telah mencukupi kami serta melindungi kami”

0 comments:

Post a Comment