Pages

Tuesday, September 8, 2009

Doa Kerana Menzalimi Diri Sendiri

Setiap manusia sudah pasti tidak lari daripada melakukan pelbagai kesalahan di dunia.Saya dan anda juga tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan menzalimi diri sendiri.Oleh itu, untuk menghilangkan rasa resah dan dukacita akan kezaliman kita lakukan kepada diri sendiri maka Al-Quran telah mengajar umat manusia yakni Umat Islam agar mengamalkan doa dibawah iaitu Doa yang telah diamalkan oleh Nabi Adam as.
"Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Sekiranya Engkau tidak mengampuni dosa kami ini dan tidak mengasihani kami, maka pastilah kami akan tergolong daripada orang yang rugi."

Pengurusan Emosi

Emosi boleh ditakrifkan sebagai satu keadaan yang dialami oleh seseorang manusia yang melibatkan beberapa perubahan proses fisiologi, diri dan psikologi. Perubahan ini melibatkan satu set tindak balas automatik, viseral iaitu meluap-luap dan komunikasi emosi seperti ekspresi muka, perkataan, isyarat dan tingkah laku lain yang dipaparkan oleh seseorang itu. Manusia yang normal dilihat sebagai individu manusia yang mengalami situasi yang pelbagai dan berkehendakkan reaksi bagi melahirkan emosi yang juga berbeza. Pelbagai emosi atau perasaan telah dikurniakan daripada Allah S.W.T. kepada manusia. Remaja sebagai manusia biasa juga tidak terkecuali daripada merasai emosi-emosi tersebut. Antara emosi yang wujud dalam manusia adalah seperti marah, takut, rasa bersalah, murung, sedih, meluat, dukacita, tidak berharga, memberi maaf dan sebagainya. Apa yang penting adalah mengenal pasti cara anda menunjukkan emosi yang negatif kerana emosi jenis ini selalu membawa kepada keburukan.
"Individu yang memiliki tahap kecerdasan emosi yang tinggi adalah seorang individu yang boleh mengawal perasaan dan tindakan sendiri, mempunyai daya ketahanan untuk mencapai matlamat hidup, boleh mengurus perasaan negatif serta mudah menjalinkan persahabatan dengan orang lain."
"Sementara individu yang memiliki tahap kecerdasan emosi yang rendah pula akan bertindak mengikut perasaan tanpa memikirkan akibatnya dan mempunyai matlamat hidup yang kurang jelas. Selain itu juga, individu tersebut kurang mahir mengurus perasaan negatif serta kurang mahir dalam menjalinkan persahabatan dengan orang lain."
Secara keseluruhannya, kecerdasan emosi menekankan tentang ciri sahsiah yang dimiliki oleh seseorang individu itu. Kemahiran sosial dan emosi adalah lebih penting dalam kejayaan hidup daripada kebolehan intelektual semata-mata. Kecerdasan intelektual (IQ) membolehkan seseorang untuk belajar di universiti dan kolej atau pun memegang jawatan profesional. Bagaimanapun, ia bukanlah satu jaminan yang seseorang manusia yang bijak dan pandai akan sejahtera dalam hidup. Kemahiran mengawal dan menggunakan emosi (EQ) secara bijak sebenarnya memainkan peranan yang penting dalam menjamin kesejahteraan hidup seseorang. Kadangkala kita tidak dapat mengelak untuk menunjukkan emosi yang negatif. Walaupun kita terpaksa menunjukkan emosi 'buruk' namun kesan negatif dapat dikurangkan jika bertenang dan mengambil kira perkara di bawah semasa menunjukkan perasaan negatif tersebut: i. Jangan terlalu dramatik. ii. Jangan tunggu sehingga perkara menjadi teruk. iii. Singkatkan interaksi. iv. Jangan menyalahkan orang lain atau membuat orang berasa bersalah. v. Cakap apa yang anda rasai. vi. Tanya apa yang orang lain rasai. vii. Beri cara untuk menjaga air muka(contohnya: mungkin saya salah faham dengan awak atau saya tahu tujuan awak baik). Cara Membina dan Mengawal Emosi Agar Sentiasa Cerdas Kehidupan di kawasan bandar sebenarnya menjadi salah satu sebab berubahnya kehidupan seseorang individu remaja. Mereka lebih terdedah kepada kehidupan yang penuh sosial dan terbuka serta memperolehi sesuatu perkara atau maklumat lebih cepat jika dibandingkan dengan para remaja yang berada di luar bandar. Untuk itu, setiap individu itu perlu diajar dan dibimbing cara-cara mengawal perasaan marah, kurang sabar dan agresif dengan menggunakan cara yang positif. Di antara cara-cara mengawal emosi agar sentiasa stabil dan sederhana, kita semua boleh mencuba beberapa perkara seperti mengenal emosi diri sendiri, mengurus emosi diri sendiri, mengenali emosi orang lain, memotivasikan emosi yang negatif dan mengendalikan perhubungan melalui komunikasi. Salah satu cara mengawal emosi agar sentiasa stabil dan sederhana adalah mengenal emosi diri sendiri. Seseorang individu itu perlulah cuba mengenal pasti atau cuba menyedari apakah emosi yang sedang dihadapi yang berlegar di fikiran serta apakah punca kepada timbulnya emosi tersebut. Kemudiannya, cuba kuasai emosi tersebut. Dengan kata lain, fikiran boleh menyebabkan wujudnya satu perasaan dan setelah wujudnya perasaan, maka timbullah keinginan untuk diperlakukan melalui perbuatan atau perlakuan. Cara lain mengawal emosi agar sentiasa stabil dan sederhana adalah mengurus emosi diri sendiri. Dalam konteks ini, seseorang individu itu perlulah pandai mengambil peluang mengawal emosi yang sedang menguasai diri. Emosi itu datang tanpa diundang tetapi diri sendiri yang menentukan berapa lama emosi itu menguasai diri dan apakah ia mendatangkan positif atau negatif. Cara yang seterusnya adalah mengenali emosi orang lain. Dalam konteks ini pula, seseorang individu itu perlu mengenali perasaan diri sendiri dahulu, kemudiannya barulah cuba untuk mengenali, memasuki dan menjelajahi emosi individu yang lain pula atau dengan kata lain empati. Cara ini perlu bagi mengelakkan kekeliruan emosi terutamanya apabila ada individu lain yang mahu mencurahkan emosi mereka. Cara yang keempat dalam mengawal emosi agar sentiasa stabil dan sederhana adalah memotivasikan emosi yang negatif. Dalam konteks ini pula, seseorang individu itu perlulah menjadikan emosi yang negatif itu sebagai satu alat untuk meningkatkan keupayaan dalam berfikir, merancang dan menyelesaikan sebarang masalah. Emosi yang negatif sebagai pemangkin kepada perubahan emosi yang positif. Cara yang terakhir adalah mengendalikan perhubungan melalui komunikasi. Setelah mengenali emosi orang lain dan berjaya serta berupaya mengurus diri sendiri, maka perhubungan yang positif dan keakraban dapat dibentuk dan diwujudkan. Perhubungan dan keakraban ini boleh diwujudkan dengan lebih baik lagi melalui komunikasi dan ia boleh mengekspresikan pemikiran secara aktif tanpa diwarnai dengan kemarahan. Melalui beberapa perkara yang diterangkan di atas, ia boleh digunakan untuk mengawal emosi agar stabil dan sederhana, beberapa unit organisasi yang terlibat perlu membantu seseorang individu. Di antara unit organisasi yang perlu membantu adalah seperti ibu bapa dan sistem pendidikan di Malaysia.

Ciri-ciri Pelajar yang Gagal

"Bukan senang untuk berjaya tetapi bukan susah untuk gagal. Orang yang sering gagal adalah orang yang mempunyai banyak ciri kegagalan. Kadangkala seseorang itu tidak sedar dia sering melakukan sesuatu yang mengundang kegagalan. Oleh itu antara ciri kejayaan adalah dengan cara mengenal ciri kegagalan. Perhatikan ciri-ciri di bawah ini dan pastikan anda tidak mengamalkannya."
  1. Mempunyai sifat malas yang merupakan musuh utama kepada kejayaan.

  2. Tiada semangat atau motivasi sehingga merasakan bahawa pelajaran itu sesuatu yang payah, pahit dan menyusahkan.

  3. Mempunyai tanggapan bahawa pelajaran belum tentu memberi jaminan masa depan sehingga pelajaran tidak dihargai.

  4. Menjadikan seseorang yang telah gagal sebagai model.

  5. Tidak bersedia menghadapi pembelajaran dalam bilik darjah.

  6. Mengambil sikap sambil lewa dalam pelajaran.

  7. Terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya yang menjurus ke arah perkara-perjara yang tidak baik.

  8. Sentiasa menangguhkan masa untuk belajar hingga ke saat-saat akhir peperiksaan.

  9. Selalu ponteng Kuliah

  10. Gagal menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru.

  11. Berangan-angan semasa guru mengajar di depan.

  12. Sering bermain-main dalam bilik darjah.

  13. Tidak mempunyai kelengkapan persekolahan yang lengkap untuk proses pembelajaran.

  14. Sentiasa bermasalah, suka mencari masalah dan memberi masalah pada orang lain.

  15. Melakukan aktiviti yang tidak sihat atau tidak bermoral..

  16. Terlalu berserah pada nasib dan tidak mahu lagi berusaha untuk mengubah dirinya.

  17. Lebih banyak bergantung kepada orang lain untuk belajar. Tidak boleh berdikari.

  18. Tidak ada perancangan masa untuk belajar seperti mengadakan jadual waktu.

  19. Tidak menggunakan sepenuhnya perpustakaan sebagai gedung untuk mencari dan menambahkan ilmu.

  20. Tidak sanggup mengorbankan masa, tenaga, fikiran dan wang ringgit untuk pelajaran.

  21. Menghabiskan wang tambahan untuk membeli alat solek, majalah hiburan atau benda-benda lain yang tidak berguna kepada pelajar.

  22. Tidak menghormati ibu-bapa, guru, orang tua dan rakan-rakan sekelas.

  23. Mementingkan diri sendiri dalam apa sahaja yang dilakukan termasuklah pembelajaran.

  24. Gagal menunaikan tanggungjawab kepada Allah (bagi orang Islam).

  25. Cepat putus asa dan kecewa apabila gagal.