Pages

Friday, October 16, 2009

Sistem Muamalat & Ekonomi Islam

Sesungguhnya Islam mencakupi tiga bidang perhubungan manusia yang utama iaitu hubungan dengan Tuhannya, hubungan manusia dengan dirinya sendiri dan hubungan manusia dengan masyarakatnya. Ini adalah kerana Islam bukan sahaja menekankan amalan di dunia semata-mata, malah merentasi alam akhirat.
Alangkah indahnya bagi mereka yang dapat menghayati dan mengamalkan Sistem Islam yang syumul (menyeluruh) sifatnya. Mana tidaknya, daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besarnya termaktub dalam ajaran Islam. Sebab itu, kita membenarkan slogan Islam sebagai cara hidup manusia! Di antara cabang dalam Islam itu ialah menekankan aspek Muamalat. Secara umumnya, konsep muamalat ialah segala aktiviti dan hubungan di antara manusia dengan manusia. Konsep muamalat ini amat luas skopnya, memadailah pada artikel ringkas ini mengkhususkan sistem ekonomi Islam sebagai tajuk pengkhususannya. Hakikatnya, Sistem Ekonomi Islam sebenarnya bertunjangkan aqidah yang kuat kerana dengan tunjangan aqidah inilah, sistem ekonomi Islam dapat terlaksana dengan sempurna. Ini kerana pelaksana kepada sistem ekonomi Islam ini sewajarnya mengetahui segala tindakan yang dibuat mestilah selari dengan pandangan Ilahi, dengan itu, akan lahirlah keredhaan daripadaNya. Prinsip ekonomi Islam mementingkan perkara-perkara berikut: 1. Sesuatu urusniaga yang dilaksanakan hendaklah bertepatan dengan Syariat Allah kerana dengan berpandukan kepadanya kita bakal memperolehi keuntungan duniawi dan ukhrawi. Usaha ini memerlukan kepada pengetahuan dan pemahaman yang betul berkenaan soal halal dan haram sesuatu transaksi. Firmanullah s.w.t.: Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Maksud Surah al-An’am:162) 2. Pelaksanaan sistem ekonomi sewajarnya mementingkan konsep keadilan dan kepentingan sejagat. Perkara ini jelas dengan memahami bahawa setiap manusia mempunyai hak-hak yang tertentu yang perlu dipenuhi dengan saksama. Maksud firmanullah s.w.t.: (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w.) kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. (Surah al-Hashru:7) 3. Keikhlasan dalam memperjuangkan sistem ekonomi Islam ini mesti bergerak seiring dengan usaha tersebut agar ianya akan membuahkan hasil yang cukup cemerlang dan lumayan yang bersesuaian dengan pandangan Syariah Islam. FirmanNya lagi yang bermaksud:
"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar." (Surah al-Bayyinah:5)
Oleh itu, adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk turut serta memperjuangkan Sistem Ekonomi Islam ini sebagai salah satu cabang dalam Muamalat Islam. Jika tidak sebagai penggerak pun, memadailah sebagai penyokong dan pengguna!

Seni Menurut Perspektif Islam

Seni Islam merupakan sebahagian daripada kebudayaan Islam dan perbezaan antara seni Islam dengan bukan Islam ialah dari segi niat atau tujuan dan nilai akhlak yang terkandung dalam hasil seni Islam. Pencapaian yang dibuat oleh seni Islam itu juga merupakan sumbangan daripada tamadun Islam di mana tujuan seni Islam ini adalah kerana Allah swt. Walaupun seni merupakan salah satu unsur yang disumbangkan tetapi Allah melarang penciptaan seni yang melampaui batas.
Firman Allah swt yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas."
Keindahan merupakan salah satu ciri keesaan, kebesaran dan kesempurnaan Allah swt lantas segala yang diciptakanNya juga merupakan pancaran keindahanNya. Manusia dijadikan sebagai makhluk yang paling indah dan paling sempurna. Bumi yang merupakan tempat manusia itu ditempatkan juga dihiasi dengan segala keindahan. Allah swt bukan sekadar menjadikan manusia sebagai makhluk yang terindah tetapi juga mempunyai naluri yang cintakan keindahan. Di sinilah letaknya keistimewaan manusia yang tidak dimiliki oleh makhluk lain sama ada malaikat, jin dan haiwan. Konsep kesenian dan kebudayaan dalam Islam berbeza dengan peradaban Islam yang lain. Dalam pembangunan seni, kerangka dasarnya mestilah menyeluruh dan meliputi aspek-aspek akhlak, iman, matlamat keagamaan dan falsafah kehidupan manusia. Seni mestilah merupakan satu proses pendidikan yang bersifat positif mengikut kaca mata Islam, menggerakkan semangat, memimpin batin dan membangunkan akhlak. Ertinya seni mestilah bersifat "Al-Amar bil Ma'ruf dan An-Nahy 'an Munkar" (menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran) serta membangunkan akhlak masyarakat, bukan membawa kemungkaran dan juga bukan sebagai perosak akhlak ummah. Semua aktiviti kesenian manusia mesti ditundukkan kepada tujuan terakhir (keredhaan Allah dan ketaqwaan). Semua nilai mestilah ditundukkan dalam hubunganNya serta kesanggupan berserah diri. Seni juga seharusnya menjadi alat untuk meningkatkan ketaqwaan. Prinsip-prinsip (ciri-ciri) Kesenian Islam 1. Mengangkat martabat insan dengan tidak meninggalkan nilai-nilai kemanusiaan dan nilai-nilai persekitaran dan sejagat. Alam sekitar galerinya, manakala manusia menjadi seniman yang menggarap segala unsur kesenian untuk tunduk serta patuh kepada keredhaan Allah swt. 2. Mementingkan persoalan akhlak dan kebenaran yang menyentuh aspek-aspek estetika, kemanusiaan, moral dan lain-lain lagi. 3. Kesenian Islam menghubungkan keindahan sebagai nilai yang tergantung kepada keseluruhan kesahihan Islam itu sendiri. Menurut Islam, kesenian yang mempunyai nilai tertinggi ialah yang mendorong ke arah ketaqwaan, kema'rufan, kesahihan dan budi yang mantap. 4. Kesenian Islam terpancar daripada wahyu Allah, sama seperti undang-undang Allah dan SyariatNya. Maknanya ia harus berada di bawah lingkungan dan peraturan wahyu. Ini yang membezakan kesenian Islam dengan kesenian bukan Islam. 5. Kesenian Islam menghubungkan manusia dengan tuhan, alam sekitar dan sesama manusia dan juga makhluk. Islam tidak pernah menolak kesenian selagi dan selama mana kesenian itu bersifat seni untuk masyarakat dan bukannya seni untuk seni. Terdapat lima hukum dalam seni jika diperincikan. Antaranya: (a) Wajib : Jika kesenian itu amat diperlukan oleh muslim yang mana tanpanya individu tersebut boleh jatuh mudarat seperti keperluan manusia untuk membina dan mencantikkan reka bentuk binaan masjid serta seni taman (landskap) bagi maksud menarik orang ramai untuk mengunjungi rumah Allah swt tersebut. (b) Sunat : Jika kesenian itu diperlukan untuk membantu atau menaikkan semangat penyatuan umat Islam seperti dalam nasyid, qasidah dan selawat kepada Rasulullah saw yang diucapkan beramai-ramai dalam sambutan Maulidur Rasul atau seni lagu (tarannum) al-Quran. (c) Makruh : Jika kesenian itu membawa unsur yang sia-sia (lagha) seperti karya seni yang tidak diperlukan oleh manusia. (d) Haram : Jika kesenian itu berbentuk hiburan yang : *Melekakan manusia sehingga mengabaikan kewajipan-kewajipan yang berupa tanggungjawab asas terhadap Allah swt khasnya seperti ibadah dalam fardhu ain dan kifayah. *Memberi khayalan kepada manusia sehingga tidak dapat membezakan antara yang hak (betul) dan yang batil (salah). *Dicampuri dengan benda-benda haram seperti arak, judi, dadah dan pelbagai kemaksiatan yang lain. *Ada percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram seperti pergaulan bebas tanpa batas dalam bentuk bersuka-suka yang melampau. *Objek atau arca dalam bentuk ukiran yang menyerupai patung sama ada dibuat daripada kayu, batu dan lain-lain. *Disertai dengan peralatan muzik yang diharamkan oleh Islam seperti alat-alat tiupan, bertali, tabuhan yang bertutup di bahagian atas dan bawah serta alat-alat muzik dari tekanan jari. Sesetengah ulama mengatakan harus hukumnya jika digunakan untuk pendidikan dan tidak menarik kepada konsep al-Malahi (hiburan yang keterlaluan) juga alat-alat muzik di atas boleh digunakan untuk tujuan dakwah Islamiyyah, seperti yang pernah dibuat oleh Rabiatul Adawiyyah. *Seni yang merosakkan akhlak dan memudaratkan individu atau yang berbentuk tidak bermoral seperti tarian terkini (kontemporari). *Jenis-jenis seni yang dipertontonkan bagi maksud atau niat yang menunjuk-nunjuk dan kesombongan. (e) Harus : Apa saja bentuk seni yang tidak ada nas yang mengharamkannya. Matlamat Kesenian Dalam Islam, seni tidaklah bermatlamatkan hiburan, tujuan keduaniaan ataupun keseronokan. Islam telah menggariskan kesenian sesuai mengikut naluri dan fitrah semulajadi manusia. Sewajarnyalah juga manusia mengemudi seni mengikut fitrah manusia yang sedia ada berbekalkan sempadan syariah demi kesejahteraan jiwa dan dunia manusia. Bahkan sekiranya betul pembawaan seni itu, ia dikira ibadah pula. Alangkah ruginya manusia Muslim yang tidak tahu bagaimama untuk membawa kecenderungan makhluk sejenisnya ke arah ketaqwaan kepada Allah swt. Seni Islam dibentuk untuk melahirkan seseorang yang benar-benar baik dan beradab. Konsep seni Islam dan pembawaannya haruslah menjurus ke arah konsep tauhid dan pengabdian kepada Allah swt. Motif berseni haruslah bermatlamatkan perkara-perkara ma'ruf (kebaikan), halal dan berakhlak. Jiwa seni mestilah ditundukkan kepada fitrah asal kejadian manusia kerana kebebasan jiwa dalam membentuk seni adalah menurut kesucian fitrahnya yang dikurniakan Allah swt. Fungsi seni tidak kurang sama dengan akal supaya manusia menyedari perkaitan antara alam, ketuhanan dan rohani atau dengan alam fizikal. Lantas ia menyedari keagungan Tuhan dan keunikan penciptaanNya. Seni dalam Islam menanam rasa khusyu' ke pada Allah di samping memberi ketenangan di jiwa manusia sebagai makhluk Allah yang diciptakan dengan fitrah yang gemar kepada kesenian dan keindahan. Oleh sebab itu seni dalam Islam tidak berslogan 'seni untuk seni' tetapi 'seni kerana Allah untuk manusia, makhluk dan alam sekitar'. Kesenian Islam terpancar daripada tauhid yang merupakan satu penerimaan dan penyaksian terhadap keesaan Allah swt maka seni yang berpaksikan tauhid dapat menanamkan sifat bertaqwa dan beriman. Seni juga dapat meningkatkan daya intelek dan bukan sahaja emosi. Dipetik dari artikel : http://khazalii.googlepages.com