Pages

Friday, August 28, 2009

Tarbiyah Luqmanul Hakim Dalam mendidik Anak

Di antara surah-surah di dalam Al-Quran, terdapat satu surah yang dinamakan Surah Luqman dan terkandung di dalamnya nasihat dan panduan bagaimana Luqman mendidik anak-anaknya menjadi seorang insan yang kamil. Pendidikan yang diterapkan oleh Luqman Al-Hakim paling menekankan pegangan aqidah yang kukuh kepada Allah SWT di samping menekankan soal keinsafan, kesedaran dan sikap tanggungjawab yang mendalam. Itulah keistimewaan didikan Luqman Al-Hakim dan kita pun tidak sepatutnya ketinggalan dalam mengikutinya di dalam kehidupan sehari-harian. Intisari didikan luqman Al-Hakim ini boleh dibahagikan kepada 3 aspek yang penting iaitu sudut aqidah, sudut solat dan sudut akhlak. 1. Sudut aqidah Syirik adalah sesuatu yang paling mudah terjadi jika bekalan aqidah yang kukuh tidak ditanamkan di dalam setiap diri sejak kecil lagi. Hendaklah kita membiasakan diri kita dengan mengingati Allah SWT di dalam semua keadaan untuk mengelakkan terjadinya syirik tersebut. "Dan ingatlah sewaktu Luqman berkata kepada anaknya:"Wahai anakku kesayanganku, Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain). Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar."(Luqman :31) 2. Sudut solat Solat adalah tiang agama dan amalan yang pertama sekali yang akan dihisab di akhirat kelak. Solat yang dikehendaki oleh Islam ialah yang disertai dengan sepenuh perhatian dan penempuan fikiran, penuh rasa takut dalam hati serta menzahirkan keagungan dan kebesaran Allah. Sesuai dengan firman Allah dalam Surah Luqman, ayat 17 yang bermaksud ; "Wahai anak kesayanganku! Dirikanlah solat." 3. Sudut Akhlak Wajib berbakti kepada ibu bapa kerana ibu bapa adalah manusia yang paling banyak berjasa kepada kita. "Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibubapanya , ibunya mengandungkan dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu, kepadaKu jua tempatmu kembali." (Luqman:41) Sabar di dalam menegakkan keimanan, melaksanakan amal soleh, memperjuangkan kebenaran dan keadilan dan juga menghadapi hawa nafsu, musuh-musuh luar dan segala kepayahan dan kesulitan. "... dan berhati teguhlah dalam menghadapi apa yang menimpa engkau, sesungguhnya (sikap) yang demikian itu termasuk perintah yang sungguh-sungguh.(Luqman:17) Mengelakkan diri dari sifat sombong dan takabur. Takabur adalah punca pergaduhan dan pertelingkahan manakala tawaddhu' yang dianjurkan Islam adalah penguat persaudaraan, perpaduan dan melahirkan keselamatan dan ketenangan. Huraian berkenaan sikap takabur dan sombong ini boleh di dapati di dalam buku Bimbingan Mu'minin, karya Imam Ghazali. "Janganlah engkau memalingkan muka dari manusia kerana kesombongan, dan janganlah berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tiada mencintai sekalian orang yang sombong dan membanggakan diri."(Luqman:18) Bersederhana dalam berjalan kerana ia menggambarkan ketenangan dan kesopanan tinglahlaku. Suara juga hendaklah dilembutkan ketika bercakap (brothers-brothers/sisters-sisters sahaja) kerana ia adalah ukuran keutuhan budi pekerti. "Dan sederahanalah dalam berjalan dan lembutkanlah suara engkau. Sesungguhnya suara yang amat buruk ialah suara himar (keldai)."(Luqman:19) 4. Sudut Da'wah. Hendaklah bersama-sama melaksanakan tugas menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran seperti firman Allah s.w.t ; "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah daripada yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung."(Al-Imran:104)

Perjuangan Ayah Dan Ibu Dalam Membentuk Akhlak dan Akidah Islamiyah Anak Mereka

Anak merupakan aset yang paling bernilai kepada kedua-dua ibu dan bapa. Oleh itu, setiap pasangan yang telah berkahwin mempunyai keinginan untuk mendapatkan cahaya mata sebagai penyeri dan pelengkap kebahagiaan dalam sesebuah rumah tangga yang dibina. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Harta benda dan anak pinak itu ialah perhiasan hidup di dunia…” (al-Kahfi :46) Betapa beruntungnya kedua-dua ibu bapa yang mempunyai anak-anak soleh yang dapat membahagiakan hidup mereka . Bukan sahaja hidup di dunia bahkan di akhirat juga. Doa daripada anak-anak yang soleh tetap tidak terputus kepada ibu dan bapa mereka sekalipun kedua-duanya telah meninggal dunia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila meninggal dunia seseorang anak Adam, maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kedua-dua ibu bapanya”.(HR al-Bukhari) Anak-anak hendaklah diberi pendidikan yang sempurna seawal mungkin bermula dari dalam kandungan lagi. Tanggungjawab ibu dan bapa telah wujud sebelum terbentuknya janin. Oleh itu suami isteri hendaklah memberi perhatian dan tumpuan pendidikan sempurna sepenuhnya untuk memastikan anak tersebut menjadi anak yang soleh. Suami isteri mesti bertanggungjawab untuk menjaga kandungan dari segi kesihatan fizikal dan mental, mengamalkan pemakanan seimbang, makan minum dan rezeki dari sumber yang halal dan berkat, mengerjakan amalan-amalan kerohanian seperti membanyakkan membaca al-Quran, zikir, melakukan ibadah-ibadah sunat disamping tidak meninggalkan ibadah fardhu yang diwajibkan. Ketika isteri mengandungkan bayi, si bapa pula mempunyai peranannya yang tersendiri. Bekerjalah dengan penuh amanah, bertanggungjawab dan ikhlas demi mendapatkan rezeki yang halal untuk keluarga mereka. Sesungguhnya keberkatan lahir dari makan minum yang berpunca dari rezeki yang halal. Oleh itu para ibu bapa hendaklah sentiasa berhati-hati dan berwaspada setiap masa dalam pekerjaan. Tunaikan kerja dengan penuh dedikasi dan amanah demi memperoleh rezeki yang berkat dari sumber yang halal. Rezeki yang diberi makan kepada anak itulah yang akan menjadi darah daging yang akan membesarkan anak-anak . Jika sumbernya halal dan berkat, mudah-mudahan anak-anak yang bakal dilahirkan akan menjadi anak-anak soleh yang dapat membahagiakan hidup kedua-dua ibu bapa. Di samping itu apabila anak-anak telah diberi pendidikan sempurna mengikut syariat Islam, apabila besar mudah-mudahan mereka akan menjadi anak yang soleh. Demi mendapatkan anak-anak yang soleh, Islam telah menganjurkan kepada ibu bapa untuk melakukan beberapa amalan dari awal lagi. Islam telah menetapkan peraturan tertentu semasa menyambut kelahiran bayi iaitu dengan melakukan amalan-amalan sunat seperti berikut: i- Azan dan iqamat HENDAKLAH segera diazankan ditelinga kanan dan diiqamat ditelinga kiri sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang baru melahirkan anaknya lalu diazankan di telinga kanan dan diiqamat di telinga kirinya nescaya anak tersebut akan terhindar daripada penyakit sawan dan angkara syaitan”. (Hadis Riwayat Abu Ya’la) ii- Membelah mulut (tahnik) TAHNIK mulut bayi dengan kurma atau makanan yang manis merupakan sunnah Nabi SAW. iii- Penyusuan SUSU ibu merupakan makanan semula jadi bayi. Ia membina kesihatan dan tenaga. Ia juga makanan rohani dan akhlak yang memberi kesan kepada seluruh keperibadian anak, mengalirkan aliran pemikiran dan sikap yang baik ke dalam diri bayi melalui setiap titisan air susu ibu. iv- Memberi nama TANGGUNGJAWAB ibu bapa juga ialah memberi nama anak-anak dengan nama yang baik sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud: ” Tugas dan tanggungjawab bapa terhadap anaknya ialah memperelokkan nama anaknya dan juga adabnya” (Hadis Riwayat al-Baihaqi) v- Bercukur MENGGUNTING rambut bayi merupakan sunnah Rasulullah SAW yang dilakukan ketika bayi berusia 7 hari. Rambut tersebut hendaklah ditimbangkan dengan wang perak yang kemudiannya disedekahkan kepada fakir miskin mengikut berat timbangan rambut yang digunting tersebut. vi- Aqiqah HUKUM Aqiqah ialah sunat yang sangat dituntut (muakkad). Sabda Nabi SAW mengenainya yang bermaksud : “Setiap anak tergadai dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ke 7, dicukur ranbutnya dan diberi nama.” (Hadis Riwayat Ahmad) vii- Berkhatan BERKHATAN termasuk sunnah Rasulullah SAW. Sabda Nabi SAW mengenainya yang bermaksud: “Berkhatan itu sunat bagi kaum lelaki dan suatu penghormatan kepada kaum wanita.” (Hadis Riwayat At- Tabrani) Ketika anak-anak masih kecil berilah didikan menurut syariat Islam. Pada tahap ini ajarilah dengan sebutan kalimah-kalimah suci Allah (al-Quran). Peringkat usia kanak-kanak mereka akan mudah mengingat apa yang diajar. Oleh itu ibu bapa hendaklah :- i- Menanamkan asas-asas keimanan ii- Berlaku adil terhadap anak-anak dalam memberi kasih sayang, pendidikan, makanan, tempat tinggal dan sebagainya. iii- Mengasuh anak-anak dengan lemah lembut dan bersopan santun. iv- Mempamerkan akhlak yang mulia dan terpuji. v- Mengampuni dan mengasihi anak-anak dan lain-lain ahli keluarga dengan penuh kasih dan sayang. vi- Mendidik anak-anak ke jalan yang diredhai Allah SWT. vii- Menunjukkan teladan yang baik pada anak-anak. viii- Bertanggungjawab mencipta sebuah rumahtangga yang aman bahagia untuk didiami oleh anak-anak. ix- Bertanggungjawab memastikan anak-anak dijaga dengan baik. x- Bertanggungjawab memberi pendidikan dan pelajaran yang berguna dan menghantar mereka ke sekolah-sekolah. xi- Mengajar anak-anak mengerjakan sembahyang, mengaji al-Quran dan melatih anak-anak berpuasa. xii- Mengajar anak-anak dengan ilmu yang dapat menjadi perangsang bagi memperkayakan ilmu Islamnya. Ibu bapa hendaklah sentiasa menyuruh anak-anak mereka bersifat dengan sifat yang mulia dan murni iaitu sifat-sifat mahmudah. Mereka juga mesti melarang anak-anak dari melakukan perkara-perkara keji dan tidak elok iaitu sifat-sifat mazmumah. Oleh yang yang demikian, ibu bapa mestilah terlebih dahulu memiliki sifat-sifat mahmudah dan kemudian hendaklah diterapkan kepada anak-anak mereka. Setelah remaja, ajaran-ajaran agama Islam yang berkaitan dalam bidang syariah, aqidah dan akhlak perlu diajar secara terperinci kepada anak-anak di peringkat umur begini supaya mereka mengetahui, memahami dan dapat menghayatinya. Seterusnya perkara-perkara baik dan betul tersebut dapat diimplementasikan dalam kehidupan mereka sehari-hari. Dengan demikian mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang menyelewen, amal ibadat dan akhlak mereka akan terpandu dengan betul. Oleh itu ibu bapa amat perlu memberi didikan syariat yang sempurna kepada anak-anak mereka seawal mungkin bermula dari dalam kandungan ibu lagi seperti kata pepatah “Melentur Buluh Biar Dari Rebungnya’ agar anak-anak dapat hidup bahagia, berjaya dan membesar dalam keadaan sempurna tanpa terpengaruh dengan gejala-gejala negatif yang boleh merosakkan hidup mereka. P/S: Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan juga kepada muslimin dan muslimat bahawa tanpa "Ayah dan Ibu", mana mungkin kita dapat bernafas di atas bumi Allah ini dengan penuh kemanisan nikmat. Oleh itu, walau seburuk manapun akhlak ayah atau ibu kita, maka wajiblah kita menghormati merekq dan yang paling penting ANAK YANG SOLEH ialah seorang anak yang sentiasa mendoakannya kesejahteraan Ayah dan Ibunya.Sama-samalah kita renungkannya.

Pendidikan Keluarga Islam

Berdasarkan firman Allah s.w.t.: Maksudnya: “Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang soleh.”(Surah Ash-Shaaffat 23:100) Pendidikan keluarga Islam merupakan satu saranan dalam pendidikan Islam. Pengertian pendidikan keluarga Islam tidak terbatas pada ruang lingkup mendidik anak sejak dalam kandungan sampai masa sekolah, malah pendidikan keluarga Islam mencakupi mulai masa bayi dalam kandungan hingga anak itu dewasa dan berkeluarga. Suasana pendidikan keluarga Islam ini untuk melahirkan seorang anak yang soleh (Abdul Qadir Djaelani 2001) sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.: Maksudnya: Daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila mati anak Adam (manusia), maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh. Berdasarkan sabda Junjungan Nabi Muhammad s.a.w. tersebut mencerminkan betapa pentingnya didikan yang wajib ditekan ke atas anak-anak di peringkat bayi sehingga baligh dan seterusnya ke peringkat remaja supaya mereka dapat menjadi anak yang soleh kepada kedua ibu bapa dan berpegang teguh kepada ajaran Islam. Menurut jumhur ulamak, yang dimaksudkan hadis di atas ialah anak-anak yang soleh ialah anak-anak yang dibimbing dan dididik oleh orang tuanya supaya selalu mendoakan kesejahteraan mereka berdua di dunia dan akhirat (Umar Hasyim 1983). Oleh sebab itulah, pentingnya ibu bapa mengasuh serta mendidik anak-anak mereka selaras dengan tuntutan syaricat Islam. Menurut Ahmad Muhammad Jamãl (1989: 12) ”tarbiyah” dalam Islam membawa maksud yang amat mendalam kepada individu dan kelompok. Beliau mengatakan ’tarbiyah’ ialah satu bentuk untuk melahirkan kesedaran yang tinggi kepada ummat Islam. Ia bertujuan menyemai dalam diri seseorang itu supaya menjadi seorang Muslim yang teguh pada agama, cibadah, berkepimpinan dan mempunyai kekuatan rohani dari sudut teori, praktikal, ideologi dan tingkah laku. Dalam terminologi Bahasa cArab, istilah pendidikan (education) bererti ”tarbiyah”, dengan membawa maksud mengembangkan, memelihara, mengasuh, atau membesarkan. Kata tarbiyah di sini dengan maksud ”mengembangkan atau meningkatkan secara setahap demi setahap”. Ia adalah berlaku ke atas makhluk Allah s.w.t. yang hidup dan memiliki kemampuan untuk tumbuh dan berkembang. Khusus dikaitkan dengan pendidikan awal kanak-kanak, hal ini melibatkan bermacam usaha dalam pengertian ini bahawa semua sikap dan tingkah laku ibu bapa harus diarahkan untuk memberikan pendidikan awal kepada anak-anak secara tepat dan benar. Jadi, apa yang dapat disimpulkan di sini, bahawa anak merupakan wujud daripada sikap dan tingkah laku kedua ibu bapanya (Mahjubah Magazine 1992). Menurut Ibn Sina dalam Fatimah Ali (1989), peringkat umur dari masa dilahirkan hingga ke enam tahun itu amat kritikal. Dalam jangka usia ini, kanak-kanak mestilah ditekankan kepada pembentukan disiplin. Maka itulah sebabnya Ibn Sina mahukan ibu khususnya, sebagai guru pertama kepada kanak-kanak mempunyai sifat moral yang sempurna serta intelektual yang tinggi dari dari kacamata Islam. Ini kerana, sifat dan kekuatan mental (intelektual) serta spiritual ibu bapa mempunyai pengaruh yang kuat ke atas perkembangan sahsiah kanak-kanak. Pembentukan disiplin kanak-kanak bermula sejak tahap penyusuan. Di sinilah langkah pertama untuk kanak-kanak mempelajari sopan-santun yang baik. Selain itu, menurut Rousseau (ahli falsafah Perancis) dalam Fatimah (1989) ‘masa kanak-kanak’ di kalangan manusia adalah lebih panjang daripada haiwan. Ini adalah sebab ’masa kanak-kanak’ itu berfaedah bagi ummat manusia kerana tidak ada makhluk lain hidup di muka bumi ini yang lebih lemah dan lebih bergantung kepada alam sekitarnya. Beliau selanjutnya menjelaskan bagaimana kanak-kanak memerlukan perlindungan dan ini boleh dilakukan dengan menyediakan persekitaran yang dapat mengembangkan potensi-potensinya dan mengajarnya untuk menjalani kehidupan yang baik, supaya ia tidak ditinggalkan sendiri dan dipengaruhi oleh gejala-gejala negatif yang mungkin membawa kepada kejahatan dan keburukan. Antara penyataan beliau: ’Pentingnya masa kanak-kanak di mana peribadinya terbentuk yang pengaruhnya besar sekali pada kehidupan selanjutnya. Iaitu masa dewasa dan masa tua, hal-hal pertamalah yang patut dipelihara, sebab kanak-kanak pada asalnya diciptakan untuk menerima baik atau buruk. Hanya orang tualah yang mencenderungkan kepada salah satu daripadanya’. Dalam tamadun Barat apa yang dimaksudkan dengan ’pendidikan awal’ ialah pendidikan pendidikan prasekolah. Ia hanya untuk kanak-kanak yang berumur tiga tahun hingga enam tahun iaitu apa yang dikatakan sebagai pendidikan ’kindergarden’, tetapi selepas beberapa kajian mereka mengubah had umur itu kepada peringkat selepas lahir hingga ke enam tahun dan diwujudkan pula peringkat ’nursery’. Dari sudut Islam pula peringkat ’pendidikan awal’ ini bermula dari anak itu masih berada di dalam kandungan ibu lagi sehingga kanak-kanak itu berumur enam tahun. Secara amnya pendidikan prasekolah Islam boleh dibahagikan kepada dua peringkat sebelum lahir dan selepas lahir (Khadijah Zon et al. 1989). Dari sudut Islam juga, kanak-kanak perlu disedarkan dan diyakinkan seawal mungkin tentang status mereka sebagai insan ciptaan Allah s.w.t. Usaha ini bermula di rumah, tetapi dalam sesuatu latihan proses ini perlu berlaku secara lebih sistematik, berterusan dan terkawal dan proses mendidik ini dalam masa yang sama memerlukan kerjasama daripada ibu bapa secara serius (Mohamed Talhah Idrus 1989). Tanggapan Islam kepada pendidikan dan pembentukan kanak-kanak adalah satu tugas, tanggungjawab, amanah atau cubaan bagi kedua ibu bapa atau sesiapa sahaja yang terlibat dengan pendidikan dan pembentukan anak-anak. Pendidikan juga adalah proses penerapan secara progresif tahap demi tahap ke dalam jiwa manusia dengan ilmu, kemahiran dan akhlak agar anak-anak boleh: i. Mendisiplinkan badan, jiwa dan mental sesuai dengan keadaan potensi dan kemampuan fizik, intelek, emosi dan rohaninya. ii. Mencam dan menerima kenyataan sehingga ia boleh mempunyai persepsi, perasaan, harapan dan keinginan untuk mendapat ilmu pengetahuan. iii. Bersikap adil terhadap dirinya, orang lain, kepada haiwan, tumbuhan dan alam persekitaran. iv. Mempunyai sikap dan ciri-ciri mental, jiwa, tutur kata dan gerak geri yang berkualiti tinggi. v. Bergerak secara tepat dan betul (Khalijah Mohd. Salleh 1994). Dalam memperkatakan pendidikan awal dari perspektif Islam, Al-Ghazali berpendapat bahawa kanak-kanak merupakan amanah dan tanggungjawab orang tuanya, jiwanya suci murni merupakan permata mahal yang bersahaja dan bebas dari ukiran dan gambaran dan ia boleh menerima setiap ukiran dan cenderung kepada apa yang dicenderungkan kepadanya. Asuhan dan pendidikan awal adalah khusus kepada kanak-kanak di bawah umur enam tahun. Pada umur ini ada dua perkara penting yang dilalui oleh setiap kanak-kanak iaitu pertumbuhan dan perkembangan. Pertumbuhan adalah perubahan yang boleh diukur daripada satu peringkat ke satu peringkat dan dari suatu masa ke suatu masa seperti perubahan tinggi, berat dan bilangan gigi. Perkembangan pula adalah perubahan yang melihatkan sifat berlainan daripada sifat terdahulu seperti kebolehan seorang bayi untuk merangkak, berjalan, dan seterusnya berlari. (Rosnah Ahmad 2003). Oleh sebab itu, pada peringkat bulan-bulan terawal, anak-anak memberi pengalaman yang penting kepada ibu bapa untuk memahami sikap dan tingkah laku mereka. Pengalaman keibuan dan kebapaan adalah kompleks iaitu ia bukan sahaja pengalaman hanya sekadar melihat dan memahami anak-anak mereka tetapi juga menonjolkan identiti ibu bapa itu sendiri (Diane Richardson 1993). Dalam proses perkembangan inilah disalurkan corak pendidikan awal kanak-kanak dan melihat sejauh mana ia mempengaruhi perkembangan itu dari segala aspek sama ada keperibadian, pergaulan, kekuatan fizikal, mental, emosi dan kognitif. Dengan kata lain, pendidikan awal terhadap kanak-kanak adalah meliputi semua aspek kehidupan kanak-kanak itu sendiri supaya mereka tidak terlalu kaku untuk berdepan dengan pelbagai situasi di luar rumah apabila mula berhubungan dengan orang asing. Menurut Prof. Madya Dr. Mastura Badzis, Pengarah Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) Universiti Pendidikan Sultan Idris, hakikat yang perlu kita tahu dari fakta yang dikemukakan oleh pakar perkembangan dan psikologi kanak-kanak, diperingkat umur 6 tahun pertama inilah peringkat paling utama dan paling laju perkembangan mereka berbanding dengan peringkat-peringat atau tahap umur yang lebih dewasa dalam kehidupan seorang insan. Pakar perkembangan dan psikologi kanak-kanak berpendapat bahawa lebih separuh dari perkembangan intelektual kanak-kanak berlaku dari usia 0 hingga empat tahun manakala satu pertiga yang lain sempurna perkembangannya ketika kanak-kanak berusia 8 tahun. Menurut beliau lagi, dapatan terbaru dari kajian yang dilakukan oleh pakar neurologi mendapati bahawa 80-85% perkembangan otak manusia berlaku dalam tempoh enam tahun pertama usia seorang kanak-kanak dan peringkat perkembangan yang paling pesat ialah diperingkat umur yang terawal dalam tempoh enam tahun tersebut. Justru itu boleh dikatakan di sini bawa ketinggian kualiti pendedahan dan pendidikan awal seseorang kanak-kanak merupakan asas kepada keseluruhan perkembangannya yang akan datang.