Di antara surah-surah di dalam Al-Quran, terdapat satu surah yang dinamakan Surah Luqman dan terkandung di dalamnya nasihat dan panduan bagaimana Luqman mendidik anak-anaknya menjadi seorang insan yang kamil.
Pendidikan yang diterapkan oleh Luqman Al-Hakim paling menekankan pegangan aqidah yang kukuh kepada Allah SWT di samping menekankan soal keinsafan, kesedaran dan sikap tanggungjawab yang mendalam. Itulah keistimewaan didikan Luqman Al-Hakim dan kita pun tidak sepatutnya ketinggalan dalam mengikutinya di dalam kehidupan sehari-harian. Intisari didikan luqman Al-Hakim ini boleh dibahagikan kepada 3 aspek yang penting iaitu sudut aqidah, sudut solat dan sudut akhlak.
1. Sudut aqidah
Syirik adalah sesuatu yang paling mudah terjadi jika bekalan aqidah yang kukuh tidak ditanamkan di dalam setiap diri sejak kecil lagi. Hendaklah kita membiasakan diri kita dengan mengingati Allah SWT di dalam semua keadaan untuk mengelakkan terjadinya syirik tersebut.
"Dan ingatlah sewaktu Luqman berkata kepada anaknya:"Wahai anakku kesayanganku, Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain). Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar."(Luqman :31)
2. Sudut solat
Solat adalah tiang agama dan amalan yang pertama sekali yang akan dihisab di akhirat kelak. Solat yang dikehendaki oleh Islam ialah yang disertai dengan sepenuh perhatian dan penempuan fikiran, penuh rasa takut dalam hati serta menzahirkan keagungan dan kebesaran Allah. Sesuai dengan firman Allah dalam Surah Luqman, ayat 17 yang bermaksud ; "Wahai anak kesayanganku! Dirikanlah solat."
3. Sudut Akhlak
Wajib berbakti kepada ibu bapa kerana ibu bapa adalah manusia yang paling banyak berjasa kepada kita.
"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibubapanya , ibunya mengandungkan dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu, kepadaKu jua tempatmu kembali." (Luqman:41)
Sabar di dalam menegakkan keimanan, melaksanakan amal soleh, memperjuangkan kebenaran dan keadilan dan juga menghadapi hawa nafsu, musuh-musuh luar dan segala kepayahan dan kesulitan.
"... dan berhati teguhlah dalam menghadapi apa yang menimpa engkau, sesungguhnya (sikap) yang demikian itu termasuk perintah yang sungguh-sungguh.(Luqman:17)
Mengelakkan diri dari sifat sombong dan takabur. Takabur adalah punca pergaduhan dan pertelingkahan manakala tawaddhu' yang dianjurkan Islam adalah penguat persaudaraan, perpaduan dan melahirkan keselamatan dan ketenangan. Huraian berkenaan sikap takabur dan sombong ini boleh di dapati di dalam buku Bimbingan Mu'minin, karya Imam Ghazali.
"Janganlah engkau memalingkan muka dari manusia kerana kesombongan, dan janganlah berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tiada mencintai sekalian orang yang sombong dan membanggakan diri."(Luqman:18)
Bersederhana dalam berjalan kerana ia menggambarkan ketenangan dan kesopanan tinglahlaku. Suara juga hendaklah dilembutkan ketika bercakap (brothers-brothers/sisters-sisters sahaja) kerana ia adalah ukuran keutuhan budi pekerti.
"Dan sederahanalah dalam berjalan dan lembutkanlah suara engkau. Sesungguhnya suara yang amat buruk ialah suara himar (keldai)."(Luqman:19)
4. Sudut Da'wah.
Hendaklah bersama-sama melaksanakan tugas menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran seperti firman Allah s.w.t ;
"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah daripada yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung."(Al-Imran:104)
0 comments:
Post a Comment