Sesungguhnya Islam mencakupi tiga bidang perhubungan manusia      yang utama iaitu hubungan dengan Tuhannya, hubungan manusia      dengan dirinya sendiri dan hubungan manusia dengan masyarakatnya.      Ini adalah kerana Islam bukan sahaja menekankan amalan di dunia      semata-mata, malah merentasi alam akhirat.
     
    Alangkah indahnya bagi mereka yang dapat menghayati dan      mengamalkan Sistem Islam yang syumul (menyeluruh) sifatnya. Mana      tidaknya, daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah      sebesar-besarnya termaktub dalam ajaran Islam. Sebab itu, kita      membenarkan slogan Islam sebagai cara hidup manusia! Di antara      cabang dalam Islam itu ialah menekankan aspek Muamalat. Secara      umumnya, konsep muamalat ialah segala aktiviti dan hubungan di      antara manusia dengan manusia. Konsep muamalat ini amat luas      skopnya, memadailah pada artikel ringkas ini mengkhususkan      sistem ekonomi Islam sebagai tajuk pengkhususannya.
    
    Hakikatnya, Sistem Ekonomi Islam sebenarnya bertunjangkan aqidah      yang kuat kerana dengan tunjangan aqidah inilah, sistem ekonomi      Islam dapat terlaksana dengan sempurna. Ini kerana pelaksana      kepada sistem ekonomi Islam ini sewajarnya mengetahui segala      tindakan yang dibuat mestilah selari dengan pandangan Ilahi,      dengan itu, akan lahirlah keredhaan daripadaNya.
    
     Prinsip ekonomi Islam mementingkan perkara-perkara berikut:
    
    1. Sesuatu urusniaga yang dilaksanakan hendaklah bertepatan      dengan Syariat Allah kerana dengan berpandukan kepadanya kita      bakal memperolehi keuntungan duniawi dan ukhrawi. Usaha ini      memerlukan kepada pengetahuan dan pemahaman yang betul berkenaan      soal halal dan haram sesuatu transaksi. Firmanullah s.w.t.:
    
    Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan      matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan      mentadbirkan sekalian alam. (Maksud Surah al-An’am:162)
    
    2. Pelaksanaan sistem ekonomi sewajarnya mementingkan konsep      keadilan dan kepentingan sejagat. Perkara ini jelas dengan      memahami bahawa setiap manusia mempunyai hak-hak yang tertentu      yang perlu dipenuhi dengan saksama. Maksud firmanullah s.w.t.:
    
    (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar      di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu dan apa jua      perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w.) kepada kamu maka      terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarangNya kamu      melakukannya maka patuhilah laranganNya. (Surah al-Hashru:7)
    
    3. Keikhlasan dalam memperjuangkan sistem ekonomi Islam ini      mesti bergerak seiring dengan usaha tersebut agar ianya akan      membuahkan hasil yang cukup cemerlang dan lumayan yang      bersesuaian dengan pandangan Syariah Islam. FirmanNya lagi yang      bermaksud:
    
     "Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah      Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di      atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta      memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar." (Surah      al-Bayyinah:5)
     
    
    Oleh itu, adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk turut      serta memperjuangkan Sistem Ekonomi Islam ini sebagai salah satu      cabang dalam Muamalat Islam. Jika tidak sebagai penggerak pun,      memadailah sebagai penyokong dan pengguna!
    




0 comments:
Post a Comment